suria

Mahkamah Arah Kes Saman Zahnita Dibicara

Model Zahnita Dorothy Hussein Wilson selepas menfailkan saman RM2 juta terhadap Gulatis Exclusive Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 11 Disember tahun lalu. - Foto BERNAMA
Model Zahnita Dorothy Hussein Wilson selepas menfailkan saman RM2 juta terhadap Gulatis Exclusive Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 11 Disember tahun lalu. - Foto BERNAMA
Model Zahnita Dorothy Hussein Wilson selepas menfailkan saman RM2 juta terhadap Gulatis Exclusive Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 11 Disember tahun lalu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kes model Zahnita yang menyaman Gulatis Exclusive Sdn Bhd kerana didakwa menggunakan gambarnya, dibicarakan kerana terdapat beberapa isu yang perlu diperjelaskan.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Gulatis dengan kos untuk membatalkan saman Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson tanpa dibicarakan.

Lee menetapkan 17 Ogos untuk pengurusan kes.

Pada 17 Februari lalu, Gulatis mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman itu kerana mendakwa dalam pernyataan tuntutan model itu, tiada kuasa tindakan terhadap Gulatis (tiada kes untuk di bicarakan di mahkamah) dan mahkamah boleh membatalkannya.

Peguam Suganan Krisnan dan Kumar Thagaraju mewakili Zahnita manakala Abdullah Abd Rahman mewakili Gulatis. Pada 11 Disember tahun lepas, Zahnita, 25, memfailkan saman dengan mendakwa Gulatis menggunakan gambarnya dalam poster dan iklan syarikat itu tanpa kebenarannya, menyebabkan beliau mengalami kerugian besar ekoran pembatalan usahasamanya dengan syarikat tekstil yang lain kerana perkara itu.

Zahnita memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Ahmad Zaidi & Partners.

Zahnita memohon ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi khas, ganti rugi teladan, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau juga memohon supaya Gulatis menghentikan penggunaan gambarnya pada mana-mana iklan syarikat itu dan memohon maaf secara terbuka melalui media massa tempatan.

Zahnita mendakwa pada 15 Januari 2008, beliau telah memberi kebenaran kepada Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (KKSB) untuk menggunakan gambarnya bagi majalah Pesona Pengantin, Nona dan Keluarga bermula Januari tahun lepas.

Beliau mendakwa pada 23 Julai 2008, Gulatis telah meminta persetujuannya secara lisan untuk menggunakan gambarnya daripada hak milik KKSB tetapi beliau tidak bersetuju.

Bagaimanapun pada 30 Julai 2008, Zahnita mendapati Gulatis telah menggunakan gambarnya secara meluas dalam poster, kain rentang, brosur dan iklan syarikat itu tanpa kebenarannya.

Sebelum kejadian itu, Zahnita telah pun bersetuju dengan syarikat tekstil lain, Syarikat Jakel Trading, bagi menjayakan satu usahasama bernilai RM2 juta dan akibat daripada penggunaan gambarnya oleh Gulatis, syarikat Jakel memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengannya kerana beranggapan beliau mewakili Gulatis dalam saingan industri yang sama.

Zahnita berkata beliau telah mengalami kerugian besar ekoran pembatalan usahasamanya dengan Jakel, sekali gus menjejaskan imej dan reputasinya di mata masyarakat.

Berikutan itu, beliau telah menghantar surat tuntutannya pada 19 Ogos 2009 kepada Gulatis menuntut RM2 juta sebagai kerugian dan kehilangan pendapatan, namun syarikat itu masih gagal menjelaskan amaun itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain