suria

Pelajar sanggup tak makan KFC ketika jamuan, alasannya buat warden asrama nak menitik air mata

Seorang guru berkongsi kisah pelajar yang membawa pulang bungkusan KFC ke rumah. -gambar hiasan

KEHIDUPAN di asrama menyaksikan hubungan kekeluargaan wujud antara warden dan para pelajar, justeru berkongsi rezeki sudah menjadi satu amalan.

Menerusi satu perkongsian seorang warden asrama di laman sosial, pelajar-pelajarnya mendapat rezeki menikmati burger selepas berpuasa sunat di siang hari.

Di sebalik rezeki burger itu, guru berkenaan, Mohamad Yusof Sulehin terkenang kisah seorang pelajarnya selepas mengadakan jamuan di asrama, beberapa tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sanggup belanja besar bawa 30 murid ke KFC... terpegun tengok sos keluar dari pam, tangan terketar pertama kali dapat makan

ARTIKEL BERKAITAN: Bawa calon UPSR makan KFC, lelaki ini tersentak dengar alasannya tak selera makan ayam, "Saya terus pakai spek hitam..."

"Masa tu waktu tengahari asrama saya ada buat jamuan sikit, makan KFC. Kebetulan pula asrama minggu tu balik kampung.

"Petang tu ada sorang pelajar ketuk rumah saya minta tolong hantar ke rumah sebab ayah dia dah tak ada, mak pula tak pandai bawa kereta. Selalu dia tumpang jiran tapi hari tu jiran dia ada kerja," tulisnya di halaman Facebook Muhammad Yusof.

Guru yang berkhidmat di Pasir Gudang, Johor itu bersimpati dengan keadaan yang menimpa pelajar berkenaan dan menawarkan bantuan untuk menghantarnya pulang ke rumah.

"Kasihan juga kat pelajar ni, saya pun kata 'Okay, saya siap kejap. Dalam lima minit tunggu kat kereta saya'. Masuk kereta, saya perasan dia bawa bungkusan KFC jamuan tadi.

"Saya pun pelik. Saya tanya dia awak tak makan ke jamuan KFC tadi?'" soalnya.

Bagaimanapun, jawapan yang diberikan pelajar tersebut mengundang sebak Mohamad Yusof.

"Jawapan dia buat saya terus macam nak menitik air mata. Cikgu, saya ni jarang dapat makan sedap macam ni. Jadi saya nak kongsi dengan mak dan adik saya kat rumah," katanya memetik perbualan tersebut.

pelajar kfc 2

Perkongsian Mohamad Yusof di laman sosial.

Prihatin terhadap kebajikan para pelajar, Mohamad Yusof menyedari masih terdapat insan yang belum berpeluang merasai 'kehidupan biasa' seperti orang lain.

"Ada lagi rupanya orang kat Malaysia ni yang mungkin tak pernah makan ayam KFC sebenarnya. Ya, tak pernah makan," kata guru yang menerima Anugerah Kebangsaan Ikon Warden Asrama Harian Terbaik Peringkat Kebangsaan sempena Simposium Hal Ehwal Murid Peringkat Kebangsaan 2021.

Bila ada yang sanggup beratur panjang semata-mata nak beli ayam KFC, janganlah kita kutuk mereka macam-macam sebab mungkin masa jualan murah inilah mereka mampu nak makan ayam KFC.

MOHAMAD YUSOF SULEHIN

Justeru, Mohamad Yusof menasihatkan semua pihak untuk tidak memandang rendah terhadap mereka yang sanggup beratur panjang demi mendapatkan makanan segera itu.

"Bila ada yang sanggup beratur panjang semata-mata nak beli ayam KFC, janganlah kita kutuk mereka macam-macam sebab mungkin masa jualan murah inilah mereka mampu nak makan ayam KFC.

"Mungkin ada dalam kalangan mereka sekeluarga yang first time boleh makan ayam KFC? Kita mana tahu, kan? KFC ni mungkin nampak biasa-biasa pada kita, tapi sangat istimewa pada orang lain," katanya.

mohamad yusof

Mohamad Yusof sering berkongsi kisah kemasyarakatan. foto FB Muhammad Yusof

Berkongsi rezeki, Mohamad Yusof memutuskan untuk membelikan sekotak besar ayam goreng di premis tersebut buat pelajar berkenaan dalam perjalanan.

"Balik nak menghala ke rumah (pelajar) kebetulan baru gaji, saya beli satu bucket untuk budak tu.

"Dia ucap terima kasih dan dalam celahan kampung di pinggir bandar tu, saya sedar ada lagi di sekeliling kita, ada anak-anak murid yang memerlukan kita, sebenarnya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain