suria

Video 2 nelayan Kelantan ‘lepaskan ikan buntal’ raih lebih 7 juta views... berbaloi ulang alik ke Pangkor, 3 hari boleh dapat RM15,000

Tangkap layar video seorang nelayan melepaskan ikan-ikan buntal ke laut.

IBARAT ikan lumba-lumba, kira-kira 10 ekor ikan buntal berenang laju sebaik dilepaskan ke laut.

Menerusi satu perkongsian video di laman sosial sehingga menjadi tular, rata-rata netizen menyifatkan tindakan tersebut seperti mengajar ikan-ikan itu berlumba.

Umum mengetahui, ikan buntal merupakan ikan yang berduri dan memiliki racun yang boleh membawa maut.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! 4 jejaka bergaya sambil jual ikan buat gadis berkobar-kobar nak pergi pasar, makcik-makcik tegur nak jadikan menantu

ARTIKEL BERKAITAN: Asalnya projek ikan, tapi pemuda ubah plan tadah kolam 'standby' gangguan bekalan air... kalau 6 orang boleh berenang, cukup tampung 4 rumah!

Pemuda yang memuat naik video tersebut, Zulfadli Khuzaimah berkata, segelintir pihak menjadikan ikan buntal sebagai hidangan dengan mengeluarkan racunnya terlebih dahulu.

Namun, nelayan berusia 32 tahun itu menjelaskan bahawa dia dan sepupu, Zubilal Mohd Nawawi, 35, tidak menjadikan ikan buntal sebagai sebahagian daripada hasil tangkapan untuk dijual.

"Kami cari rezeki dengan tangkap hasil laut guna bubu dekat Pulau Pangkor, Perak. Selepas itu kita jual kepada pemborong untuk jualan di pasar.

"Kebanyakan ikan segar yang ditangkap adalah jenahak, kerapu dan siakap merah. Kadang-kadang ada ikan buntal dalam bubu, itu yang kami lepaskan ke laut," katanya kepada mStar.

lepaskan ikan buntal 7

Tangkapan ikan menggunakan bubu.

Lebih mesra disapa Palie, katanya, dia dan sepupu berasal dari Jeli, Kelantan dan hanya ke Pulau Pangkor untuk menangkap ikan setiap dua minggu.

"Kami pasang kira-kira 50 bubu di laut cetek. Sekali datang tu, pernah paling banyak ada 20 ekor ikan buntal. Kadang-kadang tu ada empat ekor ikan buntal dalam satu bubu," ujar bapa kepada seorang anak itu.

lepaskan ikan buntal 3

Bersama hasil tangkapan ikan.

Selain ikan buntal, dia yang berpengalaman menjadi nelayan sejak dua tahun lalu turut menemui pelbagai jenis ikan hiasan terperangkap di dalam bubu.

"Ikan-ikan ni cantik, tapi tak dibuat untuk makan. Kebiasaannya orang bela dalam akuarium. Ikan-ikan hiasan ni juga kami lepaskan ke laut," tambahnya.

lepaskan ikan buntal 6

Palie menangkap ikan kerapu bersaiz besar.

Dalam pada itu, Palie dan sepupunya turut berkongsi bahawa mereka pernah menangkap ikan kerapu seberat 28 kilogram (kg) yang mana berat biasanya hanya 4kg.

"Biasanya ikan kerapu ni berharga RM45 untuk 1kg, jadi hari ada seorang tauke Cina ni nampak kat tengah laut dan terus bayar dengan harga lebih RM1,200.

Alhamdulillah, rezeki kami di tengah laut. Memang berbaloi sebab guna bubu ni tak payah tunggu atau jaga.

ZULFADLI KHUZAIMAH

"Alhamdulillah, rezeki kami di tengah laut. Memang berbaloi sebab guna bubu ni tak payah tunggu atau jaga. Cuma datang ambil hasil tangkapan.

"Setiap kali datang, kerja untuk tiga hari boleh dapat sampai RM15,000. Jadi banyak masa kami dapat buat kerja-kerja lain," katanya yang juga pekebun.

lepaskan ikan buntal 5

Palie (dua, kiri) bersama rakan-rakan dengan tangkapan ikan besar.

Sehubungan itu, Palie berhasrat untuk mengusahakan restoran makanan laut dengan menggunakan hasil tangkapan mereka di Pulau Pangkor.

"Kami merancang untuk membuka sebuah restoran di Lumut, Perak dan satu lagi sama ada Jeli atau Tanah Merah di Kelantan, menjelang pertengahan tahun ini insyaAllah," katanya.

Video 'melepaskan ikan buntal ke laut' yang dikongsi Palie di apliksi TikTok itu meraih lebih tujuh juta tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain