suria

‘Moana’ Tangkis Stigma Lapuk Imej Puteri Disney

Dua pelakon yang telah menyumbangkan suara mereka untuk watak utama filem Moana iaitu Auli’i Cravalho sebagai Moana (kiri) dan Dwayne Johnson (Maui).
FILEM: Moana

PENGARAH:
Ron Clements dan John Musker

PENYUMBANG SUARA:
Auli’i Cravalho, Dwayne Johnson, Rachel House, Temuera Morrison, Nicole Sherzinger dan Jemaine Clement

GENRE:
Animasi/Muzikal/Pengembaraan

DURASI:
107 minit

PENGEDAR:
Walt Disney Pictures

TARIKH TAYANGAN: 1 Disember 2016

APABILA memperkatakan tentang filem animasi, mahu atau tidak, harus diakui, Walt Disney Pictures merupakan pelopor kepada kejayaan genre berkenaan sebaik sahaja menerbitkan filem animasi pertama mereka, Snow White and the Seven Dwarfs pada tahun 1937.

Rentetan daripada kejayaan itu, maka, bermulalah legasi seni Walt Disney dalam menghasilkan filem-filem animasi yang rata-ratanya mencatatkan kejayaan luar biasa selain mencetuskan fenomena di seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, studio itu juga dengan jayanya berjaya menghasilkan ‘koleksi’ watak-watak puteri yang pernah diangkat menjadi watak utama dalam sebahagian besar filem animasi terbitan mereka.

Sudah pasti, bermula dengan Snow White, khalayak kemudiannya terus diperkenalkan dengan watak-watak seperti Cinderella, Aurora (Sleeping Beauty), Ariel (The Little Mermaid), Belle (Beauty and the Beast), Jasmine (Aladdin), Pocahontas, Mulan, Tiana (The Princess and the Frog), Rapunzel (Tangled) serta Elsa dan Anna (Frozen).

Di sebalik kejayaan filem animasi tersebut dan watak-watak puteri itu, pelbagai kritikan terutama dari sudut akademik yang diberikan terhadap watak berkenaan yang rata-rata menyifatkan pemeran watak puteri dilihat sebagai lemah dan terlalu bergantung kepada lelaki tanpa mampu untuk berdiri atas kaki sendiri.

Filem Moana merupakan sebuah filem animasi yang menghiburkan dan memberikan mesej positif untuk seisi keluarga.

Sedar akan permasalahan berbangkit yang tidak pernah berkesudahan itu, Walt Disney cuba menongkah arus dengan menerbitkan Brave pada tahun 2012 yang juga mencatatkan kejayaan pecah panggung di seluruh dunia selain memberikan perspektif baharu terhadap pemaparan watak puteri dalam filem tersebut.

Mengambil kejayaan Brave dan mahu memberikan santapan berbeza dalam penerbitan filem animasi, Walt Disney lahir dengan filem baharu mereka yang diberi judul Moana.

Seperti mana filem-filem terdahulu, Moana juga sudah membuat kutipan pecah panggung dan membawa pulangan berganda buat studio terkemuka itu sejak ditayangkan 1 Disember lalu.

Berkesempatan menonton Moana baru-baru ini, penulis tidak dapat menafikan bahawa cukup menggemari Moana atas beberapa faktor yang menjadikan ia sebagai salah sebuah filem animasi terbaik untuk tahun ini (Zootopia masih berada dalam senarai teratas untuk filem animasi terbaik 2016 bagi penulis).

Pertamanya, Moana berjaya mengubah stigma lapuk tentang pandangan umum terhadap watak puteri Disney yang selama ini sudah sinonim dalam masyarakat dunia. Harus diperbetulkan juga di sini, Moana bukanlah seorang puteri tipikal yang sering dipaparkan.

Watak Moana telah memberikan perspektif baharu dan mengubah stigma lapuk terhadap watak puteri Disney sebelum ini.

Sebaliknya, dia adalah seorang anak gadis yang lahir dari sebuah komuniti Polynesian yang hidup di sebuah perkampungan di Hawaii yang dipilih untuk menjadi pemimpin apabila meningkat dewasa.

Penonton terus diperkenalkan dengan kelebihan yang dimiliki oleh Moana dan sikap serta sifat yang jauh berbeza dengan watak puteri Disney yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Moana
yang suaranya disumbangkan oleh bintang baharu, Auli’i Cravalho sentiasa mahu mencabar dirinya melakukan apa yang difikirkan tidak mampu oleh orang sekelilingnya terutama sekali bapanya yang juga ketua kampung di situ.

Sedangkan bapanya hanya mahu dia selamat dan tidak mahu sesuatu buruk terjadi kepadanya selepas tragedi yang telah meragut nyawa generasi terdahulu.

Sikap tidak mudah putus asa dan tidak mudah mengalah selain sifat positif dimiliki oleh Moana sudah cukup menggambarkan bahawa wanita juga sebenarnya mampu menongkah arus dan melakukan sesuatu yang mustahil seperti mana kaum Adam juga.

Aktor popular bertubuh sasa, Dwayne Johnson turut menyumbangkan suaranya untuk watak Maui.

Penulis percaya ada sebab mengapa Walt Disney dan penulis lakon layarnya, Jared Bush mahu Moana dihasilkan kerana faktor-faktor ini.

Mereka sedar sebagai peneraju utama dalam penerbitan filem animasi yang berteraskan kekeluargaan, unsur-unsur positif harus diterapkan selain memberi perspektif baharu terhadap watak wanita.

Selain itu, apa yang membuatkan penulis kagum dengan Moana adalah penerapan budaya dan etnik Polynesian yang sebelum ini jarang dipaparkan dalam filem animasi terutamanya. Jika ada, seingat penulis hanyalah Lilo & Stitch (2002) tetapi bukanlah secara menyeluruh.

Dalam dunia moden hari ini, pastinya kisah dan mitos tentang budaya serta etnik semakin hari semakin dipinggirkan dan Walt Disney mengambil peluang itu untuk memperkenalkan kembali ke layar perak demi untuk generasi baharu.

Pastinya itu adalah sesuatu yang wajar dipuji kerana ia juga secara tidak langsung membuatkan masyarakat dunia lain mempelajari sesuatu yang baharu.

Bekas pemenang anugerah Grammy sebanyak dua kali, Lin-Manuel Miranda dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan lagu-lagu dalam filem Moana.

Tidak cukup dengan visualnya, Moana terus diperkuatkan dengan muzik dan lagu-lagu etnik berkenaan yang melengkapkan Moana sebagai sebuah filem animasi yang memiliki elemen muzikal yang kuat.

Apatah lagi, Moana menggunakan khidmat Mark Mancina sebagai penulis skor muzik serta Lin-Manuel Miranda dan Opetaia Foa’I yang cukup dikenali dengan hasil kerja muzikal mereka sebelum ini.

Mendengarkan muzik dan lagu-lagu berkenaan dalam Moana membuatkan penulis teringat akan filem Mulan (1999) dan Pocahontas (1995) yang banyak menerapkan muzik dari etnik dan budaya yang diketengahkan dalam dua filem tersebut.

Seperkara lagi tentang Moana ialah aspek visualnya yang cukup menyerlah dan cemerlang biarpun hanya sebuah filem animasi. Sinematografinya membuatkan audiens kagum dengan keindahan kepulauan Hawaii yang kelihatan begitu indah dan cantik.

Penulis hanya membayangkan betapa indahnya jika Moana dihasilkan sebagai sebuah filem cereka. Benar, kelebihan untuk filem animasi adalah ia mampu untuk menggandakan kecantikan visual dengan penggunaan teknologi terkini tetapi itu bukanlah satu masalah besar.

Biarpun sudah menjadi salah sebuah filem pecah panggung sebelum 2016 melabuhkan tirainya, Moana tidak terlepas juga daripada kritikan terutama melibatkan pemaparan yang dikatakan tidak tepat bagi komuniti Polynesian.

Tetapi, itu bukan satu masalah untuk Moana menjadi sebuah filem animasi yang menghiburkan dan dalam masa yang sama memiliki elemen positif yang tidak seharusnya dipandang sebelah mata.

** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Moana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain