suria

Adam Lambert Kecam Kenyataannya Berhubung Queen Disalah Erti

Adam Lambert
Adam Lambert
Adam Lambert

NEW YORK: Naib juara program American Idol musim kelapan (AI8), Adam Lambert berkata kenyataan bahawa dia bakal menyertai kumpulan Queen sebagai vokalis legenda rock itu pada sesi jelajah musim panas depan telah disalah ertikan oleh wartawan akhbar Daily Star U.K.

Lambert yang mengadakan persembahan dengan kumpulan itu pada Anugerah Muzik MTV Eropah (EMA) pada November tahun lalu, berkata kepada akhbar tabloid itu dia langsung tidak berniat untuk menggantikan bekas vokalis kumpulan tersebut, Freddie Mercury.

“Niat dan tujuan saya adalah menunjukkan tanda penghargaan kepada Freddie dan kumpulan Queen dengan menyanyikan lagu-lagu hebat mereka.

“Ia adalah untuk mengekalkan muzik mereka di hati peminat dan memberikan tenaga yang boleh membuatkan Freddie berbangga,” katanya dalam kenyataan kepada akhbar tersebut.

Lambert menambah: “Selepas EMA, saya mendengar kecaman dan kritikan orang ramai, ‘Anda tidak boleh menggantikan Freddie Mercury. Saya sudah sedia maklum.

"Tiada niat untuk menggantikan dia (Mercury). Ianya adalah mustahil. Saya untuk melihat keputusan (menyertai jelajah Queen) sebagai tanda penghargaan dan saya tidak mungkin akan mengelak daripada tanggungjawab itu.”

Selepas kenyataan temuramah Lambert diterbitkan di laman web akhbar itu pada Jumaat, penyanyi itu membuat penjelasan pada akaun Twitternya.

“Mereka, ‘wartawan yang bijak’ telah menyalah ertikan kenyataan saya... Saya belum pun mengesahkan sebarang kemunculan bersama kumpulan itu (pada siri jelajah). Saya bercakap mengenai persembahan kami di anugerah EMA yang lalu.

“Melihatkan laporan berkenaan, saya berasa tersentuh dengan kesimpulan mudah (bakal menjadi vokalis Queen) itu,” katanya.

Dalam pada itu, pemain dram Queen iaitu Roger Taylor mengesahkan kepada Billboard pada hujung tahun lalu, dia dan gitaris Brian May sedang mengadakan rundingan untuk mengundang Lambert menyertai mereka dalam siri jelajah kumpulan itu.

Selepas mengumumkan bahawa Queen bakal bersara daripada siri jelajah selepas ini, Taylor berkata: “(Lambert) telah berkembang menjadi penghibur yang hebat dengan mutu vokal yang memukau.

“Kami ingin bekerjasama dengannya lagi. Buat masa ini, tiada sebarang perjanjian dimeterai tetapi kami sedang berbincang mengenai tarikh untuk siri jelajah itu. Ia akan menjadi gandingan yang mengujakan.”

Kali terakhir Queen muncul dengan album studio bersama vokalis Freddie Mercury adalah pada 1991 menerusi Innuendo.

Mercury meninggal dunia pada 24 November 1991 akibat komplikasi AIDS pada usia 45 tahun.

Artikel Lain