suria

Gadis tangan berseni ‘diburu’ ibu pesakit kanser 3 hari sebelum hari lahir anaknya... teringat kisah sayu rakan, Nurul Aina tak sampai hati kata tidak

Aina menyiapkan tempahan dekorasi (kiri) seorang pelanggan wanita yang mahu membuat kejutan sempena hari lahir anaknya yang menghidap kanser.

SEPANJANG hampir empat tahun berkhidmat di outlet restoran terkenal, Secret Recipe, pelbagai dekorasi kek yang telah dihasilkan oleh wanita ini sepertimana permintaan pelanggan.

Bukan sekadar dekorasi biasa, tetapi kelebihan tangan berseni yang dimiliki wanita ini ibarat satu anugerah tidak ternilai kerana dia mampu menghasilkan lukisan di atas kek termasuk wajah, watak kartun animasi dan sebagainya.

Bakat dan kemahiran wanita bernama Nurul Aina Abu Bakar ini mula menjadi tular sekitar Ogos 2020 selepas ia dikongsikan seorang pelanggan di media sosial, malah mStar turut menyiarkan kisahnya menerusi segmen viral.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan sentuhan berseni... dari Perak pelanggan sanggup ke Shah Alam cari gadis Secret Recipe - “Niat saya nak pelanggan gembira”

ARTIKEL BERKAITAN: “Memang tak kantoi” - Betul-betul nak buat kejutan hargai isteri, suami ‘idaman ramai’ ini teliti habis buat plan... beli hadiah sikit-sikit

Sejak bakat dan kemahirannya menjadi sebutan ramai, Nurul Aina ibarat tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan sentuhannya.

Jika melihat setiap perkongsian yang dimuat naik di aplikasi TikTok dan Instagram, tidak hairanlah ramai yang 'memburunya' kerana dekorasi dan lukisan yang dihasilkan begitu cantik dan kemas sehingga memikat hati pelanggan.

Dalam salah satu video terbaharunya di aplikasi TikTok, Nurul Aina berkongsi sentuhannya ketika menyiapkan tempahan seorang ibu yang mahu menghadiahkan kek buat anak remajanya yang juga penghidap kanser.

Meraih sehingga hampir 300,000 jumlah tontonan dalam tempoh kurang 24 jam dimuat naik, video tersebut menarik perhatian warganet bukan sahaja kerana kecantikan dekorasinya, tetapi kisah di sebalik tempahan pelanggan yang begitu meruntun hati.

AINA 1

Antara dekorasi kek hasil sentuhan tangan Aina sepanjang berkhidmat di Secret Recipe.

"Saya dapat mesej daripada seorang wanita yang mahu saya buat dekorasi watak anime untuk kek hari jadi anak lelakinya. Dia mesej Khamis baru-baru ini, dan beritahu majlis hari jadi anaknya jatuh hari Sabtu.

"Saya pun beritahu, saya tidak lagi bekerja di Secret Recipe. Namun dia sekadar cuba bertanya mana tahu kalau saya boleh buat. Saya tak sampai hati nak menolak.

"Sebab, saya ada seorang kawan bekerja di hospital. Dia cerita, ada pesakit kanser kanak-kanak nak makan pizza tapi ibunya tak dapat sediakan. Lebih tidak disangka, beberapa jam kemudian kanak-kanak itu meninggal dunia.

AINA 3

Sijil penghargaan yang diterima daripada Secret Recipe.

"Saya tak mahu jadi macam tu. Jadi hari Jumaat selepas habis kerja, saya beli kek dan kelengkapan dekorasi, dan hari Sabtu, pelanggan itu datang ambil. Wajahnya masa ambil kek tu sebak sebab tak sangka saya sanggup ambil tempahan walaupun dah kerja di tempat lain," kata wanita berusia 25 tahun ini.

Berkongsi perkembangan terbaharunya, Nurul Aina berkata dia kini berkhidmat dengan sebuah kafe berkonsepkan makanan Korea di Damansara Perdana.

Sebenarnya berat hati nak berhijrah, namun tempoh hampir empat tahun timba pengalaman di Secret Recipe membuatkan saya mahu kembangkan bakat.

NURUL AINA ABU BAKAR

"Sudah sebulan saya bekerja di tempat baru. Saya masih lagi dengan pengkhususan yang sama iaitu di bahagian 'cake decorator'.

"Sebenarnya berat hati nak berhijrah, namun tempoh hampir empat tahun timba pengalaman di Secret Recipe membuatkan saya mahu kembangkan bakat dan keluar dari zon selesa.

"Saya mahu teroka pengalaman dan benda baru. Saya nak asah lagi bakat dan belajar perkara baru," ujar graduan jurusan Pengurusan Hotel dan Katering dari sebuah insititusi pengajian tinggi awam ini.

AINA 2

Aina (tengah) kini berkhidmat di bahagian 'cake decorator' di sebuah kafe Korea.

Tidak menyangka perkongsiannya sekali lagi menjadi tular, Nurul Aina berkata dia terharu apabila menerima pujian serta kata-kata semangat daripada warganet.

"Ada satu komen tu, dia ucap terima kasih kerana tunaikan permintaan ibu kepada pesakit kanser itu. Sebak saya rasa.

"Mungkin kita rasa apa yang kita lakukan ni biasa-biasa saja, tapi cukup memberi seribu kegembiraan untuk yang lain. Mungkin ia jadi asbab untuk seseorang itu cepat sihat dan lebih bersemangat," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain