suria

Makcik pertikai suap anak dengan nasi lembut, wanita sentap dilabel ‘ibu tidak bijak’ - “Allahuakhbar sampai hari ni saya gosok dada”

Segelintir golongan ibu khususnya ibu muda sering menerima kritikan mengenai cara membesarkan anak masing-masing. -Gambar hiasan

SEGELINTIR wanita sanggup mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa kerana mahu memberi tumpuan kepada anak-anak dan keluarga.

Begitu juga kisahnya dengan seorang wanita ini yang berhenti kerja kerana mahu membesarkan sendiri anaknya yang masih bayi.

Seperti mana ibu-ibu lain yang mahu memberikan yang terbaik buat anak, dia mengambil inisiatif dengan menambah ilmu keibubapaan (parenting) termasuk berkaitan soal pemakanan agar si kecil membesar dengan sempurna.

Namun menurut wanita tersebut, usahanya dipertikaikan oleh ibu saudaranya yang merupakan seorang jururawat, sehingga membuatkan dia berkecil hati.

"Saya seorang ibu dan anak saya baru sahaja berusia 11 bulan. Nak dijadikan cerita kelmarin saya pergi ke rumah mak saudara saya untuk melawat suaminya yang baru sahaja keluar dari ICU.

"Tiba waktu petang, saya menjalankan rutin saya seperti biasa menyuap makan petang pada anak saya. Bekal yang saya bawa waktu itu ialah nasi goreng butter dan salmon.

"Nasi yang saya kukus sedikit lembut berbanding nasi butir yang kita makan harian lepas tu digoreng seperti biasa macam menu anak anak lain.

baby 1

Setiap ibu pastinya mahukan yang terbaik untuk anak mereka. -Gambar hiasan

"Tiba-tiba makcik saya yang dahulunya seorang nurse (20 tahun sudah mungkin), bertanya 'kenapa bagi anak makan nasi, bagilah makan bubur'.

"Saya pun dah terangkan yang saya juga ada belajar ilmu bab makanan anak, bukan saja setakat membaca, banyak sumber sumber lain juga. Paling penting saya dah consult pada doktor dan nurse semasa check-up anak setiap bulan," luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Menantu stres mentua pandai-pandai suap air masak pada bayi umur 2 bulan, awas ‘mummies’ Dr Imelda kata bahaya!

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ingat nak dukung je” - Ibu nyaris hilang anak selepas nenek suap sedikit air masak, apa dilihat dalam imej x-ray amat mengejutkan

Dia pada mulanya enggan mengambil hati dan menganggap kata-kata ibu saudaranya itu sebagai satu nasihat.

Namun selepas satu tindakan yang dilakukan oleh ibu saudaranya yang seolah-olah satu provokasi, dia tidak dapat menyembunyikan rasa marah terhadap wanita berkenaan.

"Esok paginya, selesai saya bersiap untuk pulang. Saya dan anak keluar sahaja dari bilik, dengar dia panggil kami.

"'Meh (mari) uwan suap roti cicah milo'. Saya tak tahulah niat dia untuk menyakitkan hati saya atau apa sebab nadanya macam nak sangat tuju pada saya.

"Sedangkan dia tahu penerimaan saya tentang hal yang semalam tu saya tak boleh terima. Bukan itu saja, dia siap masakkan bubur untuk anak saya campur carrot dan gula.

"Lepastu paksa-paksa nak suap anak saya. Saya terus masuk kereta untuk pulang," kongsinya.

Cara pemikiran kuno... toksik sangat. Abaikan saja, itu anak awak, bukan anak dia.

NETIZEN

Disebabkan apa yang dilakukan oleh ibu saudaranya itu benar-benar memberi kesan, dia mengambil keputusan untuk menghantar mesej kepada wanita tersebut bagi menerangkan isi hatinya serta meminta maaf.

"Tapi lagi menyedihkan hati saya, apa yang dia reply langsung tak seperti saya harapkan. Malah saya disekolahkan lagi.

"Katanya saya ni ibu yang tak bijak, tak boleh ditegur. Nanti pasti anak ikut perangai saya yang tak boleh ditegur. Katanya lagi sepatutnya saya dengar nasihat orang tua, bukan bermasam muka apabila ditegur.

"Allahuakhbar sampai ke hari ni saya menggosok dada... sakitnya tak tahu nak gambarkan dengan kata.

"Sebelum lahirnya anak lagi saya gigih belajar bab bersalin, menyusu, cara tidur anak. Tapi apakan daya. Segala usaha sering dipertikaikan.

"Saya merayu kasihanilah para ibu yang sedang belajar mendidik dan mencorak anak masing-masing. Tiada ibu di dunia ni yang sempurna tapi pasti ingin buat sehabis baik untuk anaknya," luahnya lagi.

komen baby

Luahan wanita berkenaan mengundang perhatian warga maya yang tampil memberikan kata-kata semangat buatnya.

Luahan wanita berkenaan di Kelab Ibu Mengandung Malaysia (KIMM) mengundang perhatian warga maya yang turut sama berkongsi pengalaman hampir serupa.

Malah rata-rata di antara mereka menitipkan kata-kata semangat buat wanita berkenaan dan para ibu yang lain agar terus melakukan yang terbaik buat anak masing-masing.

"Saya dah pernah rasa macam tu tapi saya biarkan. Nanti lama-lama mereka diam sendiri. Yang penting kita saja tahu anak kita macam mana.

"Kalau saya, jawab je 'ohhh ye ke' kemudian pekakkan telinga. Malas nak berbalah.

"Dia jururawat lama atau dah pencen? Cara pemikiran kuno... toksik sangat. Abaikan saja, itu anak awak, bukan anak dia," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain