suria

Rumah pusaka berwajah baharu, dekorasi umpama kediaman mewah... siapa sangka usianya lebih 4 dekad! - “Inilah rumah kami adik beradik membesar”

Dekorasi bahagian dalaman kediaman Yusran menjadi tular di media sosial (gambar utama). Bahagian luar kediaman Yusran (gambar kecil)

MELIHAT daripada pemandangan luar yang 'biasa-biasa' sahaja, siapa sangka rumah kampung yang berusia hampir 45 tahun ini mempunyai dekorasi hebat seperti kediaman mewah.

Hanya berpandukan media sosial, internet dan bahan bacaan sebagai rujukan, pemuda ini berjaya mengubah rumah peninggalan arwah ibu dan bapanya yang terletak Kampung Ambar Park, Tawau, Sabah, menjadi rumah idaman.

Berkongsi cerita dengan mStar, Yusran Mohamad Salleh berkata idea untuk mentransformasikan hiasan dalaman kediaman tersebut bermula secara spontan selepas menata rias bilik tidurnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah pusaka lama ditinggalkan kini berubah wajah, semua ini jadi realiti kerana hasrat ibu mentua

ARTIKEL BERKAITAN: “Niat awal nak susun rempah saja” - Anak tunjuk bakat terpendam deko dapur ibu selepas bosan ‘terperangkap’ di kampung

"Selepas bilik tidur, saya fikir nak cuba buat dekorasi pada bahagian ruang tamu pula. Kerja-kerja untuk transformasi ruang tamu bermula pada Mac lalu.

"Saya minta tukang rumah 'bongkar' semua dinding dan siling. Siling lama tu ditukar dengan 'plaster cieling'. Manakala dinding tu dicat dengan warna yang sedap mata memandang iaitu putih, mustard dan kuning untuk menaikkan seri.



Gambar sebelum (kiri) dan selepas (kanan) sewaktu renovasi pada bahagian siling.

"Proses ubahsuai bahagian ruang tamu ini mengambil masa selama kira-kira sebulan setengah untuk disiapkan," kata pemudia berusia 32 tahun ini.

Bercerita mengenai konsep yang diketengahkan, Yusran yang merupakan seorang perancang perkahwinan sejak 16 tahun lalu berkata dia memilih konsep moden untuk dekorasi dalaman kediamannya.



Beginilah ruang tamu dengan konsep moden selepas renovasi dan dekorasi dilakukan.

Pemuda ini mendiami rumah peninggalan kedua orang tuanya bersama seorang kakak dan anak saudara.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Inilah rumah di mana kami adik beradik membesar... memang usianya sudah melebihi empat dekad. Kini kedua ibu bapa sudah meninggal dunia manakala adik beradik lain sudah berkeluarga, maka kami bertiga sahaja yang tinggal di rumah ini," ujarnya.



Dekorasi pada ruang makan keluarga.

Yusran menambah, transformasi kediamannya dilakukan secara berperingkat-peringkat dan selepas ini, dia merancang untuk melakukan proses renovasi dan dekorasi di bahagian dapur pula.

"Tapi sekarang masih dalam tempoh sekatan pergerakan penuh jadi agak sukar. Ada barang yang tak cukup, ada barang yang perlu dipesan. Begitu juga dengan bajet, jadi biarlah berperingkat dahulu," ujarnya.

Saya juga bukan asalnya dari keluarga yang senang. Tapi buat 'step by step'.

YUSRAN MOHAMAD SALLEH

PEMILIK KEDIAMAN

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular selepas dimuat naik di Facebook, Yusran berkata dia menerima banyak mesej menerusi Direct Message (DM) daripada pengikutnya dan juga netizen.



Antara sudut menarik untuk bersantai.

"Banyak sangat komen-komen positif yang saya terima. Ada antara mereka yang minta tip dekorasi, ada yang cadangkan saya buka bisnes dekorasi, ada yang tanya beli barang atau perabot di mana, tanya berapa kos mengupah dan sebagainya.

"Saya terharu dengan komen-komen ini. Dan saya pun tak kisah untuk berkongsi dengan mereka selagi saya mampu kongsi apa yang saya tahu.



Yusran (berbaju biru) bersama rakan-rakan perniagaannya.

"Ada yang memuji dan terinspirasi... pokok pangkalnya, tetapkan dan tanamkan dulu di fikiran dan kemudian berusaha merealisasikannya. Saya juga bukan asalnya dari keluarga yang senang. Tapi buat 'step by step'.

"Bila ada bajet, baru tambah. Tiada yang mustahil. Malah kita akan seronok apabila rumah cantik. Bak kata pepatah 'rumahku syurgaku'," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain