suria

Wanita Melayu suap makan, belai-belai manja anjing tahan kena maki... Tak sampai hati tengok haiwan jalanan kebulur

Ummi mendedahkan dia sering dikecam gara-gara memberi makan kepada anjing jalanan.

PERISTIWA yang berlaku di sebuah stesen minyak pada tahun 2018 menjadi titik tolak kepada usaha murni wanita ini dalam menyantuni anjing-anjing jalanan.

Ummi, 29, yang turut dikenali sebagai Mommy Manes di TikTok mengakui hatinya tersentuh apabila 'dipertemukan' dengan seekor ibu anjing yang kelaparan dalam kejadian tersebut.

"Masa tu saya berhenti isi minyak di Ipoh. Saya nampak seekor anjing lari datang dekat saya. Pada mulanya saya takut, tapi ia nampak macam kelaparan, seolah-olah meminta makanan. Kebetulan masa tu saya baru beli satu bucket Kentucky Fried Chicken (KFC) untuk belanja keluarga.

"Saya tergerak bagi seketul ayam, anjing tu menangis keluar air mata masa saya bagi ayam. Saya tengok ibu anjing pergi bagi ayam tu untuk anak-anaknya yang masih kecil. Hati saya tersentuh. Sudahnya bucket KFC RM60 tu saya berikan semua.

"Kemudian saya pergi beli KFC yang lain untuk keluarga saya. Sejak itu saya mula bagi makan kepada anjing jalanan di Perak. Kemudian saya pindah pada tahun 2022, saya teruskan pula bagi makan anjing jalanan di sekitar Petaling Jaya," ujarnya.

Menurut eksekutif pemasaran di sebuah bakeri itu, dia tidak kisah berbelanja RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk anjing-anjing jalanan, bahkan sanggup membuat kerja sambilan sebagai ejen jualan kereta untuk menampung perbelanjaan.

Walaupun dimarahi tapi saya tak sedih sebab saya yakin niat saya betul.

UMMI SAKINAH RUSMI

Di sebalik usaha murninya itu, Ummi berkata dia juga tidak terlepas menerima teguran segelintir individu termasuklah yang memarahinya ketika dia memberi makan kepada haiwan jalanan.

"Saya berpegang kepada apa yang mak saya cakap, dia kata Allah tahu niat kita. Selagi kita yakin, teruskan saja. Manusia tak akan berhenti kecam. Mereka carut, saya abaikan saja. Kalau saya tak tolong, siapa lagi nak tolong anjing jalanan?

"Ada yang maki saya depan-depan. Dia kata kau Melayu, kau bodoh ke bagi anjing makan? Walaupun dimarahi tapi saya tak sedih sebab saya yakin niat saya betul. Apabila tengok kegembiraan anjing tu, hilang semua komen-komen negatif," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anjing setia tahap tertinggi... enggan berganjak, sabar tunggu tuan datang ambil! Pemuda sanggup hiking sehari 2 kali nak beri makan

ARTIKEL BERKAITAN: Anjing jalanan jadi kawan! Lain macam selera, setiap hari kena jamu roti sapu butter - “Beli barang dapur, tak pernah lupa mereka”

Menurut Ummi, di sebalik kecaman yang diterima, dia juga gembira melihat semakin ramai orang Melayu terbuka dalam soal itu dan mula menyantuni anjing-anjing jalanan yang memerlukan bantuan di serata negara.

"Setiap kali bagi haiwan makan, saya akan sertu. Tapi mungkin ada orang tak faham. Saya kongsi video sebab nak ketengahkan supaya orang sayang haiwan jalanan. Dan Alhamdulillah saya tengok sekarang ramai orang baik.

"Di TikTok, ramai juga orang Melayu beri makan pada anjing jalanan. Mereka berkongsi cerita di ruangan komen. Saya berbesar hati tengok ia dah jadi kebiasaan. Apabila baca komen, ramai sebenarnya yang baik, cuma mungkin kita tak nampak.

ummu2

Ummi gembira dapat membantu anjing-anjing jalanan.

"Dan kepada yang baru berjinak-jinak untuk beri makan, jangan takut untuk cuba benda baru. Kalau takut, boleh letak makanan jauh-jauh dulu. Paling senang, sentiasa bawa makanan haiwan dalam kereta. Kalau nampak di mana-mana, boleh bagi," pesannya lagi.

Sebelum ini Ummi menggerakkan inisiatif itu atas kapasiti sendiri, namun dia kini turut terlibat sebagai sukarelawan untuk MyStray Rescue.

Menerusi MyStray Rescue, mereka bukan sekadar memberi makan kepada anjing jalanan, malah turut memandulkan dan melatih haiwan-haiwan itu sebelum mereka diserahkan kepada 'keluarga' baharu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain