suria

Budak 10 tahun berani tawar diri urus ‘baju terakhir’ bapa... ‘pesanan’ arwah buat anak sulung bagaikan tahu ajal makin hampir

Seorang kanak-kanak (kiri) membantu menguruskan jenazah bapanya, sambil diperhatikan oleh skuad SPJM. foto FB SPJM

TERNYATA bukan mudah untuk menerima pemergian insan tersayang kerana dijemput Ilahi.

Apatah lagi kanak-kanak yang masih muda dan semangatnya belum cukup kuat untuk menerima hakikat.

Namun situasi yang dilalui seorang kanak-kanak berusia 10 tahun berdepan dengan jenazah bapanya di luar jangka.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa baru meninggal, 3 beradik sempat buat video trend TikTok sebelah jenazah - "Aku tak boleh brain..."

ARTIKEL BERKAITAN: Anak mengaku tak fikir panjang, dedah cerita sebenar di sebalik perkongsian video TikTok sebelah jenazah bapa

Ia disaksikan sendiri oleh pasukan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) yang menguruskan jenazah lelaki berusia 47 tahun.

Pengerusi Eksekutif SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, beliau dimaklumkan oleh skuadnya bahawa arwah meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan kerana serangan jantung pada Jumaat.

Menurutnya, ketika skuad sedang menyiapkan kain untuk mengkafankan jenazah, mereka didatangi dua anak arwah yang menawarkan diri untuk membantu.

Salah seorang daripadanya berusia 10 tahun yang kemudiannya memberanikan untuk bersuara.

"Bang, boleh tak saya nak tolong?" kata Muhammad Rafieudin mengimbas kembali pertanyaan anak arwah.

budak urus jenazah bapa 3

Beberapa kanak-kanak melihat jenazah diuruskan. foto SPJM

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, katanya, kanak-kanak itu merupakan anak kedua daripada tiga beradik termasuk dua adik-beradik lelaki berusia 23 tahun dan sembilan tahun.

"Anak arwah berusia 10 tahun bantu bentangkan 'baju terakhir' (kain kafan) buat ayahnya.

"Masya-Allah, beruntungnya arwah mempunyai anak yang begitu menyayanginya dan berani tidak seperti kanak kanak yang seusia dengannya tidak mengerti apa apa.

"Berdepan hari kematian ibu bapa bagaikan satu mimpi ngeri buat setiap insan yang bergelar anak. Mahu atau tidak, tiada siapa mampu menghalang ketentuan itu," katanya sambil menambah arwah menetap di Ampang, Selangor.

budak urus jenazah bapa 2

Pengurusan jenazah sebelum dikebumikan. foto SPJM

Menurut Ustaz Rafie, kesemua anak arwah membantu menguruskan jenazah, dari menuntut jenazah, mandi dan mengkafankan sehingga mengebumikannya.

Tambah beliau, arwah yang merupakan pemandu kenderaan e-hailing Grab sepenuh masa dan pernah berkhidmat sebagai pengurus bangunan sebelum menghidap penyakit jantung.

Berdepan hari kematian ibu bapa bagaikan satu mimpi ngeri buat setiap insan yang bergelar anak. Mahu atau tidak, tiada siapa mampu menghalang ketentuan itu.

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID

"Arwah terlibat dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Hospital Ampang pada Khamis malam dan disahkan meninggal dunia setelah hampir tiga jam diberi rawatan di hospital.

"Jenazah telah diuruskan di Forensik Hospital Ampang oleh skuad dan dibantu waris sebelum dibawa ke kampung di Pekan Nanas, Johor untuk dikebumikan," katanya mengenai jenazah selamat dikebumikan kira-kira 9 pukul pagi Sabtu lalu.

budak urus jenazah bapa 4

Ustaz Rafie.

Mengenai kisah jenazah yang turut dikongsikan di Facebook SPJM, Ustaz Rafie berkata, anak sulung lelaki arwah berusia 23 tahun yang dipanggil Along menetap di Johor bersama abang arwah.

Seperti mengetahui ajalnya semakin hampir, arwah memberi 'pesanan' kepada anak sulungnya supaya membatalkan hasrat untuk ke Kuala Lumpur, pada minggu lalu.

"Along tak payah balik, tunggu kat kampung. Minggu depan ayah balik," kata Ustaz Rafie yang memetik perbualan arwah bersama anak sulungnya yang bakal melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain