suria

“Siap renung kami, dekat seminit juga’’ - Dua pekerja hospital panik, penunggang motor mencurigakan tiba-tiba muncul ‘main brek’ depan kereta

Seorang penunggang motosikal bertindak mencurigakan apabila tiba-tiba menekan brek berkali-kali di hadapan kereta Zahyra dan rakannya.

KETIKA ini ramai yang sanggup melakukan perkara tak sepatutnya kerana desakan hidup.

Ada yang merompak atau melakukan pelbagai kaedah penipuan semata-mata mahu mendapatkan wang dengan cara yang mudah.

Jika melihat kepada perkongsian video rakaman papan pemuka (dashcam) di media sosial sebelum ini, terdapat beberapa kes di mana ada individu yang sanggup berpura-pura terjatuh di atas jalan raya kononnya dilanggar kenderaan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Plan' tak menjadi! Suami tertinggal motosikal isteri selepas meragut, 'takut bini marah' tebal muka serah diri

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis tak sengaja rakam video insiden dirinya diragut, ibunya pernah berdepan nasib sama ketika hamil 7 bulan - “Kakak sempat tarik motor dia”

Pernah melihat rakaman seumpamanya di media sosial, wanita ini sama sekali tidak menyangka berdepan dengan situasi yang hampir sama.

Namun mujurlah kereta milik rakannya dilengkapi dengan kamera papan pemuka yang merakam insiden itu, sekali gus boleh dijadikan sebagai bukti.

Hanya mahu dikenali sebagai Zahyra Khalimi, wanita ini berkata kejadian tersebut berlaku pada petang 8 Disember lalu.

"Ketika itu saya dan rakan baru je keluar dari parking hospital untuk pulang sekitar pukul 5 petang. Saya duduk di sebelah manakala rakan yang memandu.

"Kami tak nampak pun penunggang motosikal tu ikut dari belakang, entah dari mana dia muncul. Pada mulanya dia hon berkali-kali di satu persimpangan lampu isyarat untuk tarik perhatian tapi kami tak layan.

"Kemudian dia sengaja menunggang motosikal di sebelah sisi pemandu, tapi tak nampak sebab dashcam hanya ada di depan dan belakang. Kami masih tak layan, dan mungkin sebab itu, dia bertindak drastik pergi depan kereta dan main 'brake'.

2

Penunggang motosikal berkenaan secara tiba-tiba memintas kenderaan yang dinaiki Zahyra dan rakannya.

"Ada rakaman tu, dia brake tiba-tiba... mujurlah rakan saya pun peka. Risau sebab dia sengaja nak nampakkan kita yang langgar. Masa brake, dia siap renung kami... ada dekat seminit juga," ujarnya yang merupakan seorang kakitangan sebuah hospital di Lembah Klang.

Menurut Zahyra, melalui pengamatannya, penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar itu merupakan seorang pemuda dalam lingkungan umur 20-an, selain matanya juga kelihatan kemerah-merahan.

Tambahnya, dia dan rakannya agak ketakutan dan panik kerana bimbang penunggang motosikal berkenaan bertindak di luar jangkaan.

3

Penunggang tersebut secara tiba-tiba menekan brek motosikalnya berkali-kali dengan sengaja.

"Kami langsung tak respons sama ada tekan hon, buka tingkap, buat isyarat tangan atau sebagainya. Dekat komen, ramai tanya kenapa tak hon? Sebenarnya kami cuba bertindak serasional mungkin.

"Kami tak mahu jika buat sesuatu, nanti dia bertindak bukan-bukan. Ada juga yang komen, mungkin kami ada buat penunggang tu marah dengan cara pemanduan atau sebagainya.

"Namun kami yakin tak buat kesalahan pun ketika itu... penunggang tu entah muncul dari mana dan tiba-tiba bertindak macam tu. Boleh lihat rakaman dashcam dari awal sewaktu kami keluar parking sebagai bukti," ujar wanita berusia 30-an ini.

Kami yakin tak buat kesalahan, penunggang tu entah muncul dari mana dan tiba-tiba bertindak macam tu. Boleh lihat rakaman dashcam dari awal.

ZAHYRA KHALIMI

Namun menurut Zahyra, dia dan rakannya bersyukur kerana penunggang motosikal berkenaan kemudian berlalu selepas bertindak mencurigakan.

"Kami tengok juga kalau-kalau dia ikut lagi. Alhamdulillah dia tak ikut. Memang trauma juga kami berdua. Inilah kejadian pertama selama lapan tahun saya bertugas di hospital tersebut.

"Dan itulah kali pertama rakan saya buat laporan polis kerana kejadian berkenaan," katanya lagi.

4

Zahyra turut memuat naik video dashcam belakang sebagai bukti bahawa kenderaan mereka tidak melakukan sesuatu yang menaikkan kemarahan penunggang berkenaan.

Tidak menyangka perkongsian videonya di media sosial menjadi tular, Zahyra berkata dia sekadar mahu memberi peringatan kepada pemandu lain agar lebih berhati-hati.

"Tapi selepas rakaman tu tular, netizen memang pantas buat kerja. Mereka siap cari identiti pemilik motosikal menerusi nombor pendaftaran motosikal tu.

"Orang jahat ni kita tak boleh kawal. Sebaliknya kita yang kena alert. Pastikan kunci pintu kereta terus sebaik saja masuk. Hospital lazimnya ramai pekerja perempuan, jadi mungkin ada yang 'aim'.

"Ketika ini, kita dapat lihat pentingnya pasang dashcam di kereta. Itulah sebagai bukti jika berlaku apa-apa," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain