suria

Terkejut ustaz! 2 beranak ‘dinosaur’ bikin kecoh kelas mengaji, si bapa nak pupuk minat anak 4 tahun belajar al-Quran

Seorang bapa membawa anaknya ke kelas mengaji dengan memakai kostum dinosaur.

KANAK-kanak akan berasa lebih seronok jika belajar beramai-ramai bersama kawan, begitu juga ketika mengaji.

Suasana di sebuah rumah guru mengaji meriah apabila seorang kanak-kanak perempuan datang dengan kostum dinosaur berwarna hijau.

Kehadirannya turut ditemani oleh 'bapa dinosaur' yang datang menaiki motosikal sehingga mencuri tumpuan sekumpulan murid.

Guru mengaji, Syed Izlan Syed Mohamad berkata, individu yang memakai kostum dinosaur itu adalah abang iparnya yang datang membawa anak perempuan berusia empat tahun untuk mengikuti kelas bacaan al-Quran di kediamannya di Taman Sri Gombak di Gombak, Selangor, pada Selasa lalu.

Pemuda berusia 34 tahun itu sendiri tidak menyangka abang iparnya, Tengku Khairuddin Tengku Ahmad, 32, berani tampil memakai kostum dinosaur bersama anak sulungnya, Tengku Wan Aafiyah ke kelas mengaji.

"Abang ipar berperwatakan ceria, kelakar dan 'gila-gila', dia adalah pelawak dalam keluarga. Tak sangka pula dia 'buat perangai' datang ke kelas mengaji pakai kostum.

"Ini pertama kali dia datang bersama anak pakai kostum. Nampak abang ipar sampai di pintu pagar, saya memang terkejut. Memang meriah hari tu," katanya kepada mStar.

anak mengaji 4

Ustaz Izlan (tengah) bersama murid-muridnya di kelas mengaji.

Menjadi guru mengaji sambilan sejak 2017, dia yang lebih dikenali sebagai Ustaz Izlan menjelaskan bahawa anak saudaranya itu bagaimanapun tidak mengaji pada hari berkenaan.

"Sebenarnya anak saudara dibawa ayahnya ke rumah saya sejak lebih setahun lalu, bermula usianya tiga tahun setiap kali ada kelas mengaji.

"Dia masih terlalu kecil untuk belajar mengaji. Cuma ayahnya sering bawa datang ke kelas mengaji bagi membiasakan diri dengan suasana itu dan mengalakkannya untuk mempunyai minat mengaji," ujarnya yang berasal dari Felda Gunung Besout di Sungkai, Perak.

anak mengaji 5

Keakraban Tengku Khairuddin bersama anak perempuannya, Tengku Wan Aafiyah.

Kata Ustaz Izlan, kedua-dua beranak itu datang ke rumahnya hampir setiap minggu dan sering menghabiskan masa antara lima hingga 10 minit,

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis cantik agama Hindu rupanya hafal surah al-Quran sejak kecil, siap baca terjemahan - "Bagi saya hidayah adalah milik Tuhan"

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 5 tahun 'miming' abang baca Iqra dianggap 'next Sharifah Sakinah'... bapa baru sedar bila ramai tegur - "Betul juga"

"Setiap kali datang, abang ipar akan duduk di sofa bersama anaknya. Ketika itu saya mengajar murid-murid yang datang belajar mengaji.

"Ada waktu saya ajak dia duduk sebelah sambil mendengar saya ajar murid-murid mengaji," tambahnya.

anak mengaji 3

Ustaz Izlan bersetuju kaedah menggalakkan anak-anak mengaji di usia muda.

Ustaz Izlan yang merupakan jurugambar sepenuh masa dengan pengalaman selama 13 tahun berkata, anak saudaranya itu seorang yang ceria dan tidak tantrum.

"Saya setuju dengan apa yang abang ipar lakukan untuk menggalakkan anak kecilnya minat mengaji. Hantar saja, buat masa ini tarik minat dia dan perlu ada fokus.

Ayahnya sering bawa anaknya ke kelas mengaji bagi membiasakan suasana itu dan mengalakkannya untuk mempunyai minat mengaji.

SYED IZLAN SYED MOHAMAD

GURU MENGAJI

"Sememangnya mudah untuk menarik minat budak-budak kecil untuk mengaji. Kena dedahkan mereka sama ada menerusi telefon atau mengajar sendiri.

"Kanak-kanak tak boleh dipaksa. Jangan beri tekanan kepada anak-anak untuk belajar mengaji tapi boleh galakkan mereka untuk mempunyai minat," ujarnya sambil menambah mempunyai lebih 30 pelajar, seawal usia lima tahun sehingga 30-an.

anak mengaji 2

Sebahagian murid Ustaz Izlan yang ceria di kelas mengaji.

Mengakui dirinya seorang guru yang tegas, namun Ustaz Izlan tidak suka memaksa murid-muridnya kerana enggan menjadikan kelas mengajinya terlalu 'berat'.

"Kalau ada pelajar yang lambat pick up, saya ajar mereka perlahan-lahan. Apa yang penting adalah mereka belajar secara konsisten dan ada hasilnya," katanya lagi.

Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok @izlansomai, rata-rata netizen tertarik dengan kemunculan 'dinosaur' di kelas mengaji.

"Gigihnya, janji anak tu nak pergi mengaji.

"Alhamdulillah, dinosaur Islamik. Kalau aku budak-budak ni, memang tak fokus dah," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain