suria

Lengan baju ala ikan laga, satu dewan tertumpu kepada graduan selempang pink! Rupanya busana dipakai ada ‘sejarah’

Baju kurung Ain meraih perhatian ramai pada majlis konvokesyen di UiTM.

DEWAN konvokesyen sering menyaksikan momen ibu bapa tidak sabar menantikan kemunculan anak masing-masing naik ke pentas bagi menerima skrol.

Sedang ratusan graduan menunggu giliran menjejak pentas, ibu bapa yang duduk di bawah pula perlu peka mendengar nama anak disebut, bimbang detik bersejarah itu terlepas untuk dilihat.

Apatah lagi kebiasaannya semua graduan memakai jubah sedondon, jika hanya menonton skrin besar sahaja, tidak mustahil momen manis itu juga akan terlepas pandang.

Namun seorang graduan berjaya mencuri tumpuan ramai di dalam dewan gara-gara lengan bajunya yang berwarna terang dan panjang meleret melepasi jubah yang dipakai.

Berkongsi cerita kepada mStar, graduan berusia 22 tahun itu, Nurul Ain Natasha Mat Rahim berkata, baju yang dipakainya merupakan baju kurung warna oren daripada kain sari.

Ain ketika menerima skrol di pentas. -Gambar UiTM

Menamatkan pengajian Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Jengka, Pahang, busana itu sebenarnya dibeli kira-kira lima tahun lalu.

"Baju kurung tu sebenarnya dibeli lima tahun lepas untuk dipakai pada majlis graduasi untuk tingkatan lima pada 2018, anjuran sekolah.

"Tapi tiba-tiba tahun tu (2018) majlis tak jadi sebab penganjur tak ada bajet nak buat. Memang frust masa tu, saya anggap tak ada rezeki," katanya ketika dihubungi.

Ibu bapa hadir memberi sokongan kepada Ain.

Mesra disapa Ain, dia mengakui baju tersebut hanya terperam di dalam almari kerana menganggap ia hanya sesuai dipakai untuk menghadiri majlis tertentu.

"Jujurnya saya tak pernah pakai sebab rasa macam over. Maklumlah, baju tu lengannya besar sangat, kalau nak pergi kenduri pun memang tak sesuai.

"Saya simpan saja baju tu dalam almari. Nak buang sayang, nak pakai terasa over pula," ujarnya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Baju kurung yang diperam selama lima tahun akhirnya dipakai pada majlis konvokesyen.

Bagaimanapun, majlis konvokesyen yang berlangsung di UiTM Shah Alam baru-baru ini membuatkan anak kedua daripada tiga beradik itu berubah fikiran selepas lima tahun.

"Saya teringat baju tu masih belum dipakai. Tapi masih risau tak over ke, dengan lengan yang meleret dengan trend fesyen pun dah berubah.

"Pada masa sama, saya fikir untuk pakai sebab tak nak membazir. Saya tak terfikir pula lengan baju ni akan menarik perhatian satu dewan," katanya yang kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Puncak Alam.

Ain (tengah) bersama sahabat-sahabat yang memberi sokongan kepadanya.

Menerusi video momen menerima skrol di pentas yang dimuat naik di TikTok, pengikut K-Drama dan peminat pelakon Korea Selatan, Kim Seon Ho ini berasa terhibur dengan komen-komen netizen.

"Ada yang kata lengan baju comel macam ikan laga dan senang mak ayah nak cari dalam dewan. Siap ada yang kata mereka nampak saya atas pentas dalam dewan walaupun tak kenal saya," ujarnya ceria.

Saya tak pernah pakai sebab rasa macam over. Pada masa sama, saya fikir untuk pakai sebab tak nak membazir.

NURUL AIN NATASHA MAT RAHIM

Selain jubah biru gelap dan lengan oren terang yang panjang meleret, Ain turut menjadi perhatian kerana memakai selempang merah jambu apabila menerima pencapaian Anugerah Naib Canselor (ANC).

Ain mengakui dia pada mulanya tidak menyangka menjadi salah seorang penerima ANC kerana bukan mudah baginya untuk mengekalkan prestasi yang cemerlang setiap semester.

Ain (dua, kiri) bersama rakan-rakan sekelas.

"Syukur Alhamdulillah, jutaan terima kasih kepada mak ayah saya tak putus-putus doa untuk saya setiap kali peperiksaan dan semua pensyarah yang saya WhatsApp pagi-pagi buta untuk tanya macam-macam.

"Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat kerana sentiasa bersama sepanjang 'journey' termasuk mereka yang memberi sokongan secara langsung dan tidak langsung.

"Sentiasa ingat usaha, doa dan tawakal memainkan peranan penting. Kepada mereka di luar sana, doakan saya istiqamah dan dapat menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan cemerlang," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain