suria

Uncle Kentang akui tak tahu kos sebenar urus jenazah, akan fokus kebajikan waris... akhirnya berdamai bersama NGO selepas ‘perang’ media sosial

Uncle Kentang (kiri) dan Ustaz Rafie (kopiah putih) mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil NGO pengurusan jenazah. foto FB SPJM

SUSULAN 'perang' media sosial berhubung isu pengurusan jenazah baru-baru ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat tersebut bersama pihak aktivis sosial, Uncle Kentang mengadakan pertemuan untuk mencapai kata sepakat.

Perjumpaan pada Selasa malam itu melibatkan gabungan NGO pengurusan jenazah yang terdiri daripada Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) dan Afiz Ayub Foundation, bersama Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak bantu urus jenazah tapi rayu dana RM1,500 siap ada kos sewa hotel, token... Uncle Kentang akui 'budak baru belajar', perjelas hal sebenar

Bercakap kepada mStar, Pengerusi Eksekutif SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, banyak isu diperbincangkan dan tiga perkara utama mendapat persetujuan bersama dalam pertemuan yang berlangsung selama kira-kira sejam di sebuah restoran di Puchong, Selangor.

"Alhamdulillah kita cari kata sepakat. Kami setuju jika ada kes kematian orang Islam, Uncle Kuan (Uncle Kentang) akan bagi pada team gabungan NGO pengurusan jenazah Islam Malaysia.

"Uncle setuju tidak akan membuat kutipan dana pengurusan jenazah Islam lagi bagi mengelakkan kontroversi.

"Masing-masing tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kontroversi atau provokasi dan akan berusaha menjernihkan semula keadaan," katanya ketika dihubungi.

uncle kentang ngo urus jenazah 2

Uncle Kentang (baju merah) dan Ustaz Rafie (jubah putih) bersama wakil NGO pengurusan jenazah.

Muhammad Rafieudin yang lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie memberitahu, Uncle Kentang mengakui beliau tidak tahu kos sebenar pengurusan jenazah sehingga timbul dakwaan terdapat pihak mengambil kesempatan terhadap dirinya.

"Saya sebagai orang tengah yang mendamaikan mereka semua. Kami mempunyai gabungan 12 NGO pengurusan jenazah di seluruh Malaysia yang menawarkan khidmat pengurusan jenazah secara percuma kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Di bawah gabungan 12 NGO ini, ada kira-kira 100 van jenazah, van komuniti dan ambulans yang bersedia untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.

"Saya juga memaklumkan beliau bahawa SPJM bukan saja menguruskan jenazah di dalam negara, juga di luar negara termasuk kes kematian warga asing," katanya.

uncle kentang ngo urus jenazah 1

Ustaz Rafie (kanan) dan Uncle Kentang.

Beliau menegaskan bahawa perbincangan lebih kepada mencari penyelesaian kepada segala permasalahan dan kekeliruan yang berlaku.

"Pertemuan ini bukan untuk bergaduh atau mencari siapa benar dan siapa salah, tetapi lebih kepada mencari solusi. Hubungan yang keruh perlu segera dijernihkan.

"Saya berharap agar segala tohmahan dan kata-kata sinis antara kedua-dua pihak dapat dihentikan kerana ia sedikit pun tidak memberikan sebarang manfaat," katanya.

Pertemuan ini bukan untuk pergaduhan atau mencari siapa benar dan siapa salah, tetapi lebih kepada mencari solusi.

USTAZ RAFIE

Sementara itu, Uncle Kentang ketika dihubungi mStar turut mengesahkan tiga persetujuan utama tersebut kerana apa yang penting adalah memberi bantuan kepada golongan susah dan kurang berkemampuan.

"Kita sama-sama mengejar akhirat dengan melakukan amal kebajikan. Kita bincang baik-baik. Segala urusan jenazah orang Islam akan disalurkan kepada NGO-NGO pengurusan jenazah.

"Pihak saya akan membantu dari segi kebajikan waris kepada jenazah. Waris sudah pasti memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan kehidupan," katanya.

uncle kentang ngo urus jenazah 8

Uncle Kentang sedia membantu dari segi kebajikan waris kepada jenazah.

Terdahulu, Uncle Kentang dikritik hebat gara-gara memohon sumbangan dana awam bagi membawa pulang jenazah, turut melibatkan kos sewa hotel dan token untuk dua sukarelawan.

Beberapa NGO pengurusan jenazah berpandangan bahawa adalah tidak wajar untuk mendapat dana awam bagi kos sewa hotel dan token kepada petugas selain kos penghantaran dan menguruskan jenazah kerana sukarelawan melakukannya secara sukarela, tanpa dibayar.

Uncle Kentang menjelaskan bahawa sukarelawan juga perlu dijaga dari segi kebajikan mereka dengan pemberian token termasuk menginap di hotel, menggunakan dana awam.

Bagaimanapun, Uncle Kentang mengakui kelemahan dan kesilapannya dalam menguruskan jenazah, dan sedia berhubung dengan NGO pengurusan jenazah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain