suria

Kenyataan Disalah Erti, Aweera Tidak Tiru Awie

Aweera menjelaskan tidak meniru Awie sebaliknya mengagumi lagenda rock itu. Foto Facebook Aweera.
Aweera menjelaskan tidak meniru Awie sebaliknya mengagumi lagenda rock itu. Foto Facebook Aweera.
Aweera menjelaskan tidak meniru Awie sebaliknya mengagumi lagenda rock itu. Foto Facebook Aweera.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Mojo iaitu Aweera terkilan apabila kenyataannya dalam sebuah akhbar mingguan minggu lalu telah disalah erti sehingga menimbulkan salah faham dikalangan peminatnya dan penyanyi rock, Awie.

Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham berkata, dia tidak pernah memberitahu meniru cara nyanyian Awie ketika ditanya mengenai persamaan yang berlaku di antara mereka sebaliknya mengagumi dan menjadikan penyanyi itu sebagai idola.

"Saya cuma kata Awie adalah idola saya dan bukannya meniru gayanya. Kalau bercakap pasal nak jadi seperti Awie dan menyanyi sepertinya memang tidak akan ada orang boleh lawan beliau.

"Saya sebagai penyanyi baru memang kagum dengannya dan meminatinya sejak kecil," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Dalam pada itu, Aweera berkata dia tidak pernah berniat untuk menimbulkan kontroversi dengan kenyataannya itu sebaliknya cuba bekerjasama dengan wartawan apabila ditanya pelbagai soalan.

Aweera mengakui, sikapnya yang suka bergurau mungkin telah menyebabkan salah faham dengan apa yang dikatakannya sehingga dipandang serius oleh sesetengah pihak.

"Bukan nak salahkan sesiapa tetapi memang tiada niat untuk cetuskan apa-apa kontroversi sebegini dan perkara ini juga saya sudah dijelaskan kepada wartawan yang menulis artikel itu," katanya.

Sementara itu, Aweera yang bakal muncul dengan filem pertamanya berjudul Left Wings memberitahu ingin lebih serius dalam dunia lakonan selepas ini dan berharap filem berkenaan akan mendapat sambutan baik daripada peminat.

Dia mengambil keputusan untuk serius dalam bidang lakonan kerana ingin mengembangkan kerjaya seninya selain nyanyian.

"Saya mendapat tawaran berlakon filem berkenaan selepas menghadiri uji bakat yang diadakan dan apabila merasai pengalaman berada di set penggambaran saya jadi seronok dan ingin melakukannya lagi," katanya.

Bagaimanapun kata Aweera, itu bukan bererti dia akan meninggalkan dunia nyanyian kerana baginya kumpulan Mojo adalah keutamaannya buat masa ini.

Filem arahan Faisal Caal Ahmad itu turut menampilkan pelakon Shikin Kamal dan akan ditayangkan pada 30 Ogos ini.

Dalam perkembangan lain, Aweera akan menyambut Hari Raya di kampung halamannya di Kangar, Perlis selama seminggu.

Artikel Lain