suria

[V] Tengah syok rakam video, tiba-tiba jatuh lubang! Ejen hartanah istighfar panjang, rupanya terpijak papan reput tutup kolam renang

Majdi berkongsi kisah tragis ketika membuat tinjauan di rumah klien.

RUMAH yang cantik dan tersergam indah tak semestinya bebas daripada perkara berbahaya.

Bak kata pepatah, malang tidak berbau.

Baru-baru ini seorang ejen hartanah melalui insiden yang paling rare dalam kerjayanya ketika membuat tinjauan atau pemeriksaan di rumah kliennya.

Berkongsi pengalaman, Ahmad Majdi Nadwan Jazmi berkata, insiden berlaku di sebuah rumah semi-D di Taman Melawati, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Pemuda berusia 33 tahun itu memberitahu, seperti biasa, dia akan melakukan tinjauan di sekeliling dalam dan luar rumah dengan mengambil gambar dan video.

"Cantik rumahnya, semi-D. Sewaktu buat inspection di luar rumah, saya nampak para kayu atas tanah berumput macam kawasan rumah tengah ubah suai.

"Saya rakam daripada tepi rumah. Masa berdiri atas para kayu tiba-tiba boom! Tak sangka para kayu tu mereput dan saya tenggelam macam pasir jerlus," katanya kepada mStar.

tragedi rumah klien 4

Tangkap layar video Majdi terjatuh selepas terpijak para kayu yang reput.

Berpengalaman sebagai ejen hartanah selama enam tahun, Ahmad Majdi berkata, dia juga tidak menyangka di sebalik para kayu yang dipijaknya itu terdapat 'lubang' air.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak boleh fikir dah, geli" - Ejen hartanah trauma nampak patung seks di rumah untuk dijual, ngeri imbas kelakuan bekas suami klien

ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni rumah flat tengok TV macam orang pekak, jiran siap 'cop' suka buat bising... "Sebab tu la aku tak boleh duduk dengan B40!"

"Kaki kanan saya tenggelam dalam air tak jejak tanah! Tak tahu berapa kedalamannya masa tu, dalam keadaan cemas saya tak boleh fikir dah.

"Air berlumpur dan keadaan ketika itu sangat tidak selesa, ibarat saya masuk dalam lubang kumbahan... kotor dan berwarna coklat," ujarnya yang lebih dikenali sebagai Majdi Nadwan.

tragedi rumah klien 5

Para kayu yang menutupi kolam renang.

Menurutnya yang berasal dari Ipoh, Perak, mujur dia sempat menahan daripada terus tenggelam menggunakan tangan dan kaki kirinya.

"Perasaan bertambah cemas apabila seluar bahagian kaki kanan dipenuhi anai-anai. Saya terasa geli dan cepat-cepat bangun dan kuis-kuis.

"Saya bangun je habis seluar basah, punggung pun terasa basah. Tak tahu ada apa dalam lubang air lumpur di sebalik kayu reput tu," katanya yang menetap di Kuala Lumpur.

tragedi rumah klien 2

Barang milik Majdi yang berjaya diselamatkan.

Dalam keadaan cemas, bapa kepada tiga anak itu dapat bertenang dan terus menghubungi kliennya bagi memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku.

"Saya beritahu klien tak dapat jumpa dia kerana saya dalam keadaan basah. Selepas cerita mengenai kejadian kepada klien, rupa-rupanya saya terjatuh di atas kolam renang yang bertutup dengan para kayu.

Hanya beg LV (Louis Vuitton) kesayangan yang dipakai ketika itu terkena lumpur, mujur boleh dibersihkan.

MAJDI NADWAN

"Cepat-cepat saya berundur sebab risau akan terjatuh lagi kerana saya tak pandai berenang," tambah Majdi.

Berulang kali bersyukur kerana masih dipanjangkan nyawa, Majdi menyifatkannya sebagai insiden yang paling rare sepanjang pembabitannya dalam bidang hartanah.

tragedi rumah klien 3

Kejadian yang berlaku membuatkan Majdi lebih berhati-hati ketika membuat tinjauan di rumah klien.

Kejadian itu membuatkannya lebih berhati-hati dengan mendapatkan maklumat awal daripada klien sama ada rumah yang bakal ditinjau dalam pengubahsuaian atau sebaliknya.

"Kalau kolam tu dalam, memang saya boleh tenggelam. Dengan tiada sesiapa ketika kejadian, tak pasal-pasal keluar tajuk berita 'Ejen hartanah hilang ketika buat inspection' atau 'Ejen hartanah dijumpai dalam takungan air di rumah mewah'.

"Nauzubillah. Alhamdulillah saya dan barang berharga seperti telefon selamat. Hanya beg LV (Louis Vuitton) kesayangan yang dipakai ketika itu terkena lumpur, mujur boleh dibersihkan," kata Majdi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain