suria

Berlari-lari keriangan bawa beg hijau, penantian 3 tahun berbaloi... Abang posmen tak tunggu lama tawar servis rider Grabfood, bersemangat betul!

Rakan baik Arsyaidi gembira selepas diterima sebagai rider Grabfood.

TEMPOH tiga tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat.

Justeru, penantian satu khabar gembira dalam tempoh tersebut pasti membuatkan seseorang benar-benar gembira dan teruja.

Begitulah situasi yang dilalui oleh seorang lelaki apabila penantiannya selama tiga tahun untuk menjadi seorang penghantar makanan Grab (Grabfood Rider) akhirnya menjadi kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi pemandu Grab hanya sebab nak ‘kejar solat jemaah’, lelaki terkejut hidup alami perubahan menakjubkan selepas berhenti kerja makan gaji!

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja part time pemandu Grab, tapi bakal guru rela poket kosong asal dapat ‘kenyangkan’ haiwan jalanan - “Rasa bersalah kalau lalu tak bawa makanan”

Jelas terpancar sinar kegembiraan di wajahnya ketika berlari-lari keriangan sambil membawa beg kotak makanan berwarna hijau untuk ditunjukkan kepada rakan-rakannya.

Menurut Mohd Arsyaidi Zakaria, lelaki di dalam video yang dimuat naik di aplikasi TikTok adalah rakan baiknya, Mohamad Iszam, 33, yang ketika itu baru sahaja diterima bekerja sebagai rider Grab selepas permohonannya diluluskan.

"Kami merupakan rakan sepejabat dan bekerja sebagai posmen di Pos Malaysia Subang Jaya. Musim-musim sekarang memang kena buat dua kerja. Sebelum ini kami bekerja buat Grabcar tapi kemudian nak tukar kepada Grab rider.

"Sebelum ini permohonannya tidak berjaya dan kena reject sebab ada masalah sikit ketika pertukaran tersebut. Alhamdulillah, penantiannya selama tiga tahun berbaloi.

"Tak sangka dia happy sampai melompat-lompat macam tu sekali. Kalau nak tahu, masa dapat emel sebelum tu pun, dia dah happy sangat-sangat dan share dengan kawan-kawan.

eddy 2

Hubungan Arsyaidi dan Mohamad Iszam sudah seperti adik beradik.

"Saya teman dia masa ambil beg kotak makanan tu sebab nak bagi sokongan kepadanya. Saja rekod momen tersebut sebab kita pun tumpang gembira," kata lelaki berusia 39 tahun ini.

Senang disapa sebagai Eddy, dia berkata rakannya itu tidak menunggu lama untuk memulakan tugas pertama sebagai rider Grab.

"Dia dapat beg tu petang Isnin minggu lalu. Selepas selesai kerja hakiki, terus dia on aplikasi Grab untuk mulakan tugas di hari pertamanya.

"Memang nampak dia semangat betul. Bila tengok kawan macam tu, kita yang malas pun semangat untuk bekerja," kata bapa kepada dua orang anak yang menetap di Shah Alam, Selangor ini.

Saya anggap dia macam adik sendiri. Dia selalu rujuk saya kalau nak mohon apa-apa atau berkongsi cerita.

MOHD ARSYAIDI ZAKARIA

Berkongsi kisah persahabatan mereka, Eddy berkata dia dan Mohamad Iszam sudah saling mengenali sejak 10 tahun lalu kerana bekerja di pejabat yang sama.

"Kami bukan setakat kawan baik, tapi dah macam adik beradik. Saya anggap dia macam adik sendiri. Dia selalu rujuk saya kalau nak mohon apa-apa atau berkongsi cerita. Keluarga kami pun saling mengenali," katanya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya di TikTok meraih sehingga 3.3 juta jumlah tontonan, Eddy berkata dia sekadar mahu berkongsi detik manis rakannya itu agar dapat dijadikan inspirasi buat orang lain.

eddy 1

Arsyaidi bekerja sebagai rider Grabfood untuk mencari pendapatan sampingan.

"Kena pula dengan lagu tema 'Penantian' yang tengah hangat di TikTok. Dia segan sebenarnya bila dah viral tapi saya rasa ini perkara baik.

"Komen-komen pun sampai lebih 5,000 dan rata-ratanya mendoakan agar kawan saya dimurahkan rezeki. Dia tak ada TikTok jadi dia wakilkan saya untuk ucapkan terima kasih kepada semua," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain