suria

Baik hati bagi nombor OTP, peniaga char kuey teow terduduk kena tipu... Scammer kikis sampai tinggal RM1.97!

Fairul menjadi mangsa scam sehingga wang dalam akaun bank miliknya lesap lebih RM5,000.

NIAT baik seorang lelaki mahu membantu individu disangka berada di dalam kesusahan berakhir dengan insiden pahit yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Manakan tidak, wang berjumlah lebih RM5,000 dalam akaun bank miliknya lesap dikebas individu berkenaan.

Hanya dalam masa kurang daripada lima minit, sebanyak lima kali transaksi pemindahan wang kepada akaun yang tidak diketahuinya berlaku, membuatkan lelaki tersebut terduduk melihat baki akaun yang ditinggalkan.

Berkongsi semula kejadian yang berlaku tengah malam Isnin, Fairul Asni Hamzah, 28, berkata pada mulanya dia menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali.

fairul 3

Tangkap layar perbualan antara Fairul dengan individu tidak dikenalinya.

Individu yang memperkenalkan diri sebagai Salina, memberitahu bahawa dia tersilap memasukkan nombor telefon dalam satu urusan jual beli, menyebabkannya tidak dapat menerima mesej di telefon bimbitnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak mau buat semakan, putuskan talian” - Scammer gelabah, ‘hilang dari radar’ selepas ‘diajar’... hati tisu rupanya

ARTIKEL BERKAITAN: 12 minit lesap RM30,000! Suami isteri menggigil, rasa nak gugur jantung kena ‘scam’ servis kemas rumah

"Dia minta saya screenshot dan hantar mesej yang saya terima sebab dia tersalah masukkan nombor telefon yang sebenarnya nombor saya. Saya pula ketika itu sedang sibuk kemas barang jualan dan nak pulang.

"Pada mulanya saya risau dan saya siap cakap, 'takut ni scammer'. Dia menafikan dan tak henti-henti mesej. Dia cakap dia susah berniaga dan saya faham struggle nak dapat untung kerana saya juga peniaga.

"Dapat saja mesej, saya terus screenshot dan tak perasan rupa-rupanya itu ialah mesej OTP (one time password). Balik rumah mandi, baru sempat pegang handphone, tiba-tiba ada notifikasi transaksi.

fairul 2

Notifikasi yang diterima oleh Fairul daripada pihak bank ketika transaksi berlaku.

"Mula-mula RM2,000 dipindahkan, transaksi kedua RM2,000 lagi. Apabila dua kali transaksi aneh berlaku, saya nak pindahkan wang dalam akaun bank lain tapi tak sempat.

"Kemudian berlaku lagi tiga transaksi dan keseluruhan wang yang lesap berjumlah Rm5,444. Hanya tinggal baki RM1.97 saja. Lima transaksi berlaku kurang daripada lima minit," ceritanya kepada mStar.

Fairul berkata tanpa melengahkan masa, dia segera bergegas ke balai polis untuk membuat laporan.

"Pukul 1 pagi saya buat report. Polis kata sememangnya ia adalah taktik scammer.

Dia cakap dia susah berniaga dan saya faham struggle nak dapat untung kerana saya juga peniaga.

FAIRUL ASNI HAMZAH

MANGSA SCAM

"Sepanjang malam tu saya tak dapat lelapkan mata. Esok pagi, saya terus pergi ke bank yang berkaitan untuk membuat aduan.

"Namun setakat ini, tiga kali dah pergi bank, sepertinya tiada harapan wang saya akan diperoleh kembali," ujar pemuda yang mengusahakan gerai char kuey tiow di Felda Jengka 16, Pahang ini.

Mengakui ia adalah berpunca daripada kecuaian diri sendiri, Fairul yang juga bapa kepada tiga orang cahaya mata ini berkata dia sememangnya terkesan namun memilih untuk berlapang dada dan reda dengan ujian tersebut.

"Saya tahu kes scammer sebab selalu baca sebelum ini. Saya sendiri cuba berhati-hati namun apakan daya, ketika itu mungkin sibuk dan didorong rasa simpati kerana ayat-ayatnya... saya jadi mangsa.

fairul gerai

Gerai char kuey teow milik Fairul di Felda Jengka 16.

"Tak apalah, saya anggap tak ada rezeki saya. Saya positif Allah nak bagi rezeki lebih kelak. Apabila saya kongsi di Facebook, ramai yang komen dan DM, mereka juga pernah kena dan beri kata-kata semangat. Kawan-kawan pun ramai nak hulur bantuan... terima kasih sangat.

"Ada juga yang kecam sebab saya cuai... tak apalah, mungkin mereka belum terkena. Saya kongsi cerita ini sebagai pengajaran bersama. Saya nak share inilah taktik yang scammer guna jadi beringatlah supaya tak jadi mangsa.

"Kepada mereka yang bergelar scammers, ingat, tak halal dan tak berkat duit tu. Kerja malas, usaha tak nak... hanya tahu menipu. Ingatlah hidup takkan senang dengan menipu," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain