suria

Wajahnya manis, nama pun sedap… Queen Sayang gamatkan majlis konvo UiTM, definisi sebenar ‘beauty with brain’

Queen (kiri) melihat ibunya sebagai inspirasi kepada kejayaannya.

BAYANGKAN anda dipanggil ‘sayang’ ketika nama graduan diumumkan untuk penerimaan skrol di pentas konvokesyen.

Tidak cukup sekadar panggilan nama, senarai pencapaian kecemerlangan turut diumumkan hingga menggamatkan satu dewan.

Begitulah yang dirasai si cantik yang bijak ini apabila dia menjadi tumpuan semua hadirin sempena Istiadat Konvokesyen ke-97 di Dewan Agung Tunku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

“Penganugerahan ini didahului oleh penerima anugerah graduan terbaik fakulti dan program serta penerima Anugerah Naib Canselor, Nurqueen Sayang Dinnie Wirakarnain,” demikian pengumuman yang dibuat oleh pengacara majlis dengan penuh bangga.

Gadis berkenaan yang mesra disapa Queen berkata, dia memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM.

Berkongsi pengalaman pada majlis konvokesyen pada 22 Ogos lalu, Queen yang berusia 24 tahun menyuarakan kesyukuran dan gembiranya di atas pencapaian tersebut.

“Individu paling saya berterima kasih tentunya mama yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat. Mama berpesan jangan putus asa, teruskan usaha dan sentiasa berfikiran positif.

“Saya pernah menangis ketika belajar, hampir putus asa sebab tak boleh buat kerana rasa susah sangat. Mama kata saya kena fikir positif dan boleh buat. Alhamdulillah saya berjaya melakukannya,” katanya kepada mStar.

Queen merupakan graduan terbaik fakulti dan program di Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM.

Mengimbas kembali saat namanya diumumkan sebagai graduan cemerlang, anak ketiga daripada enam beradik itu menyifatkannya sebagai satu penghargaan dan penghormatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib gadis bernama Queen Sayang... pensyarah tak nak panggil sebab takut isteri, ibunya pula jenuh menjawab bini orang mengamuk pagi buta

ARTIKEL BERKAITAN: Lengan baju ala ikan laga, satu dewan tertumpu kepada graduan selempang pink! Rupanya busana dipakai ada ‘sejarah’

Namun dia tetap sama apabila panggilan Sayang disebut di dalam dewan sehingga mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

“Saya tak blushing sebab tak fikir apapun yang pelik kerana ia adalah sebahagian daripada nama saya dan menganggap sebagai perkara biasa apabila dipanggil Sayang.

“Malah, ramai ibu bapa lain datang tegur dan panggil saya Sayang bagi mengucapkan tahniah,” ujarnya yang dilahirkan di Pusat Perubatan Queen di Nottingham, United Kingdom sewaktu arwah bapanya menyambung pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di negara itu.

Queen (tiga, kiri) bersama keluarga yang hadir memberi sokongan.

Menjadikan ibunya sendiri, Haznaidah Mat Zain, 50, sebagai inspirasi kejayaan, Queen mengagumi kecekalan dan ketabahan wanita itu yang bergelar ibu tunggal kerana bersusah-payah membesarkan dan mementingkan pendidikan anak-anak.

Pada masa sama, Queen juga tidak melupakan jasa dan pengorbanan bapanya, Allahyarham Wirakarnain Sani yang meninggal dunia 12 tahun lalu akibat penyakit hati.

Saya pernah menangis, hampir putus asa sebab tak boleh buat kerana rasa susah sangat.

NURQUEEN SAYANG DINNIE WIRAKARNAIN

“Berjayanya saya pada hari ini juga atas didikan dan ketegasan arwah papa mendidik kami adik-beradik sewaktu kecil dalam menuntut ilmu.

“Pencapaian dan kejayaan kami adalah dorongan semangat daripada arwah papa juga,” katanya yang kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Sains Komputer.

Queen (hadapan, tiga, kiri) bersama rakan-rakan meraikan konvokesyen.

Selain ibu dan arwah bapanya, Queen turut menghargai sokongan dan nasihat penyelia projek, pensyarah dan teman-teman rapatnya.

Untuk rekod, kisah Queen pernah disiarkan di mStar pada Ogos 2021 gara-gara kisah namanya 'Queen Sayang' menjadi tular.

Queen lega semakin ramai menerima keunikan namanya.

Susulan penganugerahan itu juga, Queen yang bertugas sebagai eksekutif kejuruteraan perisian kini boleh menarik nafas lega apabila semakin ramai menerima keunikan namanya.

“Jika sebelum ini ada segelintir pihak memberi komen-komen negatif hanya kerana ada Sayang pada nama saya. Mereka siap mengkritik ibu bapa saya tak fikir masa depan anak kerana memberikan nama sebegitu.

“Syukur Alhamdulillah, dengan penganugerahan ini, lebih ramai yang memberi kata-kata positif dan menyenangi nama Sayang. Jadi, saya OK je dipanggil Sayang,” katanya yang gemar membuat content di media sosial dan meminati pelakon Korea Selatan, Park Seo Joon.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain