suria

Impian jadi tentera lebur, pemuda teruskan hidup jadi rider bertangan palsu... terkesan kenangkan insiden anak pelanggan lari masuk rumah di siang hari

Nabil mula memakai tangan palsu sejak 2019.

MEMAKAI anduh pada tangan kirinya bukan bermakna patah, sebaliknya ia 'hilang' akibat kemalangan yang dialaminya hampir lima tahun lalu.

Di laman sosial, pemuda terbabit telah mencuri perhatian ramai kerana tidak jemu memakai tangan palsu sepanjang bertugas sebagai penghantar makanan.

Pada masa sama, Ahmad Nabil Rosli juga rajin menjawab pertanyaan netizen mengenai sebab dirinya memakai tangan palsu.

ARTIKEL BERKAITAN: Runner kudung tangan dikata iras Faizal Hussein, atlet para akui ada persamaan watak filem Gila-Gila Remaja... kalau buka bisnes fesyen, boleh ajak Roy jadi model bersama!

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kaki besi' tekan pedal curi tumpuan pengguna jalan raya, ramai tak tahu rider ini sebenarnya buat 4 kerja!

Berkongsi pengalaman, jejaka berusia 23 tahun itu berkata, dia terbabit dalam kemalangan akibat terlelap semasa menunggang motosikal atau microsleep pada 14 Mei 2017.

"Tangan saya hampir putus selepas motor yang saya tunggang terbabas melanggar pembahagi jalan, sehingga terpaksa membuat keputusan tangan dipotong.

"Saya reda dengan apa yang berlaku. Kini sudah biasa memakai tangan palsu ke mana-mana terutama ketika hantar makanan kepada pelanggan," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Nabil, dia mempunyai alasan memakai tangan palsu ketika bertugas bagi membantu melindungi dirinya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Tangan palsu ini dapat menampung impak sekiranya saya terjatuh motor. Kulit bahagian bahu kiri nipis, jadi ia boleh beri lebih perlindungan," ujarnya yang berasal dari Selayang, Selangor.

rider tangan palsu 5

Nabil reda menjalani kehidupan dengan sebelah tangan.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, pemakaian tangan palsu sejak 2019 itu juga bagi 'menutup' kekurangannya sewaktu mencari rezeki.

"Saya tak mahu simpati masyarakat yang pandang saya, kemudian nak hulurkan duit. Saya mahu berdikari atas usaha sendiri.

Saya tak mahu simpati masyarakat yang pandang saya, kemudian nak hulurkan duit. Saya mahu berdikari atas usaha sendiri.

AHMAD NABIL ROSLI

"Selain itu saya juga mahu setiap pelanggan selesa dengan kehadiran saya. Kalau orang dewasa okay lagi, macam mana kalau saya berdepan dengan kanak-kanak?

"Pernah sekali saya nak cepat hantar makanan, tak sempat nak pakai tangan palsu. Bila sampai ke rumah pelanggan siang hari, anak tuan rumah yang keluar cepat-cepat berlari masuk ke rumah sebab takut tengok saya hanya ada satu tangan," katanya yang kini menetap di Kemaman, Terengganu.

rider tangan palsu 2

Nabil mencari rezeki sebagai penghantar makanan.

Selain video-video berkongsi pengalaman mengenai tangan palsu di aplikasi TikTok, Nabil yang bekerja sebagai penghantar makanan sejak 2020 turut rajin membuat 'live' mengenai baju-baju terpakai atau bundle yang dibelinya.

"Saya gemar beli baju-baju bundle sebab murah dan cantik. Jadi, saya kongsi kepada followers tentang apa yang saya pakai, pada masa sama support bisnes peniaga baju bundle.

"Itu bukan review berbayar, saya tak mendapat untung pun. Saya beli sendiri dan sukarela support bisnes peniaga yang kadang-kadang kena 'joy' (ditipu bakal pembeli)," katanya yang mempunyai lebih 70,000 pengikut di TikTok.

rider tangan palsu 4

Nabil mahu memberi sokongan kepada orang lain menerusi platform TikTok.

Nabil juga sering membuat 'live' bersama pengguna TikTok dalam membantu mereka meraih lebih ramai pengikut menerusi platform itu.

"Selain kerja hantar makanan, satu lagi 'kerja' saya adalah support orang lain di TikTok. Cuma kerja ini tidak berbayar.

"Sebenarnya saya teringin nak jadi tentera, nak ikut jejak langkah ayah sebagai tentera. Tapi terpaksa lupakannya selepas saya hilang sebelah tangan akibat kemalangan.

"Penghantar makanan pun satu rezeki. Ada yang tawar saya untuk buat review di TikTok, tapi saya belum bersedia. Cukuplah saya support antara satu sama lain buat masa ini," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain