suria

“Bukan Saya Sahaja, Nelydia Pun Kena” - Farid Kamil

Farid Kamil menyangkal dakwaan dia menghilangkan diri daripada set penggambaran drama Lafazkan Kalimah Cintamu.

PETALING JAYA: Pelakon Farid Kamil menegaskan dakwaan dia menghilangkan diri daripada set penggambaran drama Lafazkan Kalimah Cintamu sama sekali tidak benar.

Sebaliknya kata Farid, 36, pihak produksi sendiri mengetahui ketiadaannya adalah disebabkan masih bercuti sakit gara-gara mengalami kecederaan akibat terkena hujan buatan dalam salah satu babak drama itu.

"Cerita sebenarnya saya mengalami gatal-gatal pada bahagian kaki sehingga ia menjadi luka sehingga menyukarkan saya berjalan selain memakai seluar.

"Itu semua gara-gara saya terkena hujan buatan ketika menjayakan babak drama itu sehingga saya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital dan diberi cuti sakit.

"Bukan saya seorang dapat gatal-gatal itu malah gandingan saya juga iaitu Nelydia Senrose turut mengalami perkara sama.

"Jadi tuduhan saya hilang itu tidak benar malah produksi turut tahu mengenainya," katanya.

Nelydia Senrose.

Farid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya dia menghilangkan diri daripada set penggambaran drama itu selama seminggu.

Dalam pada itu, Farid berkata, dia bukan sengaja memperbesarkan hal ini malah tidak pernah membangkitkan isu itu sehinggalah ditanya oleh pihak media.

Bagaimanapun kata Farid, kejadian itu juga diharap dapat membuka mata pihak produksi tentang soal keselamatan dan kebajikan pelakon ketika berada di set penggambaran.

"Sebelum ini kalau diikutkan saya pernah berlakon dalam hutan selain pelbagai keadaan tidak selesa tetapi itu bukan bererti pihak produksi boleh pandang ringan terhadap soal kebajikan pelakon.

"Saya ambil apa yang terjadi pada saya ini serius. Nasib baik kena gatal-gatal, kalau terkena kencing tikus ke macam mana?," soalnya.

Sementara itu, Farid berkata, dia akan kembali ke set drama itu selepas dia kembali pulih daripada kecederaan.

Lafazkan Kalimah Cintamu sebuah drama 32 episod adalah arahan pengarah Along Kamaluddin.

Farid Kamil, Nelydia Senrose

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain