suria

‘Kimchi Untuk Awak’ Tidak Seenak Yang Diharapkan

Kimchi Untuk Awak sudah pun berada di pawagam sejak 30 Mac lalu.

FILEM: Kimchi Untuk Awak

PENGARAH: Michael Ang

PELAKON: Emma Maembong, Aiman Hakim Ridza, Janna Nick, Ungku Haris, Dira Abu Zahar dan Sharifah Sakinah

GENRE: Komedi Romantik

DURASI: 118 minit

PENGEDAR: Astro Shaw

TARIKH TAYANGAN: 30 Mac 2017

SEKALI pandang, genre komedi romantik sering dianggap sebagai karya ringan yang mudah untuk dihasilkan, apatah lagi ia juga merupakan salah satu genre yang digemari ramai terutama golongan wanita dan mungkin juga untuk sesetengah lelaki.

Namun, seandainya tidak cukup rencah untuk menghasilkan filem komedi romantik, ia akan kelihatan canggung, kurang rasa dan tidak berupaya untuk menimbulkan satu perasaan yang mampu membuat penonton tersenyum serta termenung sendirian apabila keluar panggung.

Lebih-lebih lagi, komedi romantik juga memerlukan keserasian dan jalinan yang kuat antara dua pemain utama secara lazimnya untuk memberikan impak kepada penceritaannya.

Jika tidak, ia akan menjadi hambar dan tidak dapat menyuntik perasaan yang sepatutnya dirasai oleh audiens dalam konteks genre komedi romantik itu sendiri.

Di sinilah terletaknya kelemahan filem pertama arahan Michael Ang, Kimchi Untuk Awak yang sudah pun memulakan tayangannya minggu lalu.

Keserasian Emma dan Aiman tidak begitu menyerlah.

Jujurnya juga, penulis meletakkan sedikit harapan untuk melihat Michael memberikan sentuhan magisnya dalam filem pertamanya ini biarpun penulis tidak begitu gembira apabila karyawan seni sebijak Michael menggunakan novel popular sebagai medium penceritaan.

Justeru, apabila menonton filem Kimchi Untuk Awak, penulis tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa kerana pengharapan itu tidak mencapai sasaran seperti mana yang didambakan.

Ditambah pula dengan cop mohor Michael sudah cukup dikenali menerusi beberapa telefilem yang cemerlang dan meninggalkan impak yang bukan sedikit.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan, ada di antaranya sudah menjadi instant classic.

Berbalik kepada Kimchi Untuk Awak, penulis melihat kelemahan ketara adalah dari lakon layarnya yang kurang kemas lalu tidak mampu meninggalkan impak yang sepatutnya.

Watak antagonis dilakonkan oleh Janna Nick menjadi. 

Penulis faham jika Michael mempunyai masalah untuk mengadaptasi novel yang beratus helaian muka suratnya untuk dikompakkan menjadi filem yang berdurasi hampir dua jam.

Pun begitu, sebagai seorang pembikin filem dan memiliki lesen kreatif, Michael mempunyai peluang untuk mencantikkan dan mengemaskan lagi naratifnya dalam memberikan impak dan rasa kepada audiens.

Bahkan, penulis percaya Michael mampu melakukan lebih daripada itu.

Maafkan penulis kerana penulis tidak pernah membaca novel karya Suri Ryana ini.

Disebabkan itu, ulasan ini ditulis atas pemerhatian penulis terhadap penghasilan filemnya semata-mata. Dalam erti kata lain, penulis menganggap seperti menonton kisah baharu dan tidak melihatnya sebagai satu adaptasi.

Walaupun sedikit, kemunculan Sharifah Sakinah mencuit hati. 

Genre komedi romantik seharusnya ada naik turunnya dalam membangunkan emosi penonton sehingga mencapai klimaksnya tetapi, penulis tidak merasakan perasaan itu wujud dalam diri penulis sepanjang menonton Kimchi Untuk Awak.

Sebaliknya, perjalanan filem ini bergerak secara satu dimensi dan sepatutnya menonton filem seperti Kimchi Untuk Awak ini harus ada perasaan seperti membaca novel yang membuatkan pembaca teruja untuk menyelak helaian demi helaian untuk mengetahui apakah berlaku seterusnya.

Jujur penulis katakan, telefilem arahan Michael berjudul Biar Mimpi Sampai Ke Bintang (2011) adalah lebih baik dan menepati apa yang penulis harapkan apabila berbicara tentang genre komedi romantik.

Pada hemat penulis, naskhah asal Michael itu memiliki segala rencah dan lengkap untuk menjadikan ia sebagai sebuah filem komedi romantik.

Seperti mana yang penulis sebutkan awal tadi, pemain watak turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan watak masing-masing untuk menjadikan naskhah itu lebih menarik.

Salah satu babak menarik dalam Kimchi Untuk Awak.

Sayugia diingatkan, ada kala lakon layar boleh menjadi lemah tetapi kelemahan itu dapat ditutup dan diselamatkan dengan pembangunan watak serta kekuatan lakonan para pelakonnya.

Dalam konteks Kimchi Untuk Awak, biarpun Emma Maembong dan Aiman Hakim Ridza bukanlah kali pertama digandingkan, namun, keserasian mereka tidak begitu menyerlah seperti mana gandingan mereka dalam drama bersiri Isteri Separuh Masa (2015).

Penulis percaya gandingan dua bintang muda itu dalam filem ini barangkali ada kaitannya dengan imej dan status Emma sebagai pelakon berhijab yang begitu jelas menampakkan dia kelihatan canggung untuk melakonkan babak romantik.

Sungguh tidak manis untuk melihat babak-babak seperti Daniel Lee (lakonan Aiman Hakim Ridza) yang menunjukkan aurat kepada Bella (Emma Maembong), babak Daniel mengendong Bella dan termasuklah babak di dalam bilik untuk menunjukkan mereka bersedia untuk menunaikan tanggungjawab batin sebagai suami isteri.

Mungkin akan ada yang mencebik dan mengatakan bahawa itu hanyalah lakonan serta babak untuk memberikan unsur humor dan romantik, tetapi, status pelakon terutama yang berhijab juga perlu diambil kira dan tidak wajar diperlekehkan.

Kimchi Untuk Awak masih menghiburkan.

Adalah lebih baik untuk mengambil pelakon wanita yang tidak berhijab untuk mengenakan hijab (jika itu adalah karakter dalam novelnya) untuk membawakan watak Bella. Jika itu diambil kira, tidak mustahil, keserasian antara pelakon utama akan menyerlah.

Seperkara lagi adalah tentang pembangunan watak pembantu yang penulis kira mampu menggerakkan lagi naratif ini menjadi lebih dramatik. Penulis sukakan watak Zara (Janna Nick) yang memiliki aura dan karisma tersendiri walaupun watak antagonis.

Sayangnya, ia tidak berkembang dengan baik dan momentum untuk melihat keberkesanan watak Zara itu bagaikan terbantut. Begitu juga dengan watak Aminah atau Min-Ah (Sharifah Sakinah) yang penulis meletakkan harapan juga untuk melihat ia berkembang dengan baik.

Filem Kimchi Untuk Awak sebenarnya bukanlah buruk sehingga ia menjadi naskhah yang teruk. Filem ini masih cemerlang dari sudut sinematografi dan penataan seninya yang memang menarik perhatian.

Cuma, terbit rasa terkilan kerana Michael tidak menggunakan peluang pertamanya ini untuk mengukuhkan portfolionya dengan baik.

Adalah lebih layak seandainya Kimchi Untuk Awak ini dijadikan drama bersiri dan bukannya filem kerana penulis percaya Michael mampu untuk menghasilkan ceritanya sendiri seperti mana kecemerlangan Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.

Barangkali juga sudah tiba masanya untuk menghentikan seketika adaptasi novel popular ini kerana kesudahannya, ceritanya adalah tetap sama, membosankan dan tiada pembaharuan.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain