suria

[V] “Kali ini memang tinggi” - Banjir dah paras dada, pemuda tenang makan nasi walau ‘ribut di jiwa’ fikir barang rumah

Situasi banjir yang dialami oleh keluarga mentua Ameer.

BOLEH dikatakan majoriti rakyat Malaysia teruja apabila memasuki dua bulan terakhir setiap tahun atau sinonim dengan musim cuti sekolah kerana pelbagai aktiviti dapat dilakukan.

Namun bagi masyarakat Pantai Timur, mereka perlu sentiasa berjaga-jaga kerana tempoh tersebut merupakan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang sering mengakibatkan bencana banjir.

Seperti yang dialami ketika ini, beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sudah ditenggelami air berikutan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa hari.

Selain mengikuti perkembangan daripada pihak berkuasa, mangsa-mangsa banjir turut sama berkongsikan perkembangan mereka di laman sosial.

Malah baru-baru ini rakaman video seorang lelaki sedang menikmati nasi bungkus berlaukkan ayam ketika banjir paras dada menjadi tular di aplikasi TikTok selain turut dikongsikan di beberapa platform yang lain.

Meskipun keadaannya nampak tenang dan bersantai, namun jauh di lubuk hatinya 'resah' memikirkan situasi pasca-banjir terutama kos membaiki barang yang rosak dan operasi pembersihan.

Rakaman suasana tersebut dilihat sesuai dengan lagu latar belakang yang digunakan, berjudul Tentang Siang, Malam dan Romantis yang popular di TikTok.

"Tenang, ribut jiwa, tiup awan minda dan bentangkan senja..." demikian antara bait-bait lirik lagu tersebut.

Paras air banjir tahun ini dikatakan lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Paras air banjir tahun ini dikatakan lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Berkongsi pengalaman kepada mStar, pemilik video berkenaan, Ameer Asyraf berkata, dia sudah lali dengan situasi banjir kerana setiap tahun perlu berdepan dengan masalah yang sama.

Bagaimanapun katanya, bencana yang berlaku di rumah mentuanya di Tanah Merah, Kelantan pada tahun ini agak teruk kerana paras air naik lebih tinggi berbanding sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik hotel kucing di Kelantan cemas! Anak sakit perlu dibawa ke klinik segera, 7 ekor bulus di premis terperangkap banjir

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai terhibur tengok gelagat lelaki ini tidur sambil dibawa arus banjir, tapi hakikatnya dia sedang kecewa! - “Tak boleh buat apa, layan sajalah”

“Kali ini memang tinggi sampai para yang dibuat untuk meletakkan barang turut terjejas.

Nak gerak balik selepas angkat barang tak sempat sebab hujan masih turun yang menyebabkan air semakin naik. Keadaan pula gelap.

AMEER ASYRAF

“Jika diikutkan pengalaman sebelum ini, air banjir tidak mencecah bahagian para... jadi barang-barang elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan sebagainya dapat diselamatkan.

Banjir untuk ke rumah mentuanya di redah sejauh dua kilometer.

Banjir untuk ke rumah mentuanya di redah sejauh dua kilometer.

“Cuma perabot-perabot sahaja yang tidak sempat dipindahkan,” ujarnya yang menzahirkan syukur kerana kedua-dua mentua yang berusia lewat 60 tahun berada dalam keadaan selamat di pusat penempatan sementara.

Bercerita lanjut, dia hadir ke rumah tersebut bersama isteri dan abang iparnya bagi membantu memindahkan barang ke tempat selamat.

Meskipun kawasan sudah dinaiki air sehingga paras pinggang, namun mereka sekeluarga sanggup meredahnya sejauh dua kilometer.

Menurut anggota tentera berusia 27 tahun itu, air mulai naik pada jam 6 pagi, Ahad.

Para yang dibina untuk meletakkan barang ketika banjir turut ditenggelami air.

Para yang dibina untuk meletakkan barang ketika banjir turut ditenggelami air.

“Nak gerak balik selepas angkat barang tak sempat sebab hujan masih turun yang menyebabkan air semakin naik. Keadaan pula gelap kerana aliran elektrik telah diputuskan lebih awal.

“Jadi, kami semua bermalam di rumah ini dan makan makanan kering sebagai alas perut. Petang Isnin barulah dapat keluar kerana air mulai surut walaupun cuaca masih hujan,” luahnya lagi.

Tambahnya, berdasarkan pengalaman sebelum ini, selalunya banjir yang melanda akan surut dalam tempoh satu atau dua hari namun bergantung pada situasi cuaca semasa.

Terdahulu videonya ditonton lebih 2.2 juta pelayar TikTok dan rata-ratanya menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain