suria

Kerja di darat kasih, tugas di udara sayang! Pramugara gembira 2 cita-cita masa sekolah tercapai, tak penat sebab ‘suka’

Fattah akui tak penat melakukan dua kerja serentak.

MELAKUKAN dua pekerjaan serentak bukanlah satu perkara yang mudah.

Namun, pramugara yang juga pereka fesyen ini tidak pernah penat, sebaliknya gembira dapat mengejar kedua-dua impiannya.

Ketika dihubungi mStar, Abdul Fattah Che Busu, 27, sempat memperincikan kisah perjalanan hidupnya sehingga dia kini memiliki studio fesyen sendiri di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar ‘tayang’ rupa, bekas pramugara pernah dihina jual pisang salai tak sangka strategi cari rezeki di TikTok berbaloi... ada kata dulu terbang tak ingat dunia!

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pramugara disamakan dengan Sajat, ramai ‘confuse’ pandang banyak kali - “Tak apa, dia pun cantik orangnya”

"Ketika sekolah, saya memang bercita-cita nak jadi pereka fesyen. Tapi saya kata kalau tak dapat dalam bidang itu, saya nak jadi pramugara. Saya memang ada dua cita-cita.

"Tamat sekolah, saya sambung pengajian dalam bidang fesyen. Sempat juga saya bekerja sebagai pembantu pereka fesyen. Kemudian saya pergi temuduga pramugara, saya lulus dan mula bekerja dalam bidang penerbangan pada tahun 2017.

"Namun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penerbangan tak banyak. Ketika itulah saya kembali jadi pereka fesyen. Kiranya sekarang saya buat dua kerja," ujarnya.

Senang disapa Fattah, jejaka yang berasal dari Kuantan, Pahang itu mengakui penat tidak menjadi penghalang kerana minat mengatasi segalanya.

fattah2

Fattah mengusahakan sebuah butik di rumahnya sendiri.

Biarpun mencabar, Fattah akui gembira kerana rekaannya semakin dikenali, malah pernah dipakai selebriti seperti Fazura dan Mira Filzah.

"Saya buat home-base butik di rumah. Pada masa sama, saya buat servis dari rumah ke rumah. Disebabkan minat, saya tak pernah rasa terbeban. Lagi seronok bila tengok pelanggan puas dengan hasil rekaan saya.

Bagi saya, bidang ini bukan untuk wanita saja. Lelaki pun boleh.

FATTAH

"Kita tak akan rasa penat kalau kita suka. Cuma, kita kena bijak cari ruang dan peluang. Ketika saya cuti sebagai pramugara, saya akan cari material, hasilkan baju serta jumpa client. Kena ikut jadual yang dah disusun," ujarnya lagi.

Menurut Fattah, dia tidak merancang untuk meninggalkan kerjaya dalam dunia penerbangan, sebaliknya masih kuat untuk melakukan dua pekerjaan dalam satu masa.

Namun katanya, dia mungkin akan meninggalkan kerjaya itu suatu hari nanti selepas bisnes tersebut semakin berkembang dan stabil.

fattah3

Fattah gembira dapat mengejar dua impian pada satu masa.

"Saya selalu dapat soalan ini. Ramai yang tanya sekiranya saya akan berhenti kerja sebagai pramugara. Mungkin suatu hari nanti selepas bisnes dah stabil, saya akan berhenti. Tapi buat masa sekarang, saya masih sayang.

"Nak teruskan dua-dua kalau boleh. Yang penting, kena ada fokus. Bila jadi anak kapal, saya fikir keselamatan dan keselesaan penumpang.

"Ketika jadi pereka fesyen, saya kena fahami keinginan pelanggan dan mementingkan kegembiraan mereka. Cabarannya sudah tentu berbeza, tapi ia merupakan proses pembelajaran buat saya," ujarnya.

fattah4

Fattah berkata, dia masih belum bersedia untuk meninggalkan dunia penerbangan.

Dalam pada itu, Fattah juga menolak persepsi bahawa bidang fesyen hanya sinonim dengan kaum hawa, malah memberi galakan kepada mana-mana lelaki di luar sana untuk mengejar impian mereka.

"Bagi saya, bidang ini bukan untuk wanita saja. Lelaki pun boleh. Paling penting, kita kena ada ilmu dalam bidang yang diceburi.

"Saya sendiri pun bukanlah seorang yang popular atau berjaya, cuma saya nak beri inspirasi kepada orang lain.

"Saya nak beri mesej bahawa kita boleh buat dua kerjaya dalam satu-satu masa untuk capai kejayaan yang kita inginkan," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain