suria

Janna Nick Tak Peduli Dikritik Isu Dolak-Dalik Sertai Muzik-Muzik

Janna Nick bakal berentap menerusi pertingkat separuh akhir Muzik-Muzik (MM) 31 menerusi lagunya, Mungkin Saja.

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Janna Nick berkata dia tidak ambil peduli mengenai kritikan orang selepas dikatakan cuba berdolak-dalik untuk bertanding dalam peringkat separuh akhir Muzik-Muzik (MM) 31 menerusi lagu Mungkin Saja.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 21, berkata, pendirian itu bukan sengaja dilakukan untuk mencari publisiti atau gimik sebaliknya, dia kurang yakin untuk bertanding dalam acara besar tersebut.

Janna tidak peduli tentang perkara buruk diperkatakan tentangnya.
"Selagi saya tahu apa yang saya buat, saya tidak peduli apa orang nak cakap. Memang sebelum ini saya berat hati dan rasa macam nak tarik diri sebab tak yakin dan rasa tak layak tetapi lepas berbincang saya batal hasrat itu.

"Saya tidak perlu panik, risau atau terlalu memikirkan benda-benda remeh begitu sebab saya tahu apa yang saya buat," katanya kepada mStar Online.

Pelakon telefilem Trauma itu dikecam berikutan kenyataan dia yang pada awalnya enggan menyertai separuh akhir MM31 dan kemudian berubah fikiran pula pada minggu lalu.

Dalam kenyataan sebelum ini, Janna difahamkan berhasrat untuk menarik diri kerana tidak yakin dan berasa kurang layak bertanding.

Katanya, dia menganggap dirinya bukan penyanyi profesional tetapi sekadar menyanyikan lagu ciptaan Kuncidemak itu untuk suka-suka saja.

Ekoran itu, Janna dikritik kerana membuat gimik murah untuk publisiti semata-mata.

Mengulas lanjut, Janna berkata, pengalamannya yang sering berdepan pelbagai kontroversi sebelum ini mengajarnya untuk tidak mudah melatah.

"Pada saya tak payahlah nak melatah… Dulu, mungkinlah saya beria-ia nak mempertahankan diri kononnya berani kerana benar.

"Sekarang ini rasanya lebih baik berdiam. Yang penting jaga diri dan kerja saja. Yang suka pada kita akan tetap suka manakala yang tak suka akan tetap tak suka," katanya.
Janna Nick, Muzik-Muzik

Artikel Lain