suria

Musim e-Filing datang lagi tapi ada perkara dianggap menyusahkan! LHDN disaran buat kad, aplikasi khas... kumpul resit bertahun dah tak sesuai

Pembayar cukai merujuk resit dan bil ketika menuntut pelepasan cukai pendapatan. -gambar hiasan

MUSIM pembayar cukai mengemukakan borang nyata tahun saraan dan tahun taksiran untuk menuntut pelepasan cukai kembali lagi.

Pembayar cukai boleh mengemukakan Borang Nyata Tahun Saraan 2021 dan Tahun Taksiran 2021 melalui e-Filing bagi Borang E, BE, B, M, BT, MT, P, TF dan TP, bermula 1 Mac.

Antara tuntutan itu adalah pelepasan individu, gaya hidup, perubatan dan peralatan berkaitan, pelepasan anak dan caruman serta sumbangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada cukai tertunggak? LHDNM beri 5 tip elak tindakan mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Jadilah rakyat bijak... Jom Klik HASiL, anda lapor dan bayar cukai pendapatan kemudian dapat bayaran balik!

Ketika inilah ramai mula mengorek, menggeledah beg, laci dan segala almari di rumah atau pejabat bagi mencari semula resit dan bil yang dibeli dan dibayar.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan berkata, setiap dokumen berkaitan seperti resit perlu disimpan sekurang-kurangnya selama tujuh tahun.

"Pembayar cukai dinasihatkan untuk memastikan semua dokumen seperti penyata pendapatan, resit, invois dan dokumen berkaitan cukai pendapatan dikumpulkan, disusun dengan kemas dan disimpan dengan rapi sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun.

"Ia seperti yang diperuntukkan bawah seksyen 82 dan 82A Akta Cukai Pendapatan 1967. Perkara ini perlu dilakukan sebagai persediaan untuk memudahkan proses mengisi e-Filing dan semakan pematuhan oleh LHDN pada masa hadapan," katanya.

pelepasan cukai 2

Pelepasan cukai bagi tahun taksiran 2021. foto Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Berdasarkan peruntukan itu, jika semua atau sebahagian resit dan bil yang disimpan hilang mahupun tersalah letak, pasti memeningkan serta boleh mencetuskan suasana panik!

Walaupun kesemua dokumen itu tidak perlu disertakan dalam e-Filing, tetapi ia tetap dijadikan sebagai bukti sekiranya menerima 'surat audit' daripada LHDN.

Melihat senario ini, ramai terfikir alangkah bagusnya kalau urusan pelepasan cukai itu semudah A, B, C.

Seorang pengguna Facebook menyuarakan pandangan kepada LHDN, agensi yang mengutip hasil cukai pendapatan bagi memudahkan pembayar cukai dalam membuat pelepasan cukai.

Pengguna Facebook bernama Mohd Nazeli Ahmad itu berkata, LHDN wajar memperkenalkan kad bayaran elektronik atau aplikasi menerusi telefon mudah alih sebagaimana MySejahtera, untuk pembayar cukai.

"Cukup guna kad ni untuk swipe atau imbas aplikasi di kedai buku, syarikat telekomumikasi, syarikat insuran, kedai komputer dan hospital/klinik/farmasi, peralatan sukan/kesihatan serta institusi pengajian apabila membuat pembelian dan bayaran perkhidmatan.

"Sebarang pembelian bagi barangan dan perkhidmatan yang mendapat pelepasan cukai terus dapat dikumpul secara online dan dimasukkan secara automatik ke dalam borang e-filing untuk rebat cukai," tulisnya di Facebook.

pelepasan cukai 6

Rakyat saban tahun membuat pelepasan cukai pendapatan. - gambar hiasan

Mohd Nazeli memberitahu, cadangan tersebut bukan sahaja memudahkan pembayar cukai tanpa perlu menyimpan resit dan bil secara fizikal, malah bagi mengelakkan cetakan pada resit dan bil tersebut kabur kerana disimpan dalam tempoh panjang.

"Ni kita pergi beli buku sebuah dengan barangan lain, kena simpan resit. Resit pula dua, tiga minggu kabur, kena photostat simpan.

Kita pergi beli buku sebuah dengan barangan lain, kena simpan resit. Resit pula dua, tiga minggu kabur, kena photostat simpan.

MOHD NAZELI AHMAD

"Hal ini menyusahkan pembayar cukai. Premis perniagaan yang akses terus ke LHDN biasanya akan mendapat tumpuan pembayar cukai.

"Dengan ini tak perlu kita simpan sampai empat, lima tahun resit-resit ini dan tak pening kepala jika sampai surat LHDN misalnya nak minta kemukakan resit-resit tahun 2020, 2019 dan 2018. Sekadar mencadangkan," katanya.

pelepasan cukai 5

Antara komen-komen netizen.

Posting Mohd Hazeli itu dikongsi sebanyak 3,900 kali dan rata-rata netizen turut bersetuju dengan pandangannya yang dirasakan banyak memanfaatkan pembayar cukai.

"Terbaik. Setuju sangat-sangat. Benda penting macam ni memang patut dipermudahkan urusan. Banyak resit hilang atau kita lupa nak tulis. Bila boleh scan terus lagi senang.”

"Zaman dah moden, semua benda boleh dipermudahkan ibarat di hujung jari saja. Kenapa nak susahkan orang dengan kumpul resit pembelian barangan yang dapat potongan cukai. Sepatutnya dah boleh buat aplikasi hanya ambil gambar resit dan terus masuk ke aplikasi. Mudah, simple dan save.”

"LHDN harus celik IT. Kumpul resit bertahun tidak sesuai sudah. Kena banjir hilang habis. Rumah terbakar hilang, pindah rumah hilang. Kalau ada sistem seperti yang dicadangkan sangat membantu. Tolong panjangkan dan pertimbangkan cadangan ini," demikian antara komen-komen netizen yang menyuarakan persetujuan berhubung cadangan tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain