suria

Laungan azan terakhir... Anak dijemput Ilahi sehari selepas ibu tiba di Tanah Suci, langit terang ketika kebumi jenazah 2 pagi

Allahyarham Haiqal (gambar kecil) menghantar ibunya yang berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

HAJAT seorang anak untuk melihat ibu kesayangan pulang ke tanah air dengan haji mabrur tidak kesampaian apabila dia terlebih dahulu dijemput Ilahi.

Bagaimanapun arwah sempat melaungkan azan bagi mengiringi kebarangkatan ibunya ke Tanah Suci Makkah pada 20 Jun lalu.

Dua hari selepas pelepasan ke Tanah Suci, anak jemaah itu, Muhammad Azizul Haiqal Zulkefli terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Berkongsi cerita kepada mStar, ibu saudara arwah, Zalila Akasah berkata anak saudaranya yang mesra disapa Haiqal berusia 19 tahun meninggal dunia dalam kemalangan ketika menunggang motosikal di Melaka, pada Rabu lalu.

Menurut wanita berusia 45 itu, kejadian berlaku hanya sehari selepas ibu Allahyarham iaitu kakak sulungnya, Norzaini Akasah, 57, tiba di Tanah Suci.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelukan terakhir penuh makna di KLIA, anak tak sabar nak ziarah pusara bapa di Makkah - "Dengar suara mak menangis, baru saya percaya"

ARTIKEL BERKAITAN: Anak tunggu ibu pulang dari umrah nak belanja 'duit gaji kedua', pilot call beritahu 'mak dah meninggal' sebaik mendarat di KLIA

"Ibu arwah berlepas ke Tanah Suci pada Isnin dan tiba di sana pada Selasa. Pagi esoknya (22 Jun) anaknya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.

"Arwah sentiasa senyum sepanjang menghantar ibunya. Alhamdulillah arwah sempat melaungkan azan untuk keberangkatan ibunya," katanya ketika dihubungi mStar.

anak jemaah meninggal 5

Allahyarham Haiqal (berdiri, empat dari kiri) memberi ciuman kepada ibunya yang mahu berangkat ke Tanah Suci.

Zalila atau Ell mengakui sukar bagi mereka sekeluarga dan adik-beradik untuk menyampaikan berita kematian anak saudaranya itu kepada kakak yang baru tiba di Tanah Suci.

"Ibu mana yang tak sedih mendapat berita pemergian anaknya, apatah lagi sehari selepas ketibaannya di Tanah Suci. Tangisan seorang ibu kerana bersedih adalah perkara biasa.

"Tapi kakak saya seorang yang tabah dan kuat. Wajah kakak kelihatan tenang dan selepas pengebumian arwah, kakak saya beritahu dia reda dengan ketentuan Allah," ujarnya sambil menambah anak saudaranya itu selamat dikebumikan sekitar pukul 2 pagi Khamis.

anak jemaah meninggal 4

Allahyarham Haiqal (duduk, tengah hadapan) bersama saudara-mara.

Mengenai arwah yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik, wanita ini menyifatkan anak saudaranya mempunyai keperibadian yang begitu disenangi ramai orang.

"Bagi kakak saya, arwah merupakan seorang anak yang baik, sentiasa mendengar kata tak pernah melawan semasa hayatnya. Malah arwah cukup baik dengan kami semua.

Wajah kakak kelihatan tenang dan dia reda dengan ketentuan Allah.

ELL

"Orangnya pendiam, tapi sentiasa tersenyum. Malam terakhir sebelum arwah meninggal dunia, saya ada buat panggilan video dengan kakaknya untuk bertanya khabar, wajahnya tetap senyum.

"Saya terharu melihat ramai rakan-rakan arwah sanggup datang menghadiri pengebumian arwah walaupun dekat pukul 2 pagi. Langit sangat terang waktu tu," katanya.

anak jemaah meninggal 7

Allahyarham sentiasa tersenyum dan disenangi ramai.

Ell yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan bahawa kakaknya turut menyaksikan upacara pengebumian jenazah anaknya menerusi panggilan video.

Menurut Ell yang merupakan kakitangan bank, anak saudaranya itu adalah bekas pelajar tahfiz dan sering menjadi imam terutama solat tarawih di surau.

anak jemaah meninggal 3

Ibu arwah (kiri) bersama rakan jemaah di Tanah Suci.

Tambahnya, anak saudaranya yang merupakan johan dalam satu pertandingan azan secara sukarela melaungkan azan sewaktu keberangkatan kakaknya ke Tanah Suci.

"Saya perasan salah satu gambar arwah mencium pipi ibu dia sebelum ibu dia berlepas ke Tanah Suci. Saya sebak tengok, arwah cium ibu dia seolah-olah dia tahu 'nak pergi'.

"Mengenai kakak saya, di mana kekuatannya untuk berdepan dengan situasi ini, apatah lagi berada jauh di saat anak dikebumikan. Saya tak rasa semua orang mampu melakukannya.

"Kakak pernah berhasrat nak bawa anak-anaknya pergi menunaikan umrah, tapi tiada rezeki. Doakan agar kakak saya diberikan kekuatan dan kesihatan sepanjang menunaikan haji, dan semoga arwah anak saudara ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain