suria

Sayu! Setahun jadi ‘anak’ pasangan tiada zuriat, Titam ‘pergi’ ketika tuannya bakal timang cahaya mata pertama - “Rumah kami sunyi...”

Pasangan itu mula membela Titam sejak tahun lalu.

KEHIDUPAN pasangan suami isteri ini ternyata sunyi selepas salah seekor kucing peliharaan mereka mati akibat jangkitan kuman dalam darah pada Mac lalu.

Menurut Mohd Nur Azeem Jifri, dia dan isteri, Nurul Safika Safri, masing-masing berusia 25 tahun, masih lagi sukar untuk menerima pemergian itu biarpun sudah dua bulan ia berlalu.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Jim mengakui kehadiran kucing yang diberi nama Titam itu sangat bermakna sepanjang setahun ia dibela.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 4 tahun bersama, pemergian mengejut Ebo undang hiba seisi keluarga... belum sedia cari pengganti

ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga menggigil, kucing kesayangan sarat mengandung hilang 4 kaki... bangkai Cantik diletak dalam kotak

"Kami dah tiga tahun kahwin, tak ada rezeki anak. Jadi kami bela kucing. Dah ada dua ekor, kemudian kami bela pula Titam sejak Februari tahun lepas.

"Keluarga saya pun jenis bela kucing, tapi biasanya semua kucing tak suka saya. Titam ni lain, dia boleh rapat dengan saya. Makan, tidur, tengok televisyen bersama," ujarnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Jim, Titam mula menunjukkan perubahan pada Februari lalu sebelum kesihatannya semakin merosot.

Titam mati akibat jangkitan kuman dalam darah pada Mac lalu.

Akhirnya, dia dan isteri gugur air mata apabila menerima perkhabaran kucing kesayangan mereka mati ketika menerima rawatan di sebuah klinik.

"Sebulan sebelum mati, Titam dah mula kurus. Kemudian Titam makin tak akfif, tak nak tidur dengan kami. Kami hantar ke klinik dan Titam ditahan selama empat hari.

Walaupun saya jenis kasar dan serius, saya boleh menangis kerana kucing.

JIM

"Masa kami melawat, Titam langsung tak menyahut dan tak nak pandang wajah kami. Pada hari berikutnya kami nak pergi melawat, doktor call kata Titam dah tak dapat bertahan.

"Sepanjang perjalanan nak bawa balik Titam, hujan sangat lebat, macam faham perasaan kami. Saya termenung dan mengalir air mata.

"Akhirnya Titam ditanam di seberang jalan, di hadapan rumah kami," ujarnya yang menetap di Sungai Ramal, Kajang, Selangor.

Dalam pada itu itu, Jim turut berkongsi video kenangan bersama Titam di Instagram untuk disimpan sebagai kenangan.

Kata Jim, dia cukup rapat dengan kucing itu yang mula dibela pada tahun lalu.

"Ramai orang tak tahu saya bela kucing. Saya jarang update kecuali isteri. Bila benda macam ni berlaku, saya buat video untuk bagi orang tahu saya ada kucing yang dah dianggap macam anak sendiri.

"Walaupun saya jenis kasar dan serius, saya boleh menangis kerana kucing. Tapi saya terima dengan reda, Tuhan bagi pinjam Titam sekejap saja," ujarnya.

Menurut Jim, dia dan isteri sebelum ini membela kucing kerana sunyi tanpa cahaya mata, namun mereka kini sedang menunggu hari untuk menerima anak pertama tak lama lagi.

"Isteri sekarang sedang hamil lapan bulan, tengah tunggu hari nak bersalin.

"Sejujurnya rumah kami sunyi tanpa Titam. Dah tak boleh dengar suara Titam sekarang," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain