suria

Ibu rancak sembang dengan geng sampai lupa nak balik, anak tetap gagal ‘tarik’ ibu pulang walau datang ‘sound’ guna speaker

Fida dan kakaknya berpakat untuk memanggil ibu mereka menggunakan speaker gara-gara leka bersembang.

SITUASI normal apabila golongan ibu-ibu rancak bersembang sehingga ralit lebih-lebih lagi apabila bertemu 'geng'.

Pelbagai topik dibualkan tanpa menyedari sudah berjam-jam bertandang di rumah orang.

Begitu juga kisahnya dengan ibu kepada wanita ini yang begitu leka bersembang sehingga si anak terpaksa menggunakan pembesar suara untuk memanggilnya pulang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan 'makcik bawang' ya” - Ibu borak sakan ketika ziarah raya sampai anak tertidur... video tular buat guru sedar sesuatu tentang dirinya

ARTIKEL BERKAITAN: “Buka pintu kepada orang lain pun salah, membawang dengan jiran tepi pagar pun jangan!” - Dr Rafidah anggap rakyat Malaysia keliru maksud sebenar patuh SOP

Lebih lucu, si anak siap mengusung speaker dan menyorok di belakang rimbunan pokok bunga ketika membuat 'pengumuman' meminta ibunya pulang.

"Assalamualaikum, selamat pagi dan selamat membawang. Sila balik... jangan dok suka sangat," demikian pengumuman lucu tersebut.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Nor Syafida Mohamad Issam berkata idea untuk menyakat ibunya, Zera Banun Yusoff, 55, timbul secara spontan ketika wanita tersebut berkunjung ke rumah adik iparnya yang terletak berdekatan.

"Ibu pergi ke rumah ibu saudara kami yang dipanggil Maktam. Dah dua jam ibu pergi bersembang tapi tak balik-balik. Sebenarnya ibu nak bincang pasal menu nak buat untuk makan-makan sempena hari keluarga.

mak 2

Fida (tengah) bersama dua kakaknya.

"Saya kata dekat dua kakak, jomlah kita guna speaker. Kami gigih bawa speaker tapi rumah Maktam dekat saja, hanya jalan kaki dah sampai.

"Bila sampai tepi rumah Maktam, kakak saya konon pura-pura guna nada seperti buat announcement padahal tak larat kami tahan gelak. Lucunya, ibu keluar gelak-gelak dan dia boleh suruh kami balik dulu.

"Perbincangan tak habis lagi dia kata. Sudahnya, hampir pukul 1 tengah hari baru ibu balik rumah," cerita wanita yang senang disapa sebagai Fida ini.

mak 3

Kedua-dua kakak Fida sememangnya berperwatakan gila-gila.

Menurut Fida, aktiviti makan-makan sememangnya sudah menjadi rutin bagi keluarga besarnya lebih-lebih lagi ketika saudara mara pulang ke kampung atau ketika meraikan majlis tertentu.

"Untungnya, ibu-ibu saudara dan bapa saudara sebelah ibu saya tinggal berdekatan antara satu sama lain di kampung ini. Kalau raya atau kenduri, memang meriah sangat.

"Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sempadan negeri ditutup dulu tak terasa sunyi sangat sebab kami ramai saudara mara sekampung," ujarnya yang menetap di Kampung Pondok Upih, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Sebenarnya ibu bukan pergi membawang sebaliknya nak bincang untuk buat makan-makan.

NOR SYAFIDA MOHAMAD ISSAM

Menurut Fida, speaker dan pembesar suara itu adalah kepunyaannya kerana dia menyediakan perkhidmatan sewaan untuk majlis dan juga bisnes 'surprise delivery'.

Tidak menyangka video tersebut tular di aplikasi TikTok, Fida berkata dia turut terhibur apabila membaca komen netizen.

"Memang ramai kata ibu-ibu mereka pun macam tu kalau jumpa geng bersembang. Kebanyakannya memang lucu.

"Tapi bila viral di Facebook, macam-macam komen negatif siap ada yang kata kami aibkan ibu. Mana mungkin kita nak aibkan ibu sendiri. Itu sekadar usikan dan ibu saya pun okay.

mak 1

Fida bersama kedua-dua orang tuanya sewaktu majlis persandingannya.

"Dan sebenarnya ibu bukan pergi membawang sebaliknya nak bincang untuk buat makan-makan. Tapi disebabkan lama sangat, kita letak kapsyen membawang," katanya berseloroh.

Sehingga kini video tersebut meraih sehingga melebihi 669,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain