suria

“Memang tak kantoi” - Betul-betul nak buat kejutan hargai isteri, suami ‘idaman ramai’ ini teliti habis buat plan... beli hadiah sikit-sikit

Kek berupa kotak bungkusan tudung Duck (kiri) dan beberapa helai tudung dari jenama berkenaan yang dihadiahkan Muhammad Faiz sempena ulang tahun isterinya, Amira Farhana Amri yang ke-26 menjadi tular di Twitter.

SETIAP orang mempunyai cara tersendiri untuk menghargai pasangan masing-masing.

Ia termasuklah melakukan kejutan kepada pasangan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih atas pengorbanan yang dicurahkan sepanjang melayari bahtera perkahwinan.

Baru-baru ini tular satu video di Twitter, memaparkan kejutan yang dilakukan seorang lelaki semasa sambutan ulang tahun kelahiran isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang askar jaga isteri berpantang bak permaisuri, layanan tip top dari anak pertama hingga keenam - “Risau juga orang cop saya queen control” 

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada title Dr pun buat apa” - 8 tahun struggle belajar, anak meninggal ketika hampir lengkapkan PhD... ayat suami buat isterinya tersentak! 

Lelaki itu menghadiahkan isterinya beberapa helai tudung Duck, selain turut membuat kejutan dengan menempah sebiji kek yang menyerupai kotak tudung dari jenama terkenal itu.

Video tersebut mengundang perhatian netizen apabila ia meraih lebih 14,000 retweet selain turut dibanjiri dengan komen netizen yang mengkagumi idea kejutan lelaki berkenaan untuk isterinya.

Perkongsian video oleh Muhammad Faiz di Twitter mengundang perhatian netizen apabila ia meraih lebih 14,000 retweet.

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki berkenaan, Muhammad Faiz Shamsudin berkata, idea untuk membuat kejutan dengan menempah kek berupa kotak bungkusan tudung itu sebenarnya tercetus selepas melakukan perbincangan bersama pembuat kek.

“Sebenarnya idea itu muncul selepas melakukan perbincangan dengan tukang buat kek, yang juga kenalan kepada kakak saya. Dua minggu sebelum sambutan ulang tahun isteri yang jatuh pada 3 November, saya ada menghubungi pembuat kek tersebut.

“Dia bertanyakan saya, apakah yang menjadi kesukaan isteri. Dan kemudian saya teringat yang isteri memang suka pakai tudung jenama Duck. Maka terjadilah kek tersebut. Dan Alhamdulillah, memang isteri sangat terkejut dan memang jelas terpancar kegembiraan di wajahnya,” kata Muhammad Faiz.

Bercerita mengenai hadiah berupa sepasang kasut sukan dan beberapa helai tudung berserta tas tangan dari jenama tersebut, Muhammad Faiz berkata kesemua barangan tersebut dibeli secara berperingkat sejak beberapa bulan yang lalu.

Gambar kek dan tudung Duck yang dimuatnaik isteri Muhammad Faiz turut dikongsi oleh Datin Vivy Yusof, pengasas jenama berkenaan di Instagram.

“Semua hadiah itu bukan saya beli sekali gus. Ada yang kata, kayanya beri isteri hadiah tudung Duck dan banyak lagi barang. Tapi sebenarnya saya mula beli secara berperingkat. Beli sikit-sikit dahulu. Kasut sukan itu pula saya beli ketika mengunjungi Johor Premium Outlet (JPO), kebetulan ketika itu saya ada job videografi dan fotografi di Johor.

“Lagi pula kasut itu memang menjadi idaman isteri. Sebelum ini dia ada buat tempahan secara dalam talian namun sampai ke sudah, kasut itu tak dapat. Jadi alang-alang saya jumpa, maka saya belikan.

“Lagipun, apa salahnya dengan hadiah tersebut. Saya hadiahkan untuk isteri sendiri, bukannya teman wanita. Kalau teman wanita, itu lain cerita. Apa yang saya berikan kepadanya ini sebenarnya tidak terbanding dengan pengorbanannya yang dilakukannya mengandung dan melahirkan anak kami,” ujar ahli perniagaan yang juga jurufoto bebas berusia 26 tahun ini.

Dalam pada itu ujarnya, dia amat bersyukur kerana kejutan yang dirancang berjalan dengan lancar dan tidak dapat dihidu isterinya, Amira Farhana Amri.

Antara komen netizen yang mengkagumi usaha Muhammad Faiz melakukan kejutan buat isterinya.

“Isteri saya bekerja sebagai seorang doktor di sebuah hospital di Perlis. Mungkin dia agak sibuk, jadi memang dia tak perasan sangat. Tudung-tudung yang saya beli secara dalam talian itu pula dialamatkan ke rumah ibu bapa saya di Alor Setar. Jadi memang tak kantoi.

“Saya juga padam perbualan di aplikasi WhatsApp setiap kali selepas berhubung dengan pembuat kek. Memang siapa-siapa pun tak tahu. Memang puas hati sangat apabila melihat isteri tersenyum gembira.

“Sebenarnya dia memang peminat tudung Duck. Sekiranya kami ke butik Duck di Kuala Lumpur, dia sangat berharap dapat berjumpa dengan Datin Vivy tapi tidak ada rezeki. Tapi selepas dia kongsikan video sewaktu sambutan hari lahirnya di Instagram, Datin Vivy ‘repost’ kembali. Itupun dia dah cukup gembira,” ujar Muhammad Faiz.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Faiz berkata sebenarnya kejutan tersebut adalah yang pertama seumpamanya dilakukan bagi meraikan ulang tahun kelahiran isterinya.

Sekali sekala cipta sedikit kelainan untuk hargai isteri. Tapi tak semestinya kena hadiahkan tudung Duck. Ikutlah kesukaan pasangan masing-masing. Kalau dia suka jenama lain, belilah jenama itu. Kalau barangan sedikit mahal, boleh beli secara berperingkat.

MUHAMMAD FAIZ SAMSUDIN

SUAMI

“Sebenarnya sebelum-sebelum ini, tak pernah buat kejutan sangat, kami hanya keluar makan-makan sahaja. Tapi kali ini saya rancang kelainan sedikit kerana ia adalah sambutan yang pertama kami bergelar ibu dan bapa.

“Apa yang boleh saya kongsikan di sini mungkin boleh dijadikan inspirasi buat suami-suami di luar sana. Sekali sekala cipta sedikit kelainan untuk hargai isteri. Tapi tak semestinya kena hadiahkan tudung Duck. Ikutlah kesukaan pasangan masing-masing. Kalau dia suka jenama lain, belilah jenama itu. Kalau barangan sedikit mahal, boleh beli secara berperingkat.

“Apa yang penting adalah usaha kita untuk menghargai pasangan. Bukan orang lain pun, isteri sendiri juga,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Duck, hari lahir, tudung, kek

Artikel Lain