suria

Bayi usia lebih 4 bulan duduk wad sejak lahir, bapa tabah ulang alik ke hospital hantar susu ibu - “Kalau masih sama, dia terpaksa dilepaskan”

ANAK merupakan harta yang tidak ternilai bagi individu bergelar ibu bapa.

Namun ujian datang tanpa kita duga, begitu juga dengan pasangan ini yang mendapat tahu anak sulung mereka yang kini berusia lebih empat bulan.mempunyai masalah jantung

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi baru lahir diramal mampu hidup 2 bulan kini dah umur 11 tahun! Ibu tabah tunggu detik anak ‘pergi’ sambil cipta memori - “Orang tak tahu, nampak kami mewah”

ARTIKEL BERKAITAN: Dilahirkan dengan organ utama songsang, tiga masalah jantung... bayi 'satu dalam sejuta' bertahan untuk hidup

Menurut Shahrul Amri Ibrahim, 26, yang mendirikan rumah tangga pada 11 November 2020 dengan pasangannya Nurul Akma Abd Rashid,, anak mereka disahkan mempunyai masalah jantung sejak lahir.

Bercerita lanjut, penyakit yang dihidapi anaknya, Muhammad Tariq memerlukan rawatan rapi sehingga dia terpaksa ditahan di Hospital Kajang sejak kelahirannya sehingga kini.

“Anak saya ada masalah jantung. Nama penyakit tu Heart Complex Disease. Jantungnya yang sebelah kiri lebih kecil. Sepatutnya sebelah kiri lebih besar berbanding sebelah kanan untuk pam darah ke seluruh badan.

“Saya boleh tahu anak saya ada penyakit ni masa appointment pertama dengan doktor pakar. Doktor beritahu dengan keadaan anak saya macam ni mereka tak boleh jangka berapa lama baby boleh bertahan.

“Lagi parah bila doktor cakap disebabkan keadaan anak saya, mereka tak boleh teruskan buat pembedahan sebab berisiko tinggi. Anak saya sekarang memang 100 peratus bergantung pada ubat lemah jantung saja,” jelasnya.



Anak pasangan ini terpaksa makan dan minum melalui saluran tiub.

Menurut Shahrul Amri, dia dan pasangannya yang juga berusia 26 tahun kini menyewa sebuah rumah yang lebih dekat di Bangi untuk berulang ke hospital melihat anaknya pada jarak 15 minit perjalanan.

Jelasnya yang bekerja sebagai Juruteknik Bioteknikal, walaupun dimaklumkan bahawa harapan untuk anaknya terus hidup adalan tipis namun dia tidak pernah putus asa.

Selama empat bulan sebelum ni, saya nak jumpa anak pun cuma masa check-up saja.

SHAHRUL

“Sekarang baby ditahan dekat hospital sebab bergantung dengan tabung oksigen. Kalau tak guna oksigen bantuan nanti baby penat dan collapse.

Baby masih bergantung dengan susu badan. Saya kena pergi hospital setiap dua hari sekali hantar susu. Setiap kali hantar susu dekat anak, saya selalu mengharapkan berita gembira daripada doktor.

“Tapi doktor ada beritahu saya, kalau ubat yang Tariq tengah ambil ni dah capai tahap dos maksima, tapi keadaannya masih sama saja saya terpaksa ‘lepaskan’ dia,” ujarnya.

Menceritakan keadaan Muhammad Tariq dengan lebih lanjut, Shahrul Amri berkata anaknya juga terpaksa makan dan minum melalui saluran tiub.

Tambahnya lagi, bahagian otot anaknya tidak boleh menampung untuk minum secara terus melalui botol kerana dia mempunyai penyakit Sindrom Down.



Pasangan ini kena pergi hospital setiap dua hari sekali hantar susu.

Menurutnya lagi, dia tidak dapat berjumpa dengan anaknya setiap hari seperti ibu bapa lain kerana bayi itu terpaksa dijaga rapi oleh pihak hospital.

“Setelah empat bulan lebih baby dekat hospital, baru-baru ni dia dah boleh balik. Baby dah tak guna oksigen tapi lepas dia demam, jantung jadi berlekuk, terpaksa guna semula oksigen.

“Selama empat bulan sebelum ni, saya nak jumpa anak pun cuma masa check-up saja. Bila dia balik tak sampai seminggu badan mula panas dan jantung jadi laju. Terpaksa hantar ke hospital semula untuk pemantauan,” jelasnya yang akur dengan keputusan doktor.

Jejaka ini turut menceritakan bahawa dia baru sahaja dijangkiti Covid-19 beberapa hari lalu.

Menurut Shahrul Amri, anaknya kini terpaksa ditahan di hospital semula sementara dia menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Kebetulan masa dapat tahu anak saya warded, saya positif Covid-19. Berat betul ujian dekat keluarga kecil saya ni.



Pasangan ini reda dengan ujian yang Allah berikan kepada mereka.

“Kadang-kadang saya pun rasa nak putus asa, tapi demi keluarga yang tercinta saya kena juga kuat.

“Alhamdulillah walaupun saya tak boleh keluar tapi ada sahabat-sahabat yang boleh bantu hantarkan barang untuk isteri dan anak,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain