suria

“Saya bisik, sabar bonda nak nikah” - Ibu nak kahwin lagi, anak baling botol susu pada tok imam... mujur rapat dengan ayah baharu!

Video anak Ika meragam ketika akad nikah tular di aplikasi TikTok.

RAKAMAN memaparkan seorang pengantin perempuan yang sedang memujuk anaknya ketika majlis akad nikah mengundang perhatian ramai pengguna media sosial.

Menjawab segala persoalan netizen, Nur Shafikah Shafiee, 25, berkata kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu merupakan anak kandungnya daripada perkahwinan terdahulu.

Senang disapa Ika, dia mengakui cuba menidurkan Muhammad Mikhail Arjuna pada waktu itu, namun lain pula yang terjadi sehingga gamat suasana di majlis akad nikahnya.

"Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Sebelum majlis akad nikah, saya cuba tidurkan Arjuna dalam bilik. Masa saya tengah tidurkan dia, saya dipanggil untuk upacara akad nikah.

"Anak saya terus menangis tak nak tidur. Bila abang saya ambil, dia mengamuk. Jadi saya terpaksa ambil dia. Masa nak duduk di pelamin, dia sekali lagi mengamuk tengok tok imam.

"Kami terpaksa buat cepat sebab dah agak lewat... dah nak masuk waktu solat Jumaat. Masa anak mengamuk, saya dukung dan bisik pada dia, minta dia sabar sebab saya nak nikah.

WhatsApp Image 2022-10-13 at 9.30.44 AM (1)

Ika bersama putera kesayangannya, Arjuna yang berusia 3 tahun.

"Mujur dia pun faham, dia duduk sebelah saya sampai habis akad nikah. Selepas itu, dia terus pergi main," ujar Ika mengimbas semula kejadian pada 2 September lalu.

Menurut Ika, video spontan ketika anaknya mengamuk dirakam oleh sahabatnya Nani Najiha sebelum dikongsi ke laman TikTok sehingga meraih lebih 700,000 tontonan.

Dalam video tersebut, Ika yang membahasakan dirinya sebagai 'bonda' dilihat cuba memujuk anaknya yang menangis sebelum membaling botol susu yang dipegang dan nyaris terkena kepala imam yang bakal menikahkan dia dan suami.

Kata Ika lagi, dia menerima banyak komen termasuklah segelintir netizen yang meninggalkan kata-kata kurang enak terhadapnya.

Saya tak boleh nak tolak takdir, Allah dah susun jalan cerita saya macam ni.

NUR SHAFIKAH SHAFIEE

"Saya sekadar upload video itu untuk kenangan. Tak sangka viral. Ramai juga netizen tanya, tak ada saudara ke yang boleh jaga dia sekejap masa nak akad nikah?

"Ada juga komen negatif. Mereka kata anak kecil lagi tapi mak dah sibuk kahwin. Kemudian ada yang kata anak tak sempat besar, mak gatal.

"Saya seorang yang mudah terhibur. Komen-komen ni semua saya ambil positif je, saya tak mahu fikir negatif," ujarnya yang menetap di Tok Kuning, Perlis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin berjurai air mata di pelamin, hiba tengok bapa menangis tak sanggup ‘lepas’ anak bongsu - “Saya kira, memang sembilan kali ulang lafaz”

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin biarkan saja air matanya mengalir, tak mampu tahan emosi lihat adik menangis masa jadi wali - “Dah tak boleh manja dengan kakak”

Di sebalik komen negatif, Ika turut terharu apabila ramai netizen mendoakan kebahagiaan dia dan anaknya menerusi perkahwinan kedua ini.

"Ramai juga yang komen, mereka kata tak kisah macam mana, janji saya dah selamat kahwin. Mereka doakan agar saya dan anak bahagia, sihat dan cukup kasih sayang.

"Sejujurnya saya sangat terharu. Orang tak kenal pun sanggup doakan saya dan anak. Terima kasih atas doa anda semua. Semoga Allah balas balik pada anda," ujarnya lagi.

ika3

Muhammad Asri tidak kekok melayan kerenah Arjuna yang kini menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Bercerita mengenai pernikahan kedua, Ika berkata dia baru berkenalan dengan suaminya, Muhammad Asri Ramino, 27, yang juga seorang nelayan pada tahun ini.

"Saya berkahwin dengan bekas suami pada tahun 2020 dan berpisah pada Januari lalu. Berpisah sebab tiada persefahaman.

"Selepas berpisah, saya memang nekad dah tak nak kahwin. Nak fokus besarkan anak. Tapi saya alami depresi, doktor kata saya tak boleh duduk sorang.

ika 2

Pasangan ini selamat dinikahkan pada 2 September lalu.

"Jadi, dia (suami baharu) yang banyak hadap perangai saya, dia cakap why not kita kahwin. Dia memang banyak bagi semangat. Saya juga anggap ini jodoh ketentuan Allah.

"Saya tak boleh nak tolak takdir, Allah dah susun jalan cerita saya macam ni," ujar pekerja butik pakaian yang turut berniaga produk kosmetik itu.

Paling penting kata Ika, putera kesayangannya cukup rapat dengan suaminya, sekali gus membuatkan dia lega dan bersyukur dengan kehadiran lelaki itu dalam hidupnya.

"Arjuna sangat rapat dengan ayah baharu dia. Ibaratnya dia sayang ayah baharu lebih daripada sayang mak dia. Suami saya memang banyak bagi perhatian pada Arjuna.

"Dia pula tak pernah kahwin sebelum ini. Tiba-tiba kena basuh punggung Arjuna. Tapi suami tak kisah. Buat susu, mandikan, suap makan, semua dia buat," ujar Ika lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain