suria

Ini cara Angelina Jolie hulur sumbangan, apa yang penting kanak-kanak tak lapar akibat wabak Covid-19

Angelina Jolie turut menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

KRISIS wabak Covid-19 yang semakin serius di seluruh dunia menjejaskan banyak pihak terutamanya mereka yang berasal daripada golongan yang kurang berkemampuan.

Selain selebriti seperti Rihanna, Taylor Swift dan ramai lagi, pelakon Angelina Jolie juga turut serta memberikan bantuan sebanyak 1 juta USD atau RM4.3 juta kepada tabung No Kid Hungry.

"Pada minggu ini, lebih daripada satu bilion kanak-kanak tidak bersekolah di seluruh dunia kerana penutupan yang dikaitkan dengan Covid-19.

"Ramai kanak-kanak bergantung kepada penjagaan dan pemakanan yang mereka terima ketika waktu sekolah. No Kid Hungry sedang berusaha keras untuk membantu seberapa ramai kanak-kanak yang boleh," katanya.

Di Amerika Syarikat, sekolah kerajaan mempunyai program untuk menyediakan makan tengah hari dan makanan ringan kepada pelajar mereka secara percuma dengan pembiayaan negara menerusi Program Makan Tengah Hari Sekolah Negara sejak tahun 1946.

Dengan dasar penutupan sekolah yang disebabkan oleh wabak Covid-19, ramai kanak-kanak, terutamanya daripada keluarga yang tidak mampu terancam dengan kekurangan zat makanan kerana mereka tidak lagi mendapat pengambilan nutrisi dengan betul.

Sumber - E!News

Angelina Jolie, Covid-19

Artikel Lain