suria

Melambung, terhantuk rakan ketika naik banana boat... gadis dapat ‘lesung pipit’ percuma! Pilih biarkan saja sebab suka

Trisya pasrah mempunyai 'lesung pipit' selepas berlaku kemalangan ketika naik banana boat.

UMUM mengetahui sesiapa sahaja yang memiliki lesung pipit akan menampakkan senyuman yang manis.

Malah lesung pipit palsu sudah menjadi trend apabila ramai kini sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi mendapatkan lekuk kecil ini ketika senyum.

Berbeza pula dengan gadis ini yang mana kecacatan kekal pada wajahnya nampak seperti lesung pipit, selepas terbabit dengan satu kemalangan ketika bercuti di Pulau Pangkor, Perak pada 24 Jun lalu.

Bercerita kepada mStar, Nurul Batrisyia, 18, menceritakan semula kisah yang membuatkan dirinya tiba-tiba mempunyai 'lesung pipit' tanpa pernah diminta.

"Saya dengan kawan-kawan dah lama rancang nak naik banana boat. Tapi boatman beritahu dekat situ bahaya sikit sebab ombak kuat sampai laut jadi beralun.

"Tapi kami tetap nak naik dan mahu teruskan juga agenda. Lelaki yang bawa bot tu sepupu saya, jadi dia ikut saja sebab kami berkeras nak naik.

"Tapi air laut beralun tu tidaklah besar ketika itu. Masa kami naik tu okay lagi cuma banyak hentakan sebab berombak," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Percutian 10 sekawan di Pulau Pangkor bertukar ‘seram’ gara-gara seorang pakcik, pintu van sewa terbuka sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Video 2 nelayan Kelantan ‘lepaskan ikan buntal’ raih lebih 7 juta views... berbaloi ulang alik ke Pangkor, 3 hari boleh dapat RM15,000

Senang disapa Trisya, katanya, dia bersama lima lagi rakan hanya fikir mahu berseronok ketika memutuskan untuk menaiki juga bot itu.

Malah apabila ditanya oleh pemandu bot yang akan menarik banana boat dinaiki, mereka semua bersetuju untuk dijatuhkan ke dalam air.

"Bila semua dah naik, bot pun mula bergerak. Kami pun berseronoklah main aktiviti air.

"Sebelum boatman jatuhkan kami, dia ada tanya dulu dan kami semua jawab mahu dijatuhkan.

"Masa nak dijatuhkan ketika pusingan pertama, pemandu tu buat lencongan perlahan saja, bukan bertujuan nak jatuhkan kami. Tapi kebetulan ada alunan air besar jadi dia terlanggar dan kami pun tak sangka pula boleh terjatuh," imbasnya.

Trisya bersama lima lagi rakan lain menaiki banana boat di Pulau Pangkor, Perak.

Jelas Trisya yang merupakan penduduk di Pulau Pangkor, mereka pada masa itu belum bersedia untuk dijatuhkan justeru pegangan pada bot masih kuat.

Akibatnya, dia dan rakan-rakan melambung sangat tinggi sebelum terjatuh ke dalam laut.

Walaupun Trisya duduk di bahagian belakang bot tetapi menurut ceritanya, dia terlanggar rakan yang berada di paling hadapan bot.

Kemalangan tersebut menyebabkan dia tercedera dengan mengalami pendarahan di bahagian pipi.

"Saya duduk belakang sekali tapi terlanggar kawan saya Alin yang duduk depan. Pelik kan? Mungkin sebab melambung tinggi sangat. Lepas tercampak, saya buka mata dan nampak Alin ada di depan saya.

"Alin ada beritahu yang kepala dia ada rasa macam terhantuk dengan orang. Maksudnya kami melambung sama-sama. Kawan-kawan lain tak ada terlanggar atau cedera.

Kawasan tu jadi keras dan berbiji tapi tak sakit, cumanya jadi macam lesung pipi.

NURUL BATRISYIA

"Lepas jatuh tu saya ada rasa pipi sakit dan berdarah. Pipi rasa macam bengkak dan kembung. Jadi saya pun naik atas bot dan ambil telefon boatman. Saya rakam muka tengah luka tu," katanya.

Tidak serik dengan insiden itu kerana meminati aktiviti lasak, Trisya dan rakan-rakan melakukan aktiviti menaiki banana boat buat kali kedua.

Kata Trisya, kali ini pemandu bot menjatuhkan mereka di tepi pantai dan kemudian mereka berenang ke darat lalu memulangkan jaket keselamatan dipakai.

Setelah seminggu kejadian, kata Trisya, bengkak pada bahagian pipi mulai susut.

"Beberapa hari selepas bengkak, ia pun susut tapi tinggalkan bekas dan berparut.

"Kawasan tu jadi keras dan berbiji tapi tak sakit, cumanya jadi macam lesung pipi. Tapi saya tak pergi klinik pun buat pemeriksaan sebab dah surut sendiri.

"Beberapa minggu lepas tu baru perasan pipi jadi berlekuk macam lesung pipit. Saya biarkan saja sebab suka lesung pipit ni," kata Trisya.

Trisya kini mempunyai 'lesung pipit'.

Susulan perkongsian di TikTok, Trisya dihujani dengan komen netizen yang pernah terbabit kemalangan sehingga menyebabkan terbentuknya lesung pipit.

Dalam pada itu, gadis ini menitipkan pesan agar tiada individu yang 'terinspirasi' sanggup menaiki bot bagi mendapatkan lesung pipi.

Dia mengakui timbul juga rasa risau memikirkan 'lesung pipit segera' ini namun memilih untuk menngabaikannya selagi tidak memudaratkan diri.

"Kepada orang ramai, janganlah nak naik bot sebab mahukan lesung pipit semula jadi. Bahaya sebenarnya salah satu sebab boleh jatuh patah tulang sana sini. Ikut arahan boatman jangan ikut cakap diri sendiri.

"Sebenarnya risau juga lama-lama nanti jadi apa-apa yang tak elok tapi biarlah dulu, kalau rasa sakit baru pergi klinik," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain