suria

Saksi cuma 'syaki' Memey-Norman berkhalwat kerana berada dalam satu premis

Memey dan Norman tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi sesi soal balas kes khalwat mereka. - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Memey dan Norman tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi sesi soal balas kes khalwat mereka. - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Memey dan Norman tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi sesi soal balas kes khalwat mereka. - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Keterangan saksi hari ini sukar untuk membuktikan yang pasangan tertuduh, aktres Memey Suhaiza dan aktor Norman Hakim melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 1 (a) dan (b) membabitkan berkhalwat.

Saksi, Abdul Rahman Lai dalam perbicaraan kes itu berkata dia hanya mengesyaki pasangan Memey-Norman melakukan kesalahan itu sekitar pukul 2 hingga 2.30 pagi ketika disoal oleh Timbalan Pendakwaraya.

Rahman juga memaklumkan dia bersetuju dengan soalan peguam syarie yang dia terjumpa Memey pada pukul 2.45 pagi di tingkat bawah manakala Norman di tingkat atas pada pukul 3 pagi sekali gus tidak menunjukkan mereka melakukan kesalahan itu.

Rahman yang bertugas sebagai ketua operasi di Jabatan Agama Islam Selangir itu juga mengaku tidak mengabil sebarang barang bukti kes di lokasi kejadian termasuk gambar sewaktu menahan pihak tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33, ditemui di bilik atas, manakala Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, ditemui di tingkat bawah iaitu sedang duduk atas kerusi di kaunter pada masa yang berbeza.

Abdul Rahman yang juga saksi pertama pihak pendakwaan memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, hari ini.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi sementara perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Syarie Salehudin Yatim

Norman dan Memey tidak mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Rahman juga mengaku tidak pernah memberikan sebarang kenyataan akhbar selepas melakukan tangkapan itu supaya kenyataan itu tidak diputarbelitkan dan bimbang bercanggah dengan fakta.

Dia juga tidak mengetahui sama ada salah seorang anggotanya, Khairul Nizam memberiksn kenyataan dalam sebuah rancangan TV.

"Saya tak tahu (Khairul Nizam memberikan kenyataan media) dan biasa menonton program itu," katanya.

Apabila peguam Fakhrul Azman Abu Hassan menyoal sama ada keadaan mengetuk pintu selama setengah jam (tanpa sebarang reaksi) tidak boleh menunjukkan kesalahan berkhalwat, Rahman menjawab, "Itu untuk prosedur tindakan diambil."

Rahman juga mengandaikan orang di dalam rumah (Memey dan Norman) boleh mendengar ketukan grill yang dianggarkan mempunyaijarak dalam 5 kaki persegi apabila disoal oleh Timbalan Pendakwaraya.

"Biasanya boleh mendengar...saya pasti boleh dengar," ujarnya.

Lelaki itu turut menelah yang orang di dalam premis itu boleh melihat di luar berdasarkan lubang pada pintu.

Perbicaraan menjadi agak hangat apabila peguam yang mewakili Memey dan Norman membantah keterangan Rahman kerana dia telah memberikan fakta baru yang tidak dibangkitkan dari awal prosiding.

Seterusnya, Rahman juga mengaku dia ada menyaksikan tilam dan bantal dalam sebuah bilik.

Rahman turut bercerita mengenai suasana dia terjumpa Norman dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas.

"Bilik itu banyak barang dan tertuduh (Norman) berada di celah-celah barang tersebut.

"Saya tak sempat tanya tapi dia sendiri yang jawab kerana mendengar bunyi bising di bawah lalu dia masuk ke dalam bilik itu untuk meninjau apa yang berlaku.

"OKT lelaki (Norman) banyak bercakap daripada pihak kami(JAIS) waktu soal jawab secara bergilir-gilir.

"Malah dia mengalih topik perbualan dan membangkitkan isu yang lain," jelas Rahman.

Rahman menambah, ketika berada di bilik atas, Norman yang memakai baju T-putih dan berseluar pendek ketat enggan memberikan kerjasama.

"Saya setuju dengan peguam kalau kedua-dua tertuduh berada di tempat persembunyian pada pukul 3 pagi. Sekiranya diambilkira waktu kami sampai pada jam 2 hingga 2.30 pagi, mereka disyaki berada dalam satu premis.

"Ia disyaki berdasarkan maklumat pengadu dan keadaan waktu itu kerana kedua-dua OKT (Memey dan Norman) mengambil masa yang lama untuk membuka pintu dan langsung tidak membuka pintu.

"Tempoh masa yang lama untuk kami masuk ke dalam boleh memberikan pelbagai kemungkinan yang berlaku," jelasnya.

Kes ini ditangguhkan ke tiga tarikh - 28 Ogos, 11 September dan 9 Oktober, pukul 9 pagi di Mahkamah Rendah Syariah di sini dengan mendengar keterangan saksi seterusnya.

Artikel Lain