suria

Wanita buat 2 set bekal, bagi duit belanja lebih... Rupanya kirim satu untuk kawan sekolah anak - “Ibu dia dah meninggal dunia”

Wanita ini menyiapkan dua set bekal untuk anaknya dan rakan. -Gambar Siti Hawa Mohd Zainuddin

UMAT Islam digalakkan untuk menyantuni anak yatim kerana dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

Betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang menjaga kebajikan anak yatim ini sehingga Rasulullah SAW sendiri bersabda bahawa pahalanya adalah setanding dengan orang berjihad.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook, seorang wanita, Siti Hawa Mohd Zainudin meraih pujian ramai kerana kemuliaan hati menyantuni sahabat anaknya yang merupakan seorang anak yatim.

"Saya tapaukan bekal sekolah agama untuk anak dan kawan anak.

"Kawan anak saya ni ibu dia dah meninggal dunia... baru berusia 11 tahun.

"Saya tahu sebenarnya ada masa dia pergi ke sekolah agama tak bawa duit belanja.

bekal 2

Bekalan yang habis dimakan.

"Kadang-kadang anak saya berkongsi makan bekal dengan kawan dia, ada masa saya bagi extra duit belanja untuk kawan dia sekali," tulisnya dalam perkongsian di laman Facebook Masak Apa Tak Jadi Harini.

Dia turut memuat naik sekeping gambar memaparkan dua bekas plastik berisi nasi putih, ikan goreng, sambal udang dan buah-buahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada yang sudi jamah! Anak yatim menangis di jamuan raya, kuih dibawa ‘tak laku’... cikgu selamatkan keadaan

ARTIKEL BERKAITAN: Dari kecil perhati bapa, ibu saudara mewah makan harta anak yatim, wanita dapat kembali hak nilai jutaan ringgit selepas upah peguam

Berkongsi lebih lanjut, wanita ini berkata apa yang membuatkan dia sebak adalah apabila rakan anaknya itu memuji masakannya dan menghabiskan bekalan tersebut.

"Saya berkesempatan jemput dan hantar balik kawan anak ke rumahnya. Sampai di rumah, anak saya keluarkan bekas makanan yang saya bekalkan untuk mereka berdua.

"Anak beritahu saya yang kawan dia makan habis semua yang saya bekalkan. Sedap dia cakap. Allahuakbar sebak rasanya apabila dengar anak bercerita

"Bukan senang kehidupan seorang anak apabila kehilangan seorang ibu kan," tulisnya lagi.

Apa agaknya amalan arwah ibu kawan anak puan tu ye. Hingga dapat kawan yang mempunyai ibu sebaik puan.

NETIZEN

Ternyata perkongsian menyentuh hati itu turut sama mengundang rasa sebak warga maya yang seakan-akan dapat menyelami perasaan seorang kanak-kanak kehilangan ibu.

Dalam ruangan komen, rata-ratanya mendoakan wanita berkenaan kerana kemuliaan hatinya menyantuni anak yatim.

komen 1

Antara komen netizen yang mendoakan wanita berkenaan kerana kemuliaan hatinya.

"Apa agaknya amalan arwah ibu kawan anak puan tu ye. Hingga dapat kawan yang mempunyai ibu sebaik puan.

"Sifat seorang ibu, penuh empati... tahniah sis, semoga Allah perluaskan lagi rezeki sis.

"Semoga puan akan ketemu ibu kawan anak puan ni nanti di syurga. Dia mesti kasihkan puan sebab tak berkira mencurah kasih sayang buat anaknya," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain