suria

Fikir duit baki hangus selepas budak jual kuih siput ‘lesap’ diberi RM50, tapi berlaku sebaliknya... tafsiran cikgu ternyata salah!

Seorang guru menceritakan pengalaman didatangi budak perempuan menjual kuih siput. -Gambar hiasan

PELBAGAI cara dilakukan masyarakat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Ini terutama mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Rata-rata mereka tak kisah melakukan apa saja kerja, yang penting ada pendapatan seperti pepatah 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar sanggup tak makan KFC ketika jamuan, alasannya buat warden asrama nak menitik air mata

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak tahu berapa jumlah duit syiling tapi bunyi keceng, keceng" - Guru sebak pelajar duduk rumah papan 'biasa-biasa' derma bantu 3 beradik yatim piatu

Seorang guru, Mohamad Yusof Sulehin berkongsi pengalaman didekati seorang kanak-kanak yang mencari rezeki dari meja ke meja.

"Masa saya tengah makan malam tu, seorang budak perempuan datang kat meja saya jual kuih siput. Saya tanya dia 'balik sekolah ke dik?' Dia jawab ya.

"Saya tanya lagi 'tak penat ke dik?' dan dia menjawab 'nak tolong ibu'. Kasihan budak ni," tulis Mohamad Yusof menerusi halaman Facebook Muhammad Yusof.

jual kuih siput 2

Perkongsian Mohamad Yusof di laman sosial.

Bersimpati dengan kanak-kanak berkenaan, guru yang berkhidmat di Pasir Gudang, Johor itu membeli dua pek kuih siput berharga RM10.

"Saya bagi RM50. Masalahnya saya tak ada duit pecah RM50. Dia kata dia tak ada duit pecah dan dia kata nanti dia nak jumpa ibu dia dan lepas tu dia bagi bakinya.

"Lama juga budak tu pergi. Sampai saya dah nak habis makan pun dia tak datang lagi. Saya fikir dia dah songlap (curi) baki duit saya.

"Tapi tak apalah saya fikir saya niat kira halal jelah kalau dia tak datang semula," ujarnya.

Mungkin mereka diuji dengan kesusahan tapi saya percaya mereka hidup dalam keberkatan rezeki.

MOHAMAD YUSOF SULEHIN

Namun tanpa disangka-sangka, kanak-kanak perempuan yang menjual kuih siput kembali datang ke mejanya.

"Masa saya nak bayar tiba-tiba budak tu datang. Dia minta maaf sebab dia beritahu ibunya baru nak pecah duit kat kedai, jadi lambat sikit.

"Saya beritahu dia 'tak pe dik, ambillah ya duit lebih ni.' Budak tu senyum sambil ucap terima kasih," kata guru yang juga merupakan warden asrama.

muhammad yusof

Mohamad Yusof memuji kerajinan kanak-kanak itu. foto FB Muhammad Yusof

Kegigihan kanak-kanak itu mencari rezeki wajar dipuji, sambil mengagumi keperibadiannya.

"Sebagai seorang bapa, saya kagum dengan budak ni kerana akhlaknya. Kagum juga saya dengan ibu bapa yang mendidik dia jadi anak yang baik.

"Mungkin mereka diuji dengan kesusahan tapi saya percaya mereka hidup dalam keberkatan rezeki. Saya percaya satu hari nanti budak ni akan jadi 'seseorang'. Saya yakin dan percaya, Insya-Allah," kata penerima Anugerah Kebangsaan Ikon Warden Asrama Harian Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Simposium Hal Ehwal Murid Peringkat Kebangsaan 2021 ini.

Dalam pada itu, Mohamad Yusof mengimbas berita mengenai seorang wartawan menyamar sebagai pengemis dengan menjual tisu, dan menerima bayaran RM147 dalam masa dua jam.

"Kadang-kadang kita malas nak layan orang jual tisu atau budak jual mangga sebab mungkin kita rasa ada orang yang buat-buat buta nak scam duit kita atau ada sindiket yang kerah anak-anak yatim untuk minta jual keropok atau buah.

"Tapi pada masa sama, kita tak tahu sebenarnya ada keluarga betul-betul tengah struggle cari duit nak tampung ekonomi keluarga. Entah ada makanan atau tidak mereka sekeluarga untuk hari esok?" soalnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain