suria

Comel! Nenek berceloteh di TikTok, beri nasihat padu untuk cucu lelaki lembut dan rakan-rakan ‘senasib’ - “Tok tak suka tukar jadi perempuan”

Video Harries dan neneknya tular di aplikasi TikTok.

SETIAP insan di muka bumi ini pasti akan melalui ujian berbeza-beza dalam hidup mereka.

Begitu juga dengan pemuda ini yang sering berdepan pandangan serong masyarakat apabila dilahirkan sebagai lelaki lembut.

Menurut Muhammad Harries Aiman Ahmad Shakir, 18, kenangan zaman persekolahannya cukup perit apabila dia sering menjadi mangsa ejekan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Salah ke lelaki lembut dicintai?” - Berhak cari jodoh, Ervan Rizuan perjelas kemesraan bersama pelakon YouTube... akui ramai tak setuju

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau ada ubat ubah suara, dari dulu saya beli” - Tak tahan diejek ‘salesman bapok’, lelaki ini kongsi ‘voice note’ dirinya dihina

"Saya dipanggil dengan pelbagai gelaran ketika berjalan di sekolah. Saya rasa terkilan, tapi nak buat macam mana? Masa tu memang saya rasa malu.

"Kita tak tukar jantina pun, tapi ada segelintir pelajar yang jerit-jerit dari dalam kelas ketika saya lalu di koridor.

"Saya rasa kecil hati. Lembut ini bukan penyakit. Saya tak pernah minta jadi lelaki bersifat lembut," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Harries, dia pada Selasa lalu mendapat perhatian ramai selepas berkongsi video mengenai isu lelaki lembut menerusi aplikasi TikTok.

Paling mencuri tumpuan tentunya kemunculan nenek Harries iaitu Maznah Salim, 63, yang memberi sokongan moral buat remaja itu.

harries2

Harries terharu dengan jawapan positif yang diberikan neneknya.

"Nenek, nenek malu tak dapat cucu lembut?" soal Harries dalam video tersebut.

Menurut nenek Harries, dia tidak malu, sebaliknya bangga kerana cucunya rajin belajar dan tidak pernah menyusahkan ibu bapa.

Tolong jangan pinggirkan anak yang lembut. Pimpin tangan mereka sampai berjaya.

HARRIES

Malah, warga emas itu sempat menitipkan pesan kepada ibu bapa di luar sana agar tidak meminggirkan anak lelaki mereka yang berperwatakan lembut.

"Tak malu. Nenek berbangga sebab lembut bukan sebarang lembut. Lembut pun dia usaha, dia gigih, dia belajar rajin.

"Harries tak menyusahkan orang, pandai cari duit, pandai belajar, tak menyusahkan mak ayah... kalau marah hilang lembutnya.

"Lembut tak semestinya tak berjaya. Kita kena terima anak kita macam mana, kita kena terima takdir dia macam tu. Banyaklah orang lembut berjaya.

harries3

Harries menetap di kediaman neneknya sejak berusia 14 tahun.

"Kepada ibu bapa di luar sana, hargai anak lembut. Jangan ketepikan mereka, bagi semangat kepada mereka. Bagi sokongan semoga mereka berjaya.

"Biar dia jadi diri sendiri. Yang penting, tok tak suka lembut bertukar jadi perempuan. Jadi diri sendiri. Dilarang jadi perempuan," ujar neneknya panjang lebar sebelum dihadiahkan ciuman di pipi oleh Harries.

Jawapan nenek Harries yang penuh hemah memberi penjelasan serta kata-kata semangat ternyata mencuri perhatian ramai sehingga ia meraih lebih 30,000 tontonan di TikTok.

Jelas Harries yang juga anak sulung daripada tiga beradik, dia kini menetap bersama neneknya di Petaling Jaya, Selangor manakala keluarganya berada di Sungai Buloh.

"Saya duduk dengan nenek sejak tingkatan dua lagi. Saya dapat idea untuk hasilkan video itu secara spontan. Tak sangka ia akan dapat reaksi positif netizen.

harries5

Harries turut berniaga sambal yang dihasilkan oleh ibunya.

"Saya bersyukur sebab nenek terima saya, dia tak pernah hakimi saya. Yang penting, dia pesan agar saya tak buat benda yang mudaratkan diri. Saya juga bersyukur dapat keluarga yang terima saya.

"Video itu juga bertujuan untuk bagi kesedaran kepada masyarakat. Tak semua ibu bapa boleh terima anak lembut. Tapi kami bukan minta dilahirkan lembut, dah ditakdirkan begini.

"Tolong jangan pinggirkan anak yang lembut. Pimpin tangan mereka sampai berjaya. Bagi peluang untuk mereka tonjolkan diri. Bukannya lembut tak boleh berjaya," ujar Harries lagi.

Dalam pada itu, Harries yang sedang menanti waktu untuk memulakan pengajian dalam bidang Sumber Manusia tidak lama lagi turut menjalankan perniagaan sambal belimbing hitam Pahang yang dihasilkan ibunya.

Ujar Harries, dia berniaga secara dalam talian demi mencari wang sampingan untuk menampung kos pengajiannya tidak lama lagi.

Akhir bicara, Harries sekali lagi memberi pesan kepada insan senasib dengannya agar tidak malu dengan diri sendiri dan yakin dalam mengejar cita-cita, asalkan tidak melakukan perkara yang ditegah agama.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain