suria

Nasib gadis bernama Queen Sayang... pensyarah tak nak panggil sebab takut isteri, ibunya pula jenuh menjawab bini orang mengamuk pagi buta

Foto kiri video Nurqueen di TikTok, foto kanan Nurqueen (kiri) bersama ibu.

UNIKNYA nama! Tapi ramai yang tak percaya sehingga mahu dia menunjukkan kad pengenalan sebagai bukti.

Begitulah yang dihadapi oleh seorang gadis gara-gara namanya yang panjang dan apabila dipendekkan pula, ia membawa maksud 'permaisuri sayang'.

"Bila nama Queen Sayang... pensyarah tak nak panggil nama," tulisnya menerusi video yang dikongsinya di aplikasi TikTok sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri naik angin anak dinamakan Muhammad Bossku, suami kata, "Nak malu apa isteriku?"

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tulis nama penuh tapi ditegur pensyarah, dianggap sengaja letak perkataan 'Keria'... itulah uniknya nama si ayah - "Madam siap minta maaf menerusi voicenote"

Gadis berkenaan, Nurqueen Sayang Dinnie Wirakarnain berkata, selain kad pengenalan, dia juga pernah menunjukkan bukti lain seperti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Antara yang sukar atau tak nak sebut nama saya adalah seorang pensyarah lelaki. Dia kata kalau panggil saya Queen, nanti kawan-kawan jealous.

"Kalau panggil sayang, nanti bini dia marah. Beberapa kali juga dia suruh kawan yang duduk di sebelah saya dalam kelas untuk panggilkan nama saya.

"Keluarga dan saudara-mara panggil saya Sayang sebab adik-beradik saya semua perempuan juga bernama Queen," katanya kepada mStar.

Nurqueen yang berusia 22 bertahun berkata, lima lagi beradiknya bernama Nurqueen Shazza Dinie, 25, Nurqueen Sarra Dinie, 24, Nurqueen Nabisya Dinnie, 20, Nurqueen Via' Ariqa Dinnie, 17, dan Nurqueen U’myra Dinnie, 15.

"Biasanya kawan-kawan panggil saya Queen. Kalau ada yang panggil saya Sayang, okay je. Dah memang itu nama saya," ujar anak ketiga daripada enam beradik itu.

nama queen sayang 3

Nurqueen Sayang (belakang, dua dari kiri) bersama adik-beradiknya.

Sementara itu, ibu Nurquee, Haznaidah Mat Zain berkata, nama Queen diberikan buat kesemua anak perempuannya sempena anak sulung yang dilahirkan Pusat Perubatan Queen di Nottingham, United Kingdom sewaktu arwah suaminya menyambung pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di negara itu.

Wanita berusia 48 tahun itu bagaimanapun mengakui dia dan arwah suami mengambil masa untuk menetapkan nama Nurqueen Sayang Dinnie selepas bayi mereka dilahirkan.

"Banyak sangat pilihan nama untuk dia. Nama Nurqeen di awal dan Dinie di akhir nama tu kami kekalkan untuk semua anak.

"Lebih kurang 20 nama dicadangkan. Bila saya cadang nama, suami tak berkenan. Bila suami cadang, saya pula tak berminat... nama dah cantik, tapi ada saja yang tak menjadi.

"Sampai satu tahap, nenek Nurqueen kata 'kalau susah-susah sangat, letak nama Sayang. Biar semua orang sayang dia.' Jadi, kami pun letaklah nama Nurqueen Sayang Dinie," ujar ibu tunggal itu yang menetap di Bukit Katil, Melaka.

nama queen sayang 4

Bersama pasukan bola jaring, Nurqueen (belakang, tiga dari kanan).

Di sebalik nama anak ketiganya, dia yang lebih dikenali sebagai Aida berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika pulang menaiki bas bersama anak bongsu dari kampung di Kuala Terengganu, Terengganu ke Melaka.

"Kami sekeluarga memang panggil dia Sayang. Jadi, masa nak sampai ke Melaka pukul 5 pagi tu, saya call dia untuk minta ambil saya dan adiknya di stesen bas.

"Tapi saya tersilap call nombor lain. Saya ingatkan anak, saya pun cakap 'Sayang, mama dah nak sampai. Ambil mama ye'. Rupa-rupanya saya bercakap dengan bini orang.

Lebih kurang 20 nama dicadang... nama dah cantik, tapi ada saja tak menjadi. Nenek Nurqueen kata 'kalau susah-susah sangat, letak nama Sayang. Biar semua orang sayang dia.'

HAZNAIDAH MAT ZAIN

"Perempuan tu punyalah marah sebab ingat saya bercakap dengan suami dia pagi-pagi buta. Perempuan tu mengamuk sampai nak buat laporan polis.

"Tapi memang nama anak saya Sayang pun... cuma saya tersilap call. Saya siap tunjukkan salinan IC anak pada bahagian nama dia untuk tunjuk bukti," katanya.

nama queen sayang 2

Nurqeen Sayang Dinie berpewatakan manja dan sensitif.

Pengusaha kafe itu berkata, nama 'sayang' begitu serasi dengan anaknya yang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jasin.

"Perwatakan dia manja, sensitif dan mudah menangis. Tegur sikit je cepat menangis. Kadang-kadang lebih manja daripada adik-adiknya. Kami kena sayang dia lebih," ujar Aida.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain