suria

Klasik! Adik pakai baju kahwin, kakak pula bakal gayakan busana nikah milik ibu berusia 18 tahun... cantik dan jimat kos

Azeera mengenakan baju sanding yang dipakai ibunya pada tahun 1995.

KEBANYAKAN pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga sanggup berhabis ribuan ringgit bagi menggayakan busana baharu pada hari bahagia.

Rata-rata bakal pengantin berpandangan, rekaan kontemporari yang serba moden itu akan membolehkan mereka tampak anggun ketika menjadi raja sehari.

Berbeza pula dengan gadis berasal dari Skudai, Johor ini yang memilih untuk memakai busana berusia 18 tahun pada majlis pernikahannya, 18 Februari lalu.

Azeera turut memaparkan gambar ibunya ketika mengenakan pakaian tersebut.

Azeera turut memaparkan gambar ibunya ketika mengenakan pakaian tersebut.

Bercerita kepada mStar, Nur Azeera Halim berkata seperti pasangan pengantin lain dia juga mempunyai keinginan untuk menggayakan pakaian baharu.

"Pada awalnya tak terfikir pun nak pakai baju kahwin mak.

"Semestinya untuk hari perkahwinan saya ingin sesuatu yang baharu, tapi mak sampaikan hasrat mahu lihat anaknya yang pertama kali berkahwin pakai baju kahwinnya," ujarnya yang kini berusia 24 tahun.

Kebetulan, baju sanding yang digunakan ibunya dahulu turut sesuai dengan ukuran badan Azeera.

Bagaimanapun, dia perlu membuat beberapa perubahan terhadap busana itu seperti menambah kain hiasan lace.

"Kebetulan saya memang muat baju tersebut. Rezeki saya Alhamdullilah. Cuma ada penambahbaikan seperti lace di bahagian lengan sebab lengan bajunya pendek," katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

ARTIKEL BERKAITAN: Mekap sendiri, pakai baju lama! Pengantin baharu selamat ‘kahwin bajet’, kos bawah RM1,000 - “Saya tak pernah fikir tentang orang”

ARTIKEL BERKAITAN: Makin ramai berangan nak kahwin anak raja! Tema Melayu klasik dapat perhatian... Siap mandi bunga air 7 telaga, naik kereta Cinderella

Tambah Azeera lagi, kakaknya juga memilih untuk mengenakan busana nikah ibunya yang berwarna ivory white ketika majlis perkahwinan yang dirancang pada Ogos nanti.

"Alhamdullilah hasrat mak tercapai untuk kedua-dua anak perempuannya memakai pakaian perkahwinan miliknya," luahnya gembira.

Baju nikah ibu lawa lagi, memang style tu naik balik sekarang. Tapi itulah, pergelangan tangan aku nak masuk pun tak muat.

WARGA MAYA

Menurut isteri kepada Azman Mohd Fadzil itu lagi, meskipun baju tersebut dibuat pada 1995, namun kualiti kainnya masih terpelihara.

Rekaannya juga masih sesuai digayakan pada masa kini.

Tambahan pula, fesyen lengan besar atau puff kembali digayakan.

Penambahan lace dibuat kerana tangan baju tersebut pendek.

Penambahan lace dibuat kerana tangan baju tersebut pendek.

"Selepas nikah mak hantar ke dry cleaning dan simpan di dalam plastik khas dengan memastikan terdapat pengudaraan.

"Baju tu nampak elok mungkin disebabkan kualiti kain pada zamannya dan tak dinafikan keadaan kain masih cantik serta tidak dimakan usia.

"Kalau tengok pada design pun, zaman sekarang popular dengan lengan tangan puff," ceritanya yang kini sedang menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor.

Perbandingan gambar perkahwinan Azeera dan ibunya.

Perbandingan gambar perkahwinan Azeera dan ibunya.

Disebabkan baju sanding berusia belasan tahun itu masih cantik, video Azeera tular di laman TikTok sehingga mendapat lebih 845,000 tontonan.

Menyusuri ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa teruja kerana busana tersebut bukan sahaja masih elok malah boleh dipakai oleh generasi seterusnya.

Tidak kurang juga yang membincangkan saiz badan masing-masing yang lebih besar berbanding generasi dahulu.

"Ramai komen baju ada tapi tak muat... samalah aku pun.

"Baju nikah ibu lawa lagi, memang style tu naik balik sekarang. Tapi itulah, pergelangan tangan aku nak masuk pun tak muat.

"Masalahnya baju nikah kita, anak-anak tak muat nak pakai," ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain