suria

Selepas 2 jam geledah paya bakau cari mainan, ibu lega anak tak banyak tanya main ‘set masak-masak’ - “Penuh sampah, kena cari betul-betul”

Tangkap layar video Yoona mencari permainan di paya bakau. Gambar kecil Yoona bersama anak.

DI sebalik rimbunan pokok paya bakau, seorang wanita kelihatan bersungguh-sungguh mencari sesuatu.

Satu persatu barang dikutipnya di sekitar kawasan itu, dengan niatnya hanya satu iaitu mencari permainan untuk anak kesayangan.

Bukan di kedai permainan atau pusat beli-belah, hakikatnya hutan paya bakau menjadi tempat si ibu mahu memenuhi kemahuan si jantung hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakan bisnes! Ibu terkejut anak usia 4 tahun jadi 'tauke', buka 'kedai' mainan depan rumah... bila ramai nak beli tak jadi jual pula

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan - "Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo"

Wanita berkenaan, Asniah Abdul Halim berkata, video yang dikongsinya di aplikasi TikTok dirakamkan ketika mencari permainan buat anak perempuannya berusia lima tahun di kawasan paya bakau di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah, akhir Julai lalu.

Ibu berusia 27 tahun itu memberitahu, ketika itu tempat tinggalnya di Kampung Landung Ayang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama enam minggu berturut-turut berikutan kenaikan peningkatan kes Covid-19.

"Saya baru berpindah ke sini sejak empat bulan lalu. Jadi, banyak barang termasuk permainan anak yang hanya beberapa buah tidak dibawa sekali.

"Tapi anak mengadu bosan, PKPD pula menyebabkan kami tak boleh keluar ke mana-mana. Saya cuba ikhtiar cari permainan buat anak di kawasan paya bakau," katanya kepada mStar.

kutip mainan 4

Permainan yang dikutip di paya bakau.

Mengulas lanjut, dia yang lebih dikenali sebagai Yoona berkata, kedudukan hutan paya bakau itu yang berdekatan dengan laut menyebabkan banyak bahan buangan dihanyutkan ke kawasan itu.

"Saya cari bahan buangan yang boleh dijadikan permainan di hujung paya bakau. Kebanyakannya sampah, tapi kalau cari betul-betul boleh jumpa yang sesuai untuk anak.

"Hampir dua jam juga saya pusing cari, ditemani sepupu. Banyak juga yang saya kutip seperti senduk, gelas, bekas makanan termasuk anak patung.

"Memang seronok dia boleh main masak-masak. Syukur Alhamdulillah, saya pun layankan teman dia bermain," ujarnya yang berasal dari Kota Marudu, Kudat.

kutip mainan 6

Anak Yoona tekun bermain masak-masak.

Yoona yang masih dalam proses penceraian menjelaskan video rakamannya mencari permainan itu bukan untuk meraih simpati atas kesusahan yang dialaminya.

"Saya bukan tak mampu, masih ada wang simpanan. Cuma tak banyak yang tinggal selepas bisnes kedai runcit saya di kampung rugi dan terpaksa ditutup akibat PKPD.

Anak tak tahu saya kutip mainan di paya bakau. Alhamdulillah, dia tak cerewet, tak pertikaikan, sebaliknya terima apa yang saya bawa balik ke rumah

YOONA

"Alasan utama saya ke paya bakau cari permainan untuk anak sebab saya tak boleh ke pekan kerana PKPD, walaupun berjalan kaki hanya mengambil masa kira-kira 15 minit," katanya sambil menambah keluarganya bukan orang kaya, tapi masih menjalani kehidupan secara sederhana.

Tambah wanita itu, dia bagaimanapun amat bersyukur kerana dikurniakan seorang anak yang begitu memahami keadaan ibunya tanpa meminta-minta.

kutip mainan 5

Yoona menemani anaknya bermain.

"Anak tak tahu saya kutip mainan di paya bakau. Alhamdulillah, dia tak cerewet, tak pertikaikan, sebaliknya terima apa yang saya bawa balik ke rumah.

"Syukur juga ramai yang mengirimkan permainan buat anak saya selepas video tular. Terharu sebab ada yang dari Semenanjung kirimkan permainan terpakai untuk anak.

kutip mainan 3

Permainan yang diterima sumbangan orang ramai.

"Terima kasih saya ucapkan atas bantuan dan kiriman anda semua. Semoga Allah lindungi mereka dalam keadaan yang ceria dan selamat serta dimurahkan rezeki.

"Saya berharap anak-anak seelok-eloknya diajar dari sebawah-bawahnya supaya rasa susah akan menyenangkan... dan bila senang, kita akan ingat waktu kita susah. Saya percaya anak-anak akan lebih menghargai," kata Yoona.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain