suria

Sanggup habiskan separuh gaji demi 7 kucing, video Ara intai ayam ketika pertama kali balik kampung raih ratusan ribu tontonan - “Kat bandar tak ada macam tu”

Fiza berkongsi video Ara yang teurja melihat kucing di kediaman neneknya.

VIDEO memaparkan seekor kucing betina berusia lima bulan yang pertama kali pulang ke kampung meraih hampir 200,000 tontonan di aplikasi TikTok.

Menurut pemiliknya, Norhafizah Roslan, 29, kucing yang diberi nama Ara itu seolah-olah teruja melihat ayam yang sedang berkeliaran di sekitar kediaman neneknya di Jerantut, Pahang.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Fiza turut terkejut apabila video itu meraih perhatian ramai sehingga dia dihunjani pelbagai soalan daripada netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Amboi! Kucing garang bertukar manja hanya selepas dipanggil ‘sayang’ - “Suami saya hadiahkan, tapi dia pun takut Ciko”

ARTIKEL BERKAITAN: Apa saja demi haiwan! Dua gadis bergegas pergi kerja sanggup patah balik alih kucing mati, bangkai anjing pun pernah alihkan - “Kalau geli sekali pun, masih boleh tolong”

"Saya balik ke rumah nenek hari Jumaat lepas. Tapi saya hanya bawa balik dua ekor yang masih kecil. Lima ekor lagi saya tinggalkan di hotel kucing.

"Ia kali pertama Ara balik kampung. Ara dilahirkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi memang tak pernah berjalan ke mana-mana lagi.

"Alhamdulillah, Ara sangat baik, sepanjang perjalanan ia tidur berterusan. Nak bagi makan pun saya kena kejutkan.

"Saya sekadar suka-suka nak tunjukkan ayam kepada Ara. Kat bandar tak ada macam tu. Tak sangka Ara teruja. Tapi saya pun risau nak lepaskan, takur Ara kejar," ujarnya berseloroh.

ara3

Fiza mempunyai tujuh ekor kucing.

Menurut Fiza yang menetap di Klang, Selangor, dia juga sedaya upaya cuba menjawab setiap persoalan yang diajukan selepas video Ara tular di aplikasi TikTok.

"Ada yang tanya tip penjagaan kucing, tip untuk perjalanan jauh bawa kucing, tip pemakanan dan sebagainya. Setakat ini, saya memang akan jawab soalan yang ditanya.

Bukan kucing yang tumpang rezeki kita, tapi kita yang tumpang rezeki kucing. Sebab itu jangan berkira dengan haiwan.

FIZA

"Sebagai pemilik kucing, saya pun selalu bertanya sebab banyak perkara yang kita tak tahu sebenarnya. Yang mana sempat, InsyaAllah saya akan jawab," ujarnya.

Selain Ara, Fiza turut mempunyai enam lagi kucing iaitu Cici, Mimi, Mia, Hitam, Omey dan Capang yang dibela sejak tahun 2016.

Menurut Fiza, kucing-kucing yang dibela oleh ibunya kini berada dalam jagaannya termasuklah Ara yang baru dilahirkan tahun lalu.

"Cici merupakan kucing pertama dalam keluarga kami. Sebenarnya abang yang beli, waktu itu mak saya tinggal sendirian. Jadi Cici dibeli untuk teman mak.

ara4

Sebahagian kucing dalam Cici Clans yang dibela Fiza.

"Kemudian kami bagi Cici berkawan dengan Mimi, lepas tu terus beranak. Sayang nak jual anak-anak, jadi kami jaga semuanya. Dari situ datangnya nama Cici Clans.

"Waktu itu saya baru habis belajar dan menganggur beberapa bulan. Pada waktu itu jugalah timbul rasa sayang pada mereka. Sekarang, tujuh ekor kucing tu saya yang jaga.

"Tapi Ara baka lain, ia bukan keturunan Cici," ujar Fiza yang bekerja dalam bidang Perakaunan.

Menurut Fiza yang belum mendirikan rumah tangga, kehadiran kucing-kucing itu menjadi pelengkap hidupnya.

ara5

Menurut Fiza, dia sanggup berbelanja demi kesihatan kucing-kucing peliharaannya.

Malah, keletah comel kucing turut dianggap sebagai terapi minda selepas seharian keluar bekerja.

"Saya tak ada anak dan belum kahwin lagi. Balik rumah, saya akan cari kucing dulu. Mereka juga akan tunggu saya depan pagar, macam dah tahu saya balik. Bunyi kereta saya pun mereka tahu.

"Saya anggap kucing-kucing ni macam anak sendiri. Orang ingat bela kucing sekadar bagi makan saja, tapi banyak komitmen sebenarnya. Saya jarang shopping untuk diri sendiri, banyak shopping untuk kucing.

"Saya juga habiskan separuh gaji untuk kucing-kucing saya. Saya percaya akan konsep rezeki. Bukan kucing yang tumpang rezeki kita, tapi kita yang tumpang rezeki kucing. Sebab itu jangan berkira dengan haiwan," ujar Fiza lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain