suria

Pulang dari bercuti, wanita tanggung rugi besar pencuri berjaya lolos masuk rumahnya guna lubang kecil - “CCTV jiran tunjuk tak la kecil sangat badannya”

Azirah sekeluarga sedang gembira melancong di Eropah apabila rumahnya dipecah masuk tahun lepas.

KALAU lihat lubang kecil di rumah wanita ini, secara logiknya ia hanya muat untuk dilolosi oleh individu bersaiz kanak-kanak saja namun siapa sangka lubang kecil itu membawa kerugian besar mencecah nilai RM100,000.

Azirah Alyanie berkongsi video di TikTok, menunjukkan lubang kecil pada tingkap di bahagian dapurnya angkara pencuri yang memecah masuk kediaman keluarganya.

Berkongsi kisah sedih itu dengan mStar usahawan berusia 28 tahun ini berkata kejadian berlaku pada Februari tahun lalu sewaktu dia sekeluarga bercuti ke Eropah selama tiga minggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Batik cantik tak pernah lihat! Graduan Seni Bina buat ramai terpesona dengan sentuhan moden seni warisan... 'curi' ilmu mencanting di kilang, YouTube

ARTIKEL BERKAITAN: Beratnya ujian PKP! Pasangan suami isteri sukar tidur, bergelut teruskan hidup selepas hilang kerja... depresi sampai tahap jejas susu badan

Menurut Azirah, walaupun sedang bercuti, ibunya tetap datang ke kediamannya di Seksyen 23, Shah Alam untuk memeriksa keadaan, namun disebabkan kelicikan pencuri tersebut mereka hanya sedar mengenai insiden itu apabila pulang ke Malaysia.

“Mama ada datang ke rumah setiap minggu untuk check tapi tak perasan sebab dia memang pecahkan lubang kecil... rasanya budak umur 10 tahun ke bawah je boleh muat.

"Kami sedar bila sampai rumah selepas saya perasan pintu belakang tak berkunci, lepas tu banyak lipas dalam rumah sebab tingkap tak tutup rapat.

"Kemudian saya nampak langsir terselak, saya tanya mama dia buka ke tapi dia kata tak ada usik apa-apa. Masa tu terus saya lari naik atas tengok barang kemas semua dah hilang," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Azirah pencuri tersebut turut mengambil kad memori dalam kesemua empat kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di rumahnya.



Azirah sekeluarga sedang bercuti di Eropah bersama keluarganya apabila rumahnya dipecah masuk.

Akibat kejadian tersebut mereka sekeluarga mengalami kerugian RM70,000.

“CCTV (kamera litar tertutup) jiran sebelah sebenarnya dapat tangkap imej dia, tak la kecil sangat badannya dan dia buat kerja seorang diri.

“Apa yang pelik pencuri ni tahu dekat mana barang kemas saya, rumah langsung tak disepahkan... kemas je sebab tu bila mama datang jenguk rumah dia tak syak apa-apa,” katanya.



Lubang yang dipercayai digunakan pencuri terbabit untuk masuk ke rumahnya.

Menurut Azirah lebih menghairankan apabila pencuri tersebut tidak mengambil barangan berharganya yang lain seperti telefon bimbit yang sememangnya berada di atas meja makan.

Tambahnya, selain kediamannya ada beberapa lagi rumah di kawasan yang sama turut dipecah masuk pencuri menggunakan teknik yang sama.

“Kawasan perumahan ni memang banyak kes pecah rumah, cara rumah mereka dipecah sama juga, pencuri tu akan masuk dan keluar ikut lubang kecil yang dibuat di bahagian tingkap.

“Laporan polis sudah saya buat, mereka dah ambil sampel cap jari tapi sampai hari ini masih tiada berita,” katanya.

Apa yang pelik pencuri ni tahu dekat mana barang kemas saya, rumah langsung tak disepahkan... kemas je sebab tu bila mama datang jenguk dia tak syak apa-apa.

AZIRAH ALYANIE

Menurut Azirah selain mengharapkan perhatian daripada pihak berkuasa, dia juga berharap agar video perkongsiannya itu dapat memberi kesedaran kepada masyarakat akan bahaya jenayah pecah rumah.

“Saya share video tu sebab saya nak orang tahu pencuri ni dengan lubang kecil je pun boleh buat kerja, kalau ada grill pun mereka masih boleh masuk.

“Saya betul-betul berharap sangat pihak yang berkaitan akan ambil tindakan, sebab lepas rumah saya dipecah masuk, saya ada buat permohonan minta Majlis Perbandaran Shah Alam pasang lampu dekat area belakang rumah, tapi sampai sekarang tak ada pun,” katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain