suria

Nak bantu urus jenazah tapi rayu dana RM1,500 siap ada kos sewa hotel, token... Uncle Kentang akui ‘budak baru belajar’, perjelas hal sebenar

Uncle Kentang terbuka menerima kritikan mengenai khidmat pengurusan jenazah di bawah kendaliannya.

GARA-gara memohon sumbangan dana awam untuk membawa pulang jenazah dan dalam masa sama melibatkan kos menginap di hotel dan token untuk sukarelawan, aktivis sosial, Uncle Kentang dikritik hebat.

"Mandikan, kapankan jenazah dan hantar balik ke Besut, Terengganu. RM1,500 termasuk minyak, duit sewa hotel dan juga token pemandu van jenazah dua orang," demikian kata bekas anggota polis itu atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng di Facebook beliau, pada Sabtu sebelum ia mengundang kontroversi.

Menerusi satu perkongsian lain yang tular selepas itu, pengguna Facebook bernama Mat Yoe yang merupakan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan jenazah secara percuma, mendakwa terdapat pihak menyangka jenazah berkenaan dikendalikan oleh mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak kira agama, Uncle Kentang bantu urus kebumi jenazah menjelang 1 Syawal termasuk bayi 5 bulan dah 14 hari meninggal dunia! Ramai doakan dapat hidayah

ARTIKEL BERKAITAN: Memang ramai tertanya-tanya, akhirnya Uncle Kentang buka kisah sedih yang lama disimpan - "Wajah ayah kaku di bangku panjang, ditutup tikar mengkuang"

"Pada awalnya, ada orang menyangka team kami yang terlibat dengan kes ini. Saya menafikan penglibatan team kami dengan kes ini sekeras-kerasnya.

"Kami ada ramai sahabat di seluruh Malaysia yang boleh hantar jenazah ke mana sahaja tanpa sebarang caj. Kalau tak tahu nak contact siapa, contact aku. Nanti aku aturkan.

"Tak kira di mana sekali pun," demikian antara tulisannya di Facebook.

Bercakap kepada mStar, Mat Yoe atau nama sebenarnya Ahmad Nazrul Muhammad berkata, adalah tidak wajar untuk mendapat dana awam bagi kos sewa hotel dan token kepada petugas selain kos penghantaran kerana sukarelawan melakukannya secara sukarela, tanpa dibayar.

"Bagaimanapun, NGO itu sendiri boleh menggunakan sumber kewangan mereka sekiranya mahu membiayai kos menginap di hotel atau token kepada sukarelawan.

"Jika waris ada sedekah duit sebab kita uruskan jenazah pun, kami tak terima. Kami sedekah semula kepada waris yang lebih memerlukan kerana bila mereka minta bantuan daripada kita (khidmat secara percuma), bermakna mereka sendiri susah," katanya yang mewakili JNZA Gaung Global, sebuah NGO pengurusan jenazah yang beroperasi sejak 2018 dan ditukar nama kepada Pertubuhan Amal Komuniti Besut pada tahun ini.

uncle kentang urus jenazah 7

Sumbangan dana untuk membawa pulang jenazah.

Sementara itu, Uncle Kentang ketika dihubungi mStar menjelaskan bahawa sukarelawan juga perlu dijaga dari segi kebajikan mereka dengan pemberian token.

"Bagi saya, tiada masalah untuk meminta dan menggunakan dana awam bagi pemberian token dan kos menginap di hotel buat sukarelawan.

"Takkan nak bagi mereka tidur dalam van jenazah? Mereka juga perlu rehat dan makan serta minum yang secukupnya untuk pergi dan balik. Ada rehat, dapat mengelakkan kemalangan.

"Bila saya buat kerja-kerja kebajikan, saya tidak mahu menyusahkan sukarelawan saya yang bekerja. Mereka juga ada keluarga, bini dan anak-anak," katanya.

Menurut Uncle Kentang, kos RM1,500 itu antaranya meliputi petrol RM300, tol (RM100), hotel (RM200) token dua sukarelawan RM100 seorang (RM200) dan makan minum (RM100) serta kos mandi dan kapan jenazah (RM350).

Dalam pada itu, Uncle Kentang turut memberitahu beliau memberikan sumbangan ihsan peribadi kepada waris sebagai 'wang saku'.

"Waris nak balik Terengganu untuk uruskan jenazah anaknya mesti nak pakai duit juga selain kos pengurusan jenazah. Nak beli air kordial pun pakai duit.

"Masa waris call saya minta bantuan, dia beritahu langsung tak ada duit," katanya yang turut menafikan dakwaan beliau meminta wang daripada waris untuk kos pengurusan jenazah.

uncle kentang urus jenazah 5

Mat Yoe turut menguruskan jenazah menerusi Pertubuhan Amal Komuniti Besut.

Bagaimanapun, Uncle Kentang mengakui kelemahan dan kesilapannya dalam menguruskan jenazah, termasuk penggunaan ambulans untuk seorang lagi anak waris.

"Saya budak baru belajar, baru 16 tahun terlibat dalam kerja-kerja kebajikan. Saya akui lemah dan banyak perkara perlu diperbaiki.

"Selepas ini jika ada yang datang atau berhubung kepada saya untuk dapatkan khidmat urus jenazah, saya akan salurkan kepada mereka (NGO pengurusan jenazah).

"Mereka mampu melakukannya, jadi biarlah mereka yang buat untuk bantu. Saya belajar daripada kesilapan saya," katanya.

Bila saya buat kerja-kerja kebajikan, saya tidak mahu menyusahkan sukarelawan saya yang bekerja. Mereka juga ada keluarga, bini dan anak-anak.

UNCLE KENTANG

Sementara itu, Mat Yoe berkata, pihaknya tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana NGO dalam menyediakan khidmat pengurusan jenazah secara percuma.

"Buat masa sekarang, kami bekerjasama dengan tujuh NGO pengurusan jenazah di seluruh Malaysia. Kita faham sesetengah NGO lain tiada dana dan perlu buka dana awam untuk tampung segala kos.

"Tapi biarlah dana tersebut tidak terlalu besar supaya tiada pihak memandang serong kepada pengurusan jenazah yang lain.

"Kita semua mahu bantu orang. Moga kita semua dapat bantu seramai mungkin dan tidak menjadikan pengurusan jenazah sebagai salah satu sumber pendapatan," katanya.

uncle kentang urus jenazah 4

Uncle Kentang berusaha untuk membantu masyarakat dari segi pengurusan jenazah.

Terdahulu, Uncle Kentang menerusi Facebook miliknya memohon sumbangan orang ramai untuk bantuan sebanyak RM3,700 bagi menguruskan dua anak waris yang terlibat dalam kemalangan.

Pertama, sebanyak RM2,200 untuk kos penggunaan ambulans swasta bagi menghantar seorang anak waris yang parah terlantar di hospital di Melaka untuk dihantar ke Terengganu, ekoran banyak pemandu ambulans di bawah kendaliannya menjalani kuarantin akibat kes Covid-19.

Seorang lagi anak waris pula meninggal dunia, di mana jenazah perlu diuruskan dan dibawa pulang dari Hospital Kuala Lumpur ke Terengganu dengan kos RM1,500 termasuk petrol, hotel dan token kepada dua sukarelawan.

Jenazah selamat dikebumikan di Besut, Terengganu pada Ahad.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain