suria

Ubati kerinduan ramai, Dr Mahathir kongsi perkembangan terkini... Siap pakai helmet The Mandalorian buat sendiri!

Tun Dr Mahathir ceria melayani keletah Umar. Foto: Facebook Dr Mahathir Mohamad

SEJAK kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad seakan-akan sepi seketika daripada arena politik negara.

Justeru, ramai yang tertanya-tanya mengenai perkembangan sosok negarawan berkenaan.

Seakan-akan 'mengubati kerinduan' ramai, mantan Perdana Menteri itu membuat hantaran terbaharu di laman Facebook pada petang Khamis.

Menerusi hantaran berkenaan, Dr Mahathir meluahkan rasa teruja dan gembira apabila diwawancara oleh seorang personaliti cilik, Umar Amirul Shakur Haiccal, untuk satu saluran di Youtube.

Menurut Dr Mahathir, 97, dia ditanya pelbagai soalan yang jarang-jarang diterimanya sebagai seorang tokoh politik.

"Umar baru berusia 12 tahun dan minat bola sepak. Tanya Umar, macam mana nak capai umur 97 tahun. Saya jawab kena tunggu lagi 85 tahun lagi baru tahu macam mana boleh capai.

tun 2

Dr Mahathir 'berposing' dengan aksi 'mini love'.

"Dalam temuramah tadi, saya cukup seronok dengar celoteh Umar dan dia begitu petah bercakap.

"Banyaklah soalan ditanya umpamanya bagaimana saya di zaman bersekolah, apa pesanan ibu saya, kenapa bina KLCC, Putrajaya, KLIA, pandangan bolehkah jadi influencer saja tanpa belajar dan banyak lagi," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Tun M pun ada TikTok... video siap buat ‘challenge’

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir letak jawatan Pengerusi Pejuang

Dalam temu bual dua susuk yang jauh berbeza usia itu juga, Dr Mahathir mendedahkan Umar turut bertanya mengapa dua buah topeng watak-watak siri francais Star Wars, The Mandalorian dan Darth Vader, diletakkan di pejabatnya.

"Sebenarnya helmet ini dicetak mengguna 3D-printer. Saya berminat dan beli printer ini untuk buat sendiri beberapa barang, cumanya perlu belajar program dan sabar tunggu hingga siap.

"Kalau dahulu saya ukir kayu guna pisau dan tangan, sekarang semuanya pakai mesin. Lebih mudah. Cuma perlu faham dan mahir untuk program mesin saja," kongsinya lagi.

Gambar-gambar dan video itu temu bual berkenaan turut dikongsi oleh Dr Mahathir di media sosialnya.

Tun tetap idola dan inspirasi untuk anak-anak dan generasi akan datang.

NETIZEN

Kelihatan pemimpin berkenaan 'sporting' melayan keletah Umar apabila diminta membuat posing 'mini love'.

"Sengaja saya usik minta jelaskan apa itu 'mini love'. Yang saya faham, rapatkan ibu jari dan jari telunjuk tu... itu simbol minta duit!

"Umar terangkan simbol love asalnya besar, kena guna dua tangan untuk cantum jadikan love, tapi ada orang cipta pula simbol love dengan dua jari. Pandai dia menjawab," kongsinya lagi.

Dr Mahathir dalam pada itu berkata beliau sempat menitipkan pesanan buat personaliti cilik berkenaan.

"Saya pesan kepada Umar, rajin-rajinlah belajar supaya masa depan lebih terjamin. Semoga impiannya tercapai suatu hari nanti. InsyaAllah," tulisnya lagi.

Sementara itu menerusi ruangan komen, rata-rata menyifatkan personaliti cilik berkenaan sungguh beruntung kerana dapat bertemu dengan seorang figura hebat seperti Dr Mahathir.

tun komen

Netizen mendoakan kesihatan dan kesejahteraan buat Dr Mahathir.

Dalam pada itu, ramai yang turut mendoakan kesihatan dan kesejahteraan negarawan berkenaan.

"Bertuah Umar dapat jumpa Tun. Semoga Umar mewarisi kepintaran dan sikap budiman Tun ada bila besar nanti.

"Bilalah boleh jumpa Tun depan-depan. Dari zaman sekolah teringin nak jumpa masa di kampung selalu tengok TV, sampai sekarang dah kerja di semenanjung pun teringin sangat nak jumpa. Moga Tun sentiasa sihat.

"Tun tetap idola dan inspirasi untuk anak-anak dan generasi akan datang. Semoga satu hari nanti lahir seorang lagi pemimpin hebat seperti Tun untuk Malaysia," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain