suria

[V] “Mak nak bawa satu beg saja” - Ibu meninggal masa buat umrah, anak kongsi kebaikan arwah... paling ingat kata-kata doktor di Madinah

Ibu Ustaz Zul meninggal dunia di Madinah pada 5 Disember lalu.

KUNJUNGAN penceramah bebas, Ustaz Zulhazwan Ismail ke tanah suci kali ini ternyata meninggalkan memori yang berbeza buat dirinya.

Dia yang sudah lapan tahun bertugas sebagai mutawif pulang ke tanah air dengan linangan air mata selepas ibunya, Siti Norjahan Nahood Ghanny meninggal dunia di Madinah pada 5 Disember lalu.

Senang disapa Ustaz Zul, dia berkata ibunya yang berusia 58 tahun berada dalam keadaan sihat sepanjang berada di sana, tetapi 'pergi' secara mengejut, sehari selepas mereka menziarahi makam Rasulullah.

"Selesai buat umrah, kami ziarah makam Rasulullah. Esoknya pada Isnin (5 Disember) mak kata letih. Saya tengok mak mengantuk, tak larat, macam nak tidur. Saya pun memang fikir dia nak tidur.

"Dia sebut Lailahaillallah sebanyak tiga kali. Kemudian ada jemaah tanya nak air ke? Kami bagi dia air zam-zam. Kemudian dengar mak mengeluh sambil sebut 'Allah' beberapa kali. Tak nampak macam nazak pun.

"Mak tak berhenti sebut nama Allah. Kemudian mak tidur. Tak lama kemudian ada jemaah sedar mak dah tak bergerak. Kami kejut tapi mak tak bangun-bangun, lepas lima minit ambulans terus datang," imbasnya.

Sepanjang hidup, kami tiga beradik tak pernah kena cubit atau kena rotan dengan mak.

USTAZ ZULHAZWAN ISMAIL

Menurut Ustaz Zul, dia menerima ketentuan Allah dengan hati terbuka dan menganggap umrah kali ini sebagai perjalanan yang istimewa buatnya.

"Selepas dimaklumkan mak dah tiada, saya terkesima sekejap. Doktor cakap pada saya, kau jangan sedih sebab sekejap lagi Rasulullah sambut mak kau. Itu antara detik yang paling saya ingat.

"Rezeki saya dapat uruskan mak, bawa ke hospital dan mandikan dia. Mak saya dibawa ke Masjidil Nabawi mengikut pintu Iman, disembahyangkan di sana sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Uhud pada Khamis. Saya juga dapat sambut mak dalam liang lahad," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hampir 12 tahun tinggal di Makkah, wanita jelaskan kenapa air zam-zam tak payau macam dulu... bukan juga keluar dari paip rumah!

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sempat tengok anak pakai baju, kopiah dari Makkah... Pemuda ini imbas detik bapa temui ajal di pangkuan - “Dia nak jatuh, saya sambut”

Biarpun sayu dengan pemergian itu, Ustaz Zul yang juga anak sulung daripada tiga beradik bersyukur apabila berjaya memenuhi hasrat ibunya sepanjang mereka berada di sana.

"Hari pertama solat Subuh di Makkah, mak dapat pergi bagi burung makan depan Masjidil Haram. Itu antara hajat dia yang tertunai. Mak tak ada sebarang tanda-tanda yang dia akan pergi selamanya.

"Cuma masa nak datang, saya kata kena bawa dua beg travel. Tapi mak kata dia nak bawa satu beg saja. Ada satu lagi yang saya perasan, mak lambai dan buat jari syahadah dalam satu video masa saya peluk dia.

ustaz2

Foto kenangan ketika mereka berada di tanah suci.

"Kemudian ketika bergambar di Makam Rasulullah pun mak buat jari syahadah. Sedangkan selama ini mak suka buat simbol 'peace' guna jari setiap kali bergambar," imbasnya lagi.

Paling sayu kata Ustaz Zul tentunya detik ketika dia mengemas segala beg milik arwah ibunya sebelum berangkat pulang ke Malaysia bersama jemaah lain.

"Boleh bayangkan, selalunya mak yang kemas beg kita. Kali ini, saya yang kemas beg dia untuk bawa balik tanpa mak di sisi.

ustaz4

Ustaz Zul bersyukur diberi peluang menjadi mutawif untuk perjalanan terakhir arwah di bumi Makkah dan Madinah.

"Selepas saya mengemas kasut, pakaian, jam dan sebagainya, saya buka wallet mak, saya nampak dia letak gambar saya bersebelahan gambarnya.

"Bila sampai lapangan terbang, saya menangis sebab rasa sayu nak tinggalkan mak. Walaupun syukur mak meninggal di tanah suci, tapi saya tetap rasa sedih. Lagi kuat rasa sedih masa nak masuk pesawat.

"Rezeki saya dapat khidmat jadi mutawif untuk mak bagi perjalanan terakhir mak di bumi Makkah dan Madinah. Inilah hadiah terbesar Allah buat mak dijemput di bumi Madinah mana adanya kasih Rasulullah," ujar Ustaz Zul lagi.

Mengenai ibunya, Ustaz Zul berkata dia menyimpan banyak memori bersama arwah, malah menyifatkannya sebagai insan yang sangat suka berbuat kebaikan kepada orang lain.

ustaz3

Kisah kematian ibu Ustaz Zul turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.

"Mak ni satu la, dia memang suka bersedekah. Kedua, dia suka lihat kegembiraan orang lain. Contohnya kenduri ahli keluarga atau program anak yatim, dia suka benda tu.

"Dan kami sepanjang hidup, kami tiga beradik tak pernah kena cubit atau kena rotan dengan mak. Mak juga mempunyai 12 cucu," ujar Ustaz Zul yang juga bapa kepada enam cahaya mata.

Penceramah bebas itu juga turut berkongsi beberapa foto dan video kenangan bersama arwah menerusi Instagram.

Malah, ramai netizen turut menitipkan ucapan takziah menerusi ruangan komen dan berdoa supaya Ustaz Zul tabah dengan ujian itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain