suria

Umur 25 tahun tapi dah lawat 36 negara, pemuda ini kongsi negara paling best dan kurang menarik untuk dilawati... tip pun ada

Amirussalam sudah melancong ke 36 buah negara.

TIGA puluh enam buah - itu jumlah negara yang telah dilawati seorang pemuda yang mula merantau ke negeri orang sejak berusia 13 tahun lagi.

Antara negara yang sudah dilawati adalah Thailand, Vietnam, Macau, Hong Kong, Jepun, Bosnia, Croatia, Montenegro, United kingdom dan Switzerland.

ARTIKEL BERKAITAN: Kek printed jawab misteri kehilangan bapa sejak berpuluh tahun lalu, pecah rahsia pemuda ‘simpan’ dua teman wanita

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kongsi kisah dihina akibat ekzema, diperli soal jodoh... akui waktu malam paling menyeksakan, siap balut tangan elak garu!

Tidak lokek berkongsi ilmu, pemuda ini malah berkongsi pula pelbagai tips untuk melancong di laman sosial medianya.

Bercakap kepada mStar, Amirussalam Aswadi, 25, berkata, dia mula melancong sendirian ketika usianya 19 tahun, iaitu ke Singapura.

"Saya mula travel umur 13 tahun iaitu pada tahun 2009, saya pergi ke Indonesia. Masa tu guna khidmat agensi pelancongan, saya betul-betul travel sendiri masa umur 19 tahun ke Singapura, sampai la sekarang semua saya travel sendiri tanpa agensi," katanya.

Usahawan yang mempunyai seorang anak ini berkata, selain hobi, melancong juga membantu dirinya meraih pengalaman di samping menjana pendapatan iaitu dengan menjadi personal shopper atau dengan menjual barangan yang popular dari negara yang dilawatinya.



Amirussalam sering berkongsi tips melancong di laman sosial medianya.

"Saya suka travel sebab boleh belajar culture negara-negara luar, belajar macam mana negara-negara maju berkembang dan paling penting boleh mengenali diri saya sendiri.

"Bila travel luar negara saya boleh buat ramai kenalan baru orang Malaysia, sebab kalau saya travel solo memang saya akan cari orang-orang Malaysia yang stay di negara luar dan mula kenal dan berkawan hingga hari ini.

"Selain tu saya juga suka sebab ia beri saya peluang untuk jana pendapatan, bila saya terokai negara tersebut sebelum balik ke Malaysia saya akan jadi personal shopper dan jual barang-barang dari negara tersebut... macam Perancis barang-barang branded, Turki manisannya, Korea brooch dan cotton," katanya.



Amirussalam membeli barangan branded di Perancis dan manisan di Turki untuk dijual di Malaysia.

Selepas merasai sendiri pengalaman di sesuatu tempat, Amirussalam akan membawa pula orang-orang Malaysia yang ingin melancong ke tempat tersebut.

"Lepas teroka saya open trip pula bawa orang-orang Malaysia ke negara-negara yang saya pernah pergi supaya orang lain juga dapat merasa pengalaman yang best travel ke luar negara," katanya yang menetap di Jitra, Kedah.

Graduan Inha University Incheon South Korea ini berkata, kali terakhir dia melancong adalah ke Pulau Jeju, iaitu pada Februari 2020.

"Saya ke Jeju seminggu sebelum saya graduate, jadi banyak saya jadi freelance tour guide di Korea.

"Saya balik Malaysia 1 Mac, kuarantin dan terus lockdown. Sampai sekarang saya belum travel disebabkan Covid-19," katanya.



Amirussalam selalu membawa yang ingin berjalan ke Korea.

Memilih Turki sebagai negara yang paling menarik pernah dilawatinya, Amirussalam berkata, negara tersebut mempunyai alam semula jadi yang cantik selain kadar mata wang yang lebih murah berbanding Malaysia.

"Saya suka Turki sebab ia macam melengkapi... kita tahu Turki ni pemisah antara Eropah dan Asia, jadi ada feeling Eropah sikit feeling Asia sikit, kira dua-dua boleh merasa.

"Nature Turki cantik dan kalau di bandar-bandar tu macam di negara-negara di Eropah.

"Mata wang juga lebih murah berbanding Malaysia walaupun di kawasan Eropah jadi tempat tinggal, pengangkutan, makan semua boleh dikatakan tak terlalu mahal, dan Turki juga negara Muslim jadi bab makanan sangat mudah dan senang untuk dicari," katanya.



Amirussalam suka melancong ke Turki.

Amirussalam juga mempunyai ramai kenalan di Turki yang boleh diziarahi sewaktu percutiannya di sana.

Sementara itu, antara tempat yang kurang menarik bagi Amirussalam pula adalah Albania dan Kosovo, kerana negara-negara ini kurang membangun disebabkan mereka baru sahaja merdeka dari peperangan, selain tidak mesra pelancong.

Selain melancong seorang diri, Amirussalam juga sering melancong bersama keluarganya.

"Kami memang satu keluarga suka berjalan, tapi selalunya saya akan jalan dengan keluarga masa cuti sekolah sahaja.

"Di luar cuti sekolah saya travel dengan kenalan saya atau solo sahaja," katanya, yang berharap agar suatu hari nanti dunia akan pulih dari wabak Covid-19 dan dia boleh kembali melancong.

Amirussalam juga berharap agak Tourism Malaysia akan merancakkan lagi usaha untuk mempromosikan Malaysia ke mata dunia.

"Sebenarnya Malaysia ni banyak pantai cantik seperti Thailand tapi pantai-pantai kita tak sepopular Thailand di mata dunia salah satu sebab pemasaran untuk menonjolkan tempat-tempat menarik kurang di dalam dan luar negara.

"Saya harap semoga Malaysia pun boleh jadi sebuah negara yang mampu menonjolkan tempat-tempat pelancongan semegah Indonesia dan Thailand," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain