suria

Mak pergi awal Ramadan, ayah menyusul menjelang Syawal! Anak berdamai dengan diri, bersedia hilang ibu bapa sejak usia 8 tahun

Firdaus bersama empat lagi adik beradiknya menyambut Syawal tahun ini tanpa ibu dan ayah.

PASTINYA tiada sesiapa di dunia ini yang bersedia berdepan peristiwa kehilangan insan tersayang.

Tetapi pemuda berusia 28 tahun ini sedikit berbeza kerana dirinya begitu tenang mendengar berita paling sedih dalam kehidupannya yang mana ibu dan bapanya meninggal dunia dalam selang masa yang sangat singkat.

Meluahkan perasaannya menerusi ciapan di Twitter, Muhammad Firdaus Zulkifli mengakui dirinya masih bercampur baur sama ada bersedia atau tidak dengan ujian hebat ini.

Ciapan asal yang dibuat oleh Firdaus.

Ciapan asal yang dibuat oleh Firdaus.

Ibunya, Dewi Manja Ismail meninggal dunia pada 28 Mac lalu manakala bapanya, Zulkifli Md Ali menghembuskan nafas terakhir pada 19 April di saat umat Islam sedang bergembira untuk meraikan Syawal yang bakal menjelang.

"Mak aku pergi awal Ramadan, ayah aku pergi akhir Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah tak jawab telefon, rupanya sudah meninggal seorang diri malam raya... Kakak terkilan, Syawal kedua baru urus jenazah

ARTIKEL BERKAITAN: Putera sulung meninggal 2 hari sebelum Aidilfitri, wanita ini jemput kawan-kawan arwah anak datang beraya... Riuh-rendah jadi ubat rindu

"Apa-apa pun syukur semuanya dipermudahkan. Tapi apabila bercakap berkenaan ready atau tidak aku rasa aku dah ready sebab mak ayah aku dah lama sakit.

"Sejak aku darjah dua, mak aku ada kanser. Ayah pula kena strok tahun 2011... sekarang aku dah 28 tahun," ciapnya.

Sejak umur lapan tahun saya sudah ajar diri untuk bersedia jika bila-bila masa Allah nak ambil mereka berdua.

FIRDAUS

Mengakui telah lama melihat ibu dan bapanya berjuang untuk meneruskan kehidupan, dia reda dan seolah-olah dapat 'berdamai dengan diri' apabila membandingkan ujian untuk dirinya ini dengan individu lain yang lebih hebat dugaannya.

Baginya, kehilangan kedua-dua insan tersayang dalam tempoh masa yang singkat tidaklah sebesar ujian individu yang ibu bapanya meninggal dunia secara tiba-tiba.

Arwah ibu dan ayahnya meninggal pada Ramadan lalu.

Arwah ibu dan bapanya meninggal pada Ramadan lalu.

Menceritakan semula kisah hidup kedua orang tuanya kepada mStar, anak jati Kuala Lumpur ini berkata, ibunya disahkan menghidap kanser payudara pada 2004 dan terkena serangan strok pada 2019.

"Selepas strok, kesihatan mak semakin merosot dan kurang aktif... sebulan lebih sebelum meninggal dunia, mak kena sakit lemah jantung yang mana kesannya paru-paru berair dan sesak nafas. Dua kali ulang alik ke Hospital Serdang masa itu.

"Ayah pula kena strok pada 2011. Tiga injap jantung ayah tersumbat pada Disember 2021... bulan Jun ini sepatutnya ada prosedur tapi ayah 'pergi' dulu," ujarnya sambil menambah kedua-dua orang tuanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UPM, Serdang, Selangor.

Menjawab pertanyaan pelayar Twitter yang meluahkan perasaan kehilangan seorang ibu, ujar Firdaus, dia yakin setiap yang hidup pasti akan merasakan mati.

"Jadi dengan sakit tersebut, sejak umur lapan tahun saya sudah ajar diri untuk bersedia jika bila-bila masa Allah nak ambil mereka berdua.

Gambar kenangan mereka sekeluarga.

Gambar kenangan Firdaus sekeluarga.

"Allah dah panjangkan umur mereka 20 tahun untuk kami hidup bersama dan keadaan di akhir hayat mereka... mereka sangat uzur.

"Maka saya rasa jika ditakdirkan mereka pergi, memang itulah yang terbaik daripada mereka terus hidup dan menahan sakit yang tiada penghujung," luah anak kedua daripada lima beradik itu lagi.

Bercerita tentang sambutan raya tahun ini, dia mengakui suasananya agak suram namun kasih sayang saudara mara serta orang sekeliling meredakan kerinduan terhadap arwah ibu dan bapanya.

"Walaupun bersedihan, kami bergotong royong pada malam raya untuk masak rendang ayam dan rendang kerang seperti yang ibu selalu masak dulu bagi mengubat rindu kepada mereka," tambahnya.

Malah bapanya sempat menitipkan nota terkahir untuk mereka adik-beradik yang meminta mereka mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri dengan Allah agar tidak menyesal di kemudian hari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain