suria

Gadis tak sengaja rakam video insiden dirinya diragut, ibunya pernah berdepan nasib sama ketika hamil 7 bulan - “Kakak sempat tarik motor dia”

Menurut Fatin, dia sama sekali tidak menyangka kejadian ragut itu akan menimpa dirinya. Gambar Hiasan: IZZRAFIQ ALIAS/ The Star.

JIKA suatu masa lalu si ibu pernah menjadi mangsa ragut, kali ini anak bongsunya turut menerima nasib serupa.

Menurut Kamalia Hasan, 41, kejadian pada Jumaat lalu di Kampung Baru, Kuala Lumpur membuatkan dirinya mengimbas kembali kejadian lampau sewaktu dia sedang sarat hamil anak kedua.

Namun kata suri rumah dari Putrajaya itu, dia bersyukur anak bongsunya, Fatin Nur Hafizah Hatin, 17, tidak mengalami sebarang kecederaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Seret wanita siap buat U-turn, dua peragut ‘disumpah’ netizen - “Kena kat keluarga sendiri, jangan lupa zaman kegemilangan kau dulu”

ARTIKEL BERKAITAN: Hairan dapat semula barang peribadi 20 minit selepas diragut, “Kalau dia tak ada duit nak beli susu anak, saya maafkan”

"Saya pernah kena berbelas tahun lepas. Masa tu hamil anak kedua, kandungan dah masuk usia tujuh bulan.

"Saya diragut dari belakang sewaktu nak naik bas. Masa tu tengah beratur, bila naik satu anak tangga bas terus dia tarik handbag.

"Tapi mungkin si peragut tu nampak saya hamil, perut besar... dia lepaskan saya," imbasnya mengenai kejadian yang berlaku di ibu negara itu.

Paparan skrin video kejadian itu yang tidak sengaja dirakam oleh Fatin.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia juga masih terkejut dengan kejadian terbaharu yang menimpa puteri bongsunya.

Malah katanya, ia memberi pengajaran untuk dia sekeluarga agar lebih berhati-hati selepas ini.

"Satu pengajaran di sini, rasanya beg duit dan telefon kena letak dalam poket. Tak sesuai nak bergaya dengan beg tangan di lokasi itu," ujarnya lagi.

Balik rumah periksa telefon dan jumpa video tu. Saya kongsi video tu agar orang di luar sana lebih berhati-hati.

FATIN

Dalam pada itu, Fatin yang menjadi mangsa pada malam itu mengakui sama sekali tidak pernah membayangkan ia akan berlaku terhadap dirinya.

Menurut Fatin, dia juga secara tidak sengaja merakam insiden itu yang mana video berkenaan kini tular di media sosial.

"Masa tu kami sekeluarga baru lepas makan. Sementara tunggu ayah ke tandas, kami tunggu dekat kereta.

"Saya pegang telefon ketika itu, tak perasan buka kamera, dan tertekan butang rakaman video sebab masa tu tengah tergesa-gesa.

"Kemudian seorang lelaki naik motor lalu di situ dan tarik tangan saya untuk ambil telefon itu. Dia tak berjaya sebab saya sempat tarik tangan.

Sewaktu kejadian, mangsa bersama ibu dan adik beradiknya sedang menunggu bapanya selepas selesai menikmati makan malam di Kampung Baru. - (Gambar Hiasan: IZZRAFIQ ALIAS/ The Star)

"Masa tu kakak saya sempat tarik motor dia, kemudian dia terus pecut melarikan diri bila abang saya kejar.

"Balik rumah periksa telefon dan saya jumpa video tu. Saya kongsi video tu agar orang di luar sana lebih berhati-hati," ujar Fatin.

Menurut Fatin lagi, ramai netizen turut berkongsi kisah masing-masing di ruangan komen.

Video yang dikongsi menerusi platform TikTok itu sehingga kini meraih lebih 133,000 tontonan.

Ujarnya lagi, mereka sekeluarga sememangnya kerap berkunjung ke Kampung Baru untuk menjamu selera.

Malah, lokasi itu disifatkan sebagai 'port makan' wajib yang sering dikunjungi keluarganya sejak sekian lama.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain