suria

[V] Anjing setia tahap tertinggi... enggan berganjak, sabar tunggu tuan datang ambil! Pemuda sanggup hiking sehari 2 kali nak beri makan

Ady mendaki hampir setiap hari untuk memberi makanan dan minuman buat anjing terbiar itu.

SEBAGAI individu yang aktif dan menjaga kesihatan, Ady Budika, 38, sudah terbiasa melakukan aktiviti hiking di Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur.

Namun, pendakiannya pada minggu lalu membawa kepada pertemuan dengan seekor anjing yang kesepian, seolah-olah setia menanti pemiliknya setelah ditinggalkan di sebuah pondok di laluan pendakian berkenaan.

Menurut Ady, hatinya terus sayu melihat haiwan itu yang kelihatan tidak berganjak dari lokasi berkenaan, sekali gus membuatkan dia tertanya-tanya mengenai asal-usulnya.

"Saya selalu hiking kerana lokasi ini dekat dengan rumah. Ketika hiking sendirian minggu lepas, saya nampak ada seekor anjing duduk di bawah sebuah pondok. Sebelum ini jarang saya nampak anjing atau kucing di kawasan Bukit Kerinchi.

"Anjing tu nampak macam tengah tunggu seseorang. Saya terjumpa beberapa aunty yang sedang hiking, mereka kata anjing ni baru saja ada dekat kawasan Bukit Kerinchi. Aunty tu kata mungkin anjing tu dibuang oleh tuannya. Tak tahu la kisah tu betul ke tidak.

"Tapi boleh nampak anjing tu setia duduk dekat pondok. Dia gerak pergi mana pun akan balik semula ke pondok. Nampak muka anjing tu macam tengah cari seseorang, ia akan lihat muka orang yang lalu-lalang," ceritanya lagi.

Jika benarlah anjing tu ada pemilik. Kalau nampak video ini, mungkin ia sedang tunggu tuan, dari segi gaya nampak macam nak balik kepada tuannya.

ADY BUDIKA

Menurut Ady yang bekerja sebagai perunding dalam bidang unit amanah di sebuah bank, dia tidak sampai hati untuk membiarkan anjing itu kelaparan sehingga sanggup mendaki dua kali pada hari yang sama untuk memberikannya sedikit makanan dan minuman.

"Ketika kali pertama jumpa anjing tu, saya tak bawa apa-apa. Masa nak balik, saya rasa sayu. Saya pula ada lapan kucing di rumah. Jadi saya balik ke rumah, petang tu saya hiking lagi sekali untuk bawa minuman dan makanan.

"Sehingga ke hari ini, saya akan hiking hampir setiap hari untuk hantar makanan. Ada sehari saja saya tak dapat pergi. Saya sanggup hiking untuk pergi tengok anjing tu sebab rasa kesian. Bila dah balik rumah pun masih teringat.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Bukan pencinta haiwan’ terpaksa layan anjing tak bertuan tapi ‘kerek’... akhirnya mesra siap tumpang tidur rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Sayang Loki! Askar sebak tak sanggup berpisah dengan anjing ‘kawan baik’ ketika bertugas

"Saya harap tuannya dah datang ambil. Tapi setiap kali saya pergi, saya lihat anjing tu masih setia di sana. Kalau ia pergi ke mana-mana pun, ia tetap balik ke pondok itu," ujar Ady lagi.

Dia turut berkongsi kisah anjing berkenaan menerusi aplikasi TikTok sehingga menerima hampir setengah juta tontonan.

Selepas tular di TikTok, beberapa individu turut pergi ke Bukit Kerinchi dan meninggalkan makanan di pondok berkenaan demi memastikan anjing tersebut tidak terbiar kelaparan.

ady3

Ady merupakan pemilik lapan ekor kucing.

"Selepas saya kongsi video dan lokasinya di TikTok, ada orang pergi hantar makanan di pondok itu. Saya juga ada buat video khas untuk tunjuk laluan ke pondok. Ramai yang komen minta saya bawa turun. Tapi saya pun ada kekangan, sukar untuk tolong bela.

"Ada juga yang suruh saya cari aktivis untuk bantu anjing itu, supaya ia boleh diselamatkan. Tapi yang komen menyalahkan saya pun ada. Apa saya boleh buat, saya cuba bawa anjing tu turun, tapi ia tetap naik balik ke pondok.

"Tapi saya harap orang akan bawa makanan bila pergi hiking, sekurang-kurangnya boleh bantu anjing atau kucing terbiar yang ada di sana. Saya juga akan terus hiking ke sana dan bawa makanan untuknya," ujar Ady yang memberi nama Marshmallow buat anjing kesepian itu.

ady8

Setiap kali hiking, Ady akan memuat naik video perkembangan terbaharu anjing itu.

Dalam pada itu, Ady ketika dihubungi mStar sempat menitipkan pesan kepada pemilik sebenar anjing berkenaan jika ia betul-betul ditinggalkan dan dibuang di lokasi itu,

"Saya ada pesanan. Jika benarlah anjing tu ada pemilik. Kalau nampak video ini, mungkin ia sedang tunggu tuan, dari segi gaya nampak macam nak balik kepada tuannya.

"Dan pesanan umum untuk semua, kalau ada kesulitan ketika pelihara binatang, lebih baik lepaskan dengan cara yang betul. Contohnya, cari orang untuk sambung jaga. Atau beri kepada aktivis atau pusat pengumpulan haiwan," pesannya lagi.

ady7

Antara komen netizen di TikTok.

Tambah Ady, dia percaya dengan konsep rezeki dan tidak pernah sesekali tidak cukup wang sepanjang hampir 10 tahun membela haiwan.

"Saya dah bela kucing dekat 10 tahun. Memang betul, bab rezeki saya tak boleh nafikan. Walaupun rasa 'sesak' dari segi kewangan, Allah tetap bagi cukup. Rezeki masih ada.

"Sebab tu kita kena buat baik dengan binatang. Walaupun kos bela kucing lagi mahal dari kos diri sendiri, saya anggap ia rezeki kucing. Dalam rezeki kita, ada rezeki untuk mereka," ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain